Showing posts with label ISLAM. Show all posts
Showing posts with label ISLAM. Show all posts

Thursday, August 7, 2014

Doa-Doa Dari Al-Quran

Assalamualaikum wbt.

Meh baca doa-doa yang ada dalam al-Quran, baca, faham dan hafal. Lagi elok hafal doa-doa ini daripada dok hafal doa-doa yang orang-orang lain reka yang tak ada beza pun dengan doa-doa yang kita buat sendiri

Sila lihat terjemahan al-Quran untuk melihat maknanya:

1- رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(البقرة/201)

“Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka”. (al-Baqarah:201)

2- رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
(البقرة/250)

“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami serta menangkanlah Kami terhadap kaum Yang kafir” (al-Baqarah:250)

3-رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا) بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
(البقرة/286)

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir”. (al-Baqarah:286)

4- رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
(آل عمران/8)

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran:8)

5- رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(آل عمران/16)

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa Kami dan peliharalah Kami dari azab neraka”; (Ali Imran:16)

6- رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء
(آل عمران/38)

” Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaKu dari sisiMu zuriat keturunan Yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan”. (Ali Imran:38)

7- رَبَّنَا آمَنَّا بِمَا أَنزَلَتْ وَاتَّبَعْنَا الرَّسُولَ فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَِ
(آل عمران/53)

“Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa Yang telah Engkau turunkan, dan Kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah Kami beserta orang-orang Yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)”. (Ali Imran:53)

8- ربَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَِ
(آل عمران/147)

“Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami Yang melampau Dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum Yang kafir.” (Ali Imran:147)

9- رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلإِيمَانِ أَنْ آمِنُواْ بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الأبْرَارِ رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَى رُسُلِكَ وَلاَ تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لاَ تُخْلِفُ الْمِيعَاد ِ
(آل عمران/191-194)

“Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka. (191)Wahai Tuhan kami! sebenarnya sesiapa Yang Engkau masukkan ke Dalam neraka maka Sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang Yang zalim tidak akan beroleh seorang Penolong pun; (192) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) Yang menyeru kepada iman, katanya: ` berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka Kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada Kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah Kami bersama orang-orang Yang berbakti; (193) Wahai Tuhan kami! berikanlah kepada Kami pahala Yang telah Engkau janjikan kepada Kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan Kami pada hari kiamat; Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.(Ali Imran:191-194)

10- رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
(الأعراف/23)

“Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi”. (al-A’raf:23)

11- رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
(الأعراف/47)

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau jadikan Kami bersama orang-orang Yang zalim”. (al-A'raf:47)

12- رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ
(الأعراف/126)

“Wahai Tuhan kami, Limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah Kami Dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”. (al-A’raf:126)

13- حَسْبِيَ اللّهُ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
(التوبة/129)

“Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar.” (al-Taubah:129)

14- رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
(يونس/85-86)

Tuhan kami! janganlah Engkau jadikan Kami landasan fitnah bagi kaum Yang zalim (85). ” dan selamatkanlah Kami Dengan rahmatMu dari angkara kaum Yang kafir”. (86) (Yunus:85-86)

15- رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ وَإِلاَّ تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُن مِّنَ الْخَاسِرِينَ
(هود/47)

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Aku berlindung kepadamu daripada memohon sesuatu Yang Aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah Aku dari orang-orang Yang rugi”. (Hud:47)

16- رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
(إبرهيم/40)

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang Yang mendirikan sembahyang dan Demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim:40)

17- رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
(إبرهيم/41)

“Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang Yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” (Ibrahim:41)

18- رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا
(الإسراء/80)

“Wahai Tuhanku! masukkanlah daku ke Dalam urusan ugamaku Dengan kemasukan Yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya Dengan cara keluar Yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaKu dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan Yang menolongku”, (al-Isra’:80)

19- رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
(الكهف/10)

“Wahai Tuhan kami! kurniakanlah Kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada Kami untuk keselamatan ugama kami”. (al-Kahfi:10)

20- رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
(طه/25-28)

: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;”Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;”Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, “Supaya mereka faham perkataanku; (Taha:25-28)

21- رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
(طه/114)

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. (Taha:114)

22- لا إِلَهَ إِلا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
(الأنبياء/87)

tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Yang menganiaya diri sendiri”. (al-Anbiya’:87)

23- رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
(الأنبياء/89)

: “Wahai Tuhanku! janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik Yang mewarisi”. (al-Anbia’:89)

24- رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
(المؤمنون/97-98)

“Wahai Tuhanku, Aku berlindung kepadamu dari hasutan syaitan-syaitan “Dan Aku berlindung kepadaMu, Wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”. (al-Mukminun:97-98)

25- رَبَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الرَّاحِمِينَ
(المؤمنون/109)

` Wahai Tuhan kami, Kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa Kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik pemberi rahmat ‘. (al-Mukminun:109)

26- رَّبِّ اغْفِرْ وَارْحَمْ وَأَنتَ خَيْرُ الرَّاحِمِينَ
(المؤمنون/118)

Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik pemberi rahmat!” (al-Mukminun:118)

Sumber: AFN

Read more...

5 Cara Menjaga Qalbu


Kaum muslimin yang dirahmati Allah Swt,
Qalbu memiliki kedudukan yang sangat penting. Baik dan buruknya seseorang sangat tergantung pada bagaimana keadaan qalbunya, bila qalbunya baik, maka baiklah orang itu dan bila qalbunya buruk, buruklah orang itu. Rasulullah saw bersabda:
“Ingatlah, di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Apabila ia baik, baiklah anggota tubuh dan apabila ia buruk, buruk pulalah tubuh manusia. Ingatlah, segumpal daging itu adalah qalbu”
(HR. Bukhari dan Muslim).

Oleh kerana itu qalbu harus kita perlakukan dengan baik dalam kehidupan ini. Paling tidak ada lima hal yang harus kita perlakukan terhadap qalbu kita masing-masing.

1. Dibuka

Qalbu harus dibuka dan jangan sampai kita tutup. Yang menutup qalbu biasanya orang-orang kafir sehingga peringatan dan petunjuk tidak dapat masuk ke dalam hatinya, Allah swt berfirman:“Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci-mati qalbu dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat”
(QS Al-Baqarah [2]:6-7)

Kerana itu ketika Umar bin Khattab menutup qalbunya dari petunjuk dia menjadi kafir bahkan sangat membenci Rasulullah saw hingga bermaksud membunuhnya, namun ketika qalbunya sudah dibuka dengan mudah petunjuk dapat masuk ke dalam qalbunya yang membuatnya tidak hanya beriman tapi amat mencintai Rasulullah saw.

Hal yang amat berbahaya bila qalbu tertutup selain petunjuk dan nasihat tidak dapat masuk, keburukan yang ada di dalam qalbu juga tidak dapat keluar sehingga meskipun kita tahu bahawa itu buruk amat sulit bagi kita untuk mengeluarkan atau membuangnya.

Ibarat ruangan, bila kita buka pintu dan jendelanya, maka udara kotor dapat keluar dan udara bersih dapat masuk sehingga akan kita rasakan kesegaran jiwa. Berbagai bencana yang kita nilai dahsyat dalam kehidupan kita di dunia ini boleh kita fahami sebagai bentuk upaya membentuk qalbu manusia agar mahu membukanya dan mengakui kebesaran Allah swt, namun ternyata qalbu yang tertutup rapat tetap saja tidak terbuka, mereka hanya mengatakan hal itu sebagai fenomena alam.

2. Dibersihkan.

Seperti halnya badan dan benda-benda, qalbu boleh mengalami kekotoran, namun kotornya qalbu bukanlah dengan debu, qalbu menjadi kotor bila padanya ada sifat-sifat yang menunjukkan kesukaannya kepada hal-hal yang bemilai dosa, padahal dosa seharusnya dibenci.

