Suluk Sabah Kutuk Penceroboh
LAHAD DATU - Etnik Suluk di Sabah mengutuk tindakan kumpulan militan
yang menceroboh negara dan berkubu di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17,
kira-kira 130 kilometer dari sini sejak 12 Februari lepas.
Mereka membantah pencerobohan itu sambil melafazkan ikrar taat setia kepada kerajaan persekutuan dan negeri.
Mereka juga berikrar tidak akan membantu penceroboh militan itu yang datang dari selatan Filipina.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada sidang akhbar
selepas meninjau dan mendengar taklimat Op Daulat, berkata ikrar itu
terkandung dalam memorandum yang diserah kepadanya oleh pemimpin
Masyarakat Etnik Suluk Sabah, pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) Suluk
Sabah dan pemimpin akar umbi Suluk Sabah di Tawau, hari ini.
Dalam memorandum yang diserah wakil kumpulan pemimpin itu, Datuk
Abdul Rahman Ismail, mereka juga melafazkan taat setia kepada Yang
di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah serta menjunjung tinggi
perlembagaan Malaysia dan perlembagaan Sabah.
Kumpulan itu juga melafazkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada
Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Seri Musa Aman sebagai
Ketua Menteri Sabah.
Etnik Suluk Sabah itu juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada kerajaan pimpinan perdana menteri kerana menjaga kebajikan mereka
selama ini sehingga taraf hidup mereka semakin meningkat.
Etnik Suluk Sabah itu juga menjelaskan kepada Perdana Menteri bahawa
mereka turut terkilan, terkejut dan sedih dengan kejadian