Oleh karena itu, bila dosa kita sukai apatah lagi kita melakukannya, maka jalan terbaik adalah bertaubat sehingga ia menjadi bersih kembali, Rasulullah saw bersabda:  “Orang yang bertaubat dari dosanya seperti orang yang tidak menyandang dosa”
(HR. Thabrani).

Hati yang bersih akan membuat seseorang menjadi sangat sensitif terhadap dosa, kerana dosa adalah kotoran

“Dan janganlah engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan, (yaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan qalbu yang bersih”
(QS Asy Syu’araa [26]:87-89).


3. Dilembutkan

Kelembutan qalbu merupakan sesuatu yang amat penting untuk dimiliki, hal ini kerana dengan qalbu yang lembut, hubungan dengan orang lain akan berlangsung dengan baik dan ia mudah menerima nilai-nilai kebenaran.

Kelembutan qalbu akan membuat kita memandang dan menyikapi orang lain dengan sudut pandang kasih sayang sehingga bila ada orang lain mengalami kesulitan hidup, ingin rasanya kita mengatasi persoalan hidupnya, ketika kita melihat orang susah, ingin sekali kita mudahkan, tegasnya kelembutan qalbu menjauhkan kita dari rasa benci kepada orang lain meskipun dia orang yang tidak baik, kerana kita pun ingin memperbaiki orang yang belum baik.

Untuk melembutkan qalbu, seorang muslim dapat melakukannya dengan banyak cara, diantaranya menyayangi anak yatim dan orang-orang miskin. Dalam satu hadits disebutkan:

“Seorang lelaki pernah datang kepada Rasulullah saw seraya melaporkan kekerasan qalbunya, maka beliau menasihatinya: ‘Usaplah kepala anak yatim dan berilah makanan kepada orang miskin”
(HR. Ahmad).


Kerana itu, amat sayanglah bila ada orang yang qalbunya keras bagaikan batu sehingga sulit untuk diberi nasihat dan peringatan sebagaimana yang terjadi pada Bani Israil seperti yang disebutkan Allah swt dalam firman-Nya:
“Kemudian setelah itu qalbumu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal diantara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, karena takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.”
(QS. Al-Baqarah [2]:74).

4. Disihatkan

Jasmani (fizikal) yang sihat membuat kita memiliki ghairah dan semangat dalam menjalani kehidupan dan makanan yang lazat dapat kita nikmati. Namun apabila jasmani sakit tidak ada ghairah hidup dan makanan yang enak tidak berselera bagi kita untuk memakannya dan bila kita makanpun tidak kita rasakan kelazatannya.

Begitu pula halnya dengan qalbu, bila qalbu sakit kita tidak suka pada kebaikan dan kebenaran. Islam merupakan agama yang nikmat, namun bagi orang yang qalbunya sakit tidak dirasakan kenikmatan menjalankan ajaran Islam kecuali sekadar menggugurkan kewajiban.

Qalbu yang sakit biasanya dimiliki oleh orang munafik, mereka nyatakan beriman tapi sekadar dilisan, mereka laksanakan kebaikan termasuk solat tetapi maksudnya adalah mendapatkan pujian orang, kerana itu tidak mereka rasakan nikmatnya beribadah dan berbuat baik.

Allah swt berfirman:
"Diantara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian”, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yangberiman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orangyang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar. Dalam qalbu mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta."
(QS Al Baqarah [2]:8-10)


Kerana itu, orang munafik akan mengalami penyesalan yang amat dalam disebabkan keburukan yang mereka sembunyikan di dalam qalbunya, Allah swt berfirman:
"Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam qalbunya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: “Kami takut akan mendapat bencana.” Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka karena itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka.”
(QS Al Maidah [5]:52)


5. Ditajamkan

Qalbu juga harus kita asah hingga menjadi seperti pisau yang tajam. Pisau yang tajam akan mudah memotong dan membelah sesuatu. Bila qalbu kita tajam akan mudah pula membezakan mana haq dan mana yang bathil, bahkan perintahpun tidak selalu harus disampaikan dengan kalimat perintah, dengan bahasa isyarat saja sudah cukup difahami kalau hal itu merupakan perintah yang harus dilaksanakan.

Nabi Ibrahim dan Ismail merupakan di antara contoh orang yang memiliki ketajaman qalbu sehingga perintah Allah swt untuk menyembelih Ismail cukup disampaikan melalui mimpi dan Ismail menangkap hal itu sebagai perintah ketika Nabi Ibrahim menceritakannya, padahal Nabi Ibrahim tidak menyatakan bahawa hal itu merupakan perintah dari Allah swt.

Untuk mendidik kita menjadi orang yang memiliki ketajaman qalbu, puasa merupakan salah satu caranya, kerananya pada waktu puasa, teguran orang lain kepada kita meskipun dengan bahasa isyarat kita sudah menyadari akan kesalahan yang kita lakukan.




Wallahu a'alam

Read more...

Qalbu vs Hati


Ramai di antara kita yang keliru antara qalbu dan hati.  Berikut adalah penjelasan yang sangat mudah dan sederhana tentang Qalbu oleh Dr. Mohd Asri mantan Mufti Perlis.

Jantung Bukan Hati

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin (drmaza.com)

Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”.Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.

Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.

Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.

Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.

Qalb dan Qulub

Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.

Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).

Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.

Kekeliruan

Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dlm badan yg berwarna perang kemerah-merahan di dlm perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian)..”. (ibid, 445).

Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.

Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.

Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksudqalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).

Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.

Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.

Al-Quran dan Hadis

Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!

Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.

Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!

Read more...

Wednesday, September 4, 2013

Warna-warni Alam Sains Disebalik Solat Awal Waktu

Warna-warni Alam Sains Disebalik Solat Awal Waktu


Ingin berkongsi sesuatu yang sangat bermanfaat, hasil tulisan Ust.Zahazan, yang saya dapat di facebook.. sebenarnya dalam bentuk video, yang boleh dilihat di sini, yang mana ia lebih menarik sebab ada gambar dan sentuhan muzik..tapi sebab susah nak upload, berusaha jugak nak share isinya..sebab sangat informatif dari sudut sains.

Berkenaan dengan syariat Allah dan sunnah Rasulullah untuk kita menyegerakan solat, iaitu solat di awal waktu. Ini tidak lebih peringatan buat diri sendiri terutamanya, dan perkongsian untuk saling mengingatkan.

Ini dia...'Warna-warni Disebalik Solat Awal Waktu'

Setiap peralihan waktu solat
Sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini
Yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam..



Waktu SUBUH

Alam berada dalam spektrum bewarna biru muda
Yang bersamaan dengan frekuensi tiroid 
Yang mempengaruhi sistem metabolisme tubuh

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh
Mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar atau rezeki dan komunikasi.
Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya
Ataupun terlewat secara berulang-ulang kali
Lama-kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda
Tidak dapat diserap oleh tiroid 
Yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum 
(jaga daripada tidur).

Di sini juga dapat kita cungkil 
Akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.
Bermulanya saja azan Subuh
Tenaga alam pada tahap itu berada pada tahap yang optimum
Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh 
Melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.

Jadi mereka yang terlewat Subuhnya
Sebenarnya sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.


Waktu ZUHUR

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha)
Dan kemudiannya warna kuning 
Menandakan masuknya waktu Zuhur

Frekuensi warna pada waktu ini 
Bersamaan dengan frekuensi perut dan hati
Yang bersamaan dengan sistem penghadaman.
Warna kuning ini mempunyai rahsia
Yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan 
Atau terlewatkan Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya
Akan menghadapi masalah di perut dan sifat cerianya.



Waktu ASAR


Kemudian warna alam akan berubah ke warna oren
Iaitu masuknya waktu Asar.

Spektrum warna pada waktu ini 
Bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari, dan testis
Yang merangkum sistem reproduktif.
Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar
Akan hilang daya kreativitinya 
Dan lebih malang lagi kalau
Di waktu Asar ini jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur).

Tenaga pada waktu Asar ini 
Amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita


Waktu MAGHRIB

Menjelang waktu Maghrib
Alam berubah ke warna merah dan di waktu ini
Kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua 
Agar tidak berada di luar rumah.

Ini kerana spektrum warna pada waktu ini (infra-red)
Menghampiri frekuensi jin dan iblis.
Dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini
Amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang dalam perjalanan juga
Seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dahulu)
Kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini
Yang boleh mengelirukan warna mata kita.
Rahsia waktu Maghrib ialah keyakinan,
Pada frekuensi otot, saraf, dan tulang.


Waktu ISYAK


Apabila masuk waktu Isyak
Alam berubah ke warna indigo
Dan seterusnya memasuki fasa kegelapan.

Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian
Di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang selalu ketinggalan Isyaknya
Akan selalu berada dalam kegelisahan.

Alam sekarang berada dalam kegelapan
Dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.
Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta
Dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mulai bersinar
Dengan warna putihmerah jambu dan seterusnya ungu
Dimana ianya bersamaan dengan frekuensi 
Kelenjar pineal, pituitary, thalamus, dan hypothalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini
Dan dalam Islam, waktu ini dipanggil Qiyamullail.



Manusia kini sememangnya telah sedar
Akan kepentingan tenaga alam ini 
Dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi
Seperti tai-chi, qi-gong dan sebagainya.
Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke dalam tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur
Kerana telah ‘dikurniakan’ syariat oleh Allah s.w.t
Tanpa perlu kita memikirkan
Bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita
Bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya
Atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai Pencipta,
Kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya.


*******************************************************************

"Sesungguhnya solat itu berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(QS al-Baqarah:45)


********************************************************************

Tak tahu nak ucap apa. Tiada kata selain pujian buat-Nya sebaik-baik Pencipta.

Subhanallah. Allahuakbar! Masya-Allah..Agungnya Allah.
Sungguh indah dan tersusun seribu hikmah setiap ciptaan Allah.

Untuk setiap syariat, ada penjelasan ilmu modern tiap satunya.
Ini syariat untuk solat di awal waktu bagi solat 5 waktu itu...
Kalau di campur syariat solat-solat sunat seperti Dhuha, solat sunat Rawatib yang mengiringi yang 5 itu, Qiyamullail.. pasti lebih banyak hikmatnya..kan. Wallahu'alam.


Indahnya Islam.. Solat, puasa.. ternyata telah banyak penjelasan mengenai kelebihannya dengan bukti dari Sains dan perubatan moden. Semuanya adalah untuk kebaikan dan nikmat kepada kita. Hanya kita yang tak ambik kesah..'take for granted' dengan agama sendiri.

*******************************************************

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi silih bergantinya malam dan siang bahtera yg berlayar di laut membawa apa yg berguna bagi manusia dan apa yg Allah turunkan dari langit berupa air lalu dgn air itu Dia hidupkan bumi setelah matinya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan dan pengisaran angin dan awan yg dikendalikan di antara langit dan bumi; sungguh terdapat tanda-tanda bagi kaum yg berakal”. .


*******************************************************************

“…orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi(seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (QS. Ali ‘Imraan, 3 : 190-191)

***********************************************************



"Maka nikmat manakah lagi yang kamu dustakan?".
Sangat menginsafkan diri yang sering alpa dan lupa untuk bersyukur. Astaghfirullah.. Ampunkan aku ya Allah.. Ighfirly ya Rabbi..


~Peringatan buat diri sendiri terutamanya, dan perkongsian untuk saling mengingatkan.

Read more...

Rahsia Solat dari sudut Sains dan Kesihatan



 http://i421.photobucket.com/albums/pp293/chibi_1210/at-taubah.jpg

Tahukah anda bahawa solat boleh merawat penyakit yang kritikal ?

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berikut adalah beberapa hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:

AKTIVITI OTOT - Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

ISYARAT OTAK - Ng Siew Chok

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

KOMPOSISI TUBUH - Dr Fatimah Ibrahim

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat )

Read more...

Tuesday, September 3, 2013

Pengalaman Koma Yang Dapat Dijadikan Pengajaran ....

Pengalaman Koma Yang Dapat Dijadikan Pengajaran ....

بسم الله الرحمن الرحيم

p/s : Ana terpanggil untuk share dengan saudara/saudari dari sebuah kisah tentang pengalaman koma yang unik dan dapat di jadikan pengajaran buat kita semua sebagai manusia dan hamba ALLAH.

Mari baca...semoga ada keinsafan dalam diri kita semua dan kisah ni ana copy paste dari sahabat facebook.Semoga bermanfaat dan dapat di jadikan pengajaran.


Pengalaman Koma Yang Begitu Menginsafkan.

Roshaizad berusia 38 tahun mempunyai seorang isteri berusia 32 tahun yang cantik dan baik hati. Suri rumahtangga sepenuhnya. Dikurniakan dua orang anak lelaki berusia 8 dan 6 tahun. Beliau berkerja di sebuah syarikat antarabangsa sebagai maintenance engineer di samping memegang jawatan sebagai penyelia Emergency Responce Team ( ERT ) di kilangnya.

Tugasnya agak sibuk dan adakalanya berkerja sehinga lewat malam dan juga di hujung minggu.

Pada bulan Januari 2009, beliau telah terlibat di dalam kemalangan jalanraya sewaktu ke tempat kerja pada kira-kira jam 7.30 pagi.Kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah van kilang sewaktu dia cuba memotong sebuah van kilang yang lain di sebuah selekoh di Gurun, Kedah.

Beliau telah koma selama 3 hari dan dirawat di sebuah hospital pakar selama 47 hari lagi.Saya di antara orang yang awal sampai di hospital selepas mendapat panggilan dari isterinya. Saya juga di antara orang yang pertama dilihatnya selepas beliau sedar dari koma selepas isteri dan doktor yang merawatnya.

Sewaktu beliau koma

Beliau telah didatangi oleh malaikat dan mengatakan padanya usia beliau hanya tinggal 1 jam saja iaitu pada hari Ahad, jam 1.45 petang.Walau bagaimanapun Allah akan menangguhkan kematiannya sekiranya ada 50 orang yang mendoakan secara ikhlas agar Allah memanjangkan usianya.

Beliau agak kebingungan ketika itu.Beliau bertanyakan sudah ada berapa orangkah yang mendoakannya secara ikhlas sehingga kini.

Jawab malaikat itu baru 3 orang. Malaikat menunjukkan sesiapakah orang-orang itu. Dilihatnya insan itu ialah isteri beliau yang bercucuran airmata sejak hari pertama lagi beliau di hospital itu dan juga kedua anak beliau yang sedang tidur tergolek di kerusi menunggu pesakit di luar wad.

Malaikat itu juga telah memperlihatkan akan mereka yang mendoakannya iaitu kawan-kawannya termasuk saya, ahli kariah masjid yang membacakan surah yasin untuknya. Ibubapanya, ibubapa isterinya, adik beradik, sahabat handai dan rakan sepejabat. Kesemua di antara mereka telah melawatnya dan mendoakannya tetapi tidak diterima oleh Allah. Beliau bertanya kepada malaikat itu, mengapa doa mereka tidak diterima. Malaikat menjawab, tiada keikhlasan 100% di hati mereka.

Masa kian suntuk. Dia pun tidak tahu mengapa malaikat memperuntukkan masa yang begitu singkat kepadanya untuk hidup di dunia ini. Apa yang terjadi padanya kini. Dia pun kurang pasti. Malaikat terus menunggu dan melihat waktu yang kian menghampiri jam 1.45 petang.Hanya tinggal 10 minit lagi.

Adalah mustahil untuk mencari 47 orang yang ikhlas mendoakan panjang usianya dalam masa sesingkat itu. Dia bertanyakan malaikat itu, "adakah tuan akan mencabut nyawa saya sekiranya saya gagal mendapat 47 orang berkenaan?"

Jawab Malaikat “Ya:.

Kurang dari 1 minit, malaikat menghampirinya dan berkata, Allah mengkabulkan doa mereka yang mendoakan panjang usia anda. Anda berjaya mendapat 50 orang ikhlas yang berbuat demikian.

Roshaizad bertanya, siapakah orang-orang itu. Malaikat menunjukkan mereka itu. Mereka adalah jemaah anak yatim yang baru saja menunaikan solat Zohor sebentar tadi dan berdoa untuk anda. Anda pernah pergi ke rumah anak-anak yatim berkenaan pada bulan Ramadhan yang lalu dan pernah menghulurkan bantuan kewangan.

Mereka telah terbaca di dalam akhbar harian berkenaan kemalangan anda dan Zohor tadi mereka telah bersolat dan berdoa untuk anda. Doa ikhlas mereka diterima Allah swt. Malaikat itu kemudiannya ghaib dan tepat jam 1.45 petang Roshaizad tersedar dari komanya dan meraung kesedihan!

Isteri beliau yang ada di sisinya turut menangis dan juga saya. Saya sebenarnya tidak tahu pada ketika itu apa yang berlaku padanya di dalam komanya dan mengapa beliau menangis selepas sedar dari komanya.

Setelah beberapa ketika barulah cerita di atas ini diceritakan pada saya untuk tatapan anda sekelian.

Pengajaran:
1. Beliau telah mengabaikan masa santai bersama isteri dan anaknya kerana mengejar duit dan tanggungjawab kerja. Sedangkan isteri dan anak-anaknya amat sayang padanya dan doanya amat ikhlas.

2. Dia telah mengabaikan tanggungjawab sosial dengan jiran dan masyarakat sekeliling dan ini menyebabkan mereka tidak ada rasa kasih padanya kalaupun dia mati.

3. Dia telah mengabaikan dan tidak menepati janji-janji pada kawan-kawan sehingga kawan-kawannya marah padanya dan sehingga doa mereka tidak ikhlas, termasuklah saya.

4. Beliau jarang pergi masjid kecuali pada hari Jumaat dan ini menyebabkan jemaah masjid kurang mengenalinya dan menyebabkan doa mereka tiada keikhlasan

5. Beliau jarang memberi sedekah dan amal jariah. Nasiblah sumbangan ke rumah anak yatim yang diberikan tempoh hari atas desakan isteri beliau.

6. Beliau jarang bertolak ansur dengan kakitangannya walaupun hal-hal yang remeh. Ini menyebabkan kakitangannya membencinya dan doa mereka juga tiada keikhlasan.

7. Beliau jarang berkunjung ke rumah adik beradik dan takut adik beradik meminjam wang dengannya. Ini menyebabkan juga tiada keikhlasan dari mereka.

8. Beliau banyak kali menyakiti hati ke dua ibubapanya kerana tidak menunaikan janji untuk balik ke kampung pada hari-hari tertentu lantaran kerja beliau. Ini menyebabkan ibubapanya marah. Kes ini hanya Allah yang tahu.

9. Beliau gagal menunaikan solat pada waktunya lantaran kerja beliau atau adakalanya tertinggal terus terutamanya solat Asar

10. Beliau tidak menunaikan zakat walaupun beliau memang layak berbuat demikian

Sahabat:
Allah masih sayang pada sahabat saya ini ataupun ianya untuk memberi pengajaran pada kita melalui kisah dan tauladan ini. Ambillah ikhtibar dari cerita ini.Sahabat saya ini masih gagal untuk mendapatkan perlindungan takaful disebabkan oleh kemalangan dan kecederaannya.

Dirikan solat tepat pada waktunya, keluarkanlah zakat. Luangkan masa bersama keluarga. Imarahkan masjid selalu. Baliklah selalu lihat wajah ibubapa kerana Allah akan memberikan pahala ke atas perbuatan kita itu. Berbaiklah dengan jiran dan kenalilah mereka. Bertolak ansurlah dengan mereka yang memerlukan. Ingat! kita akan dapat apa yang kita telah beri. Maka selalulah memberi…


SUMBER : FACEBOOK

" Sebaik-baik nasihat adalah dengan mengingati MATI."


Read more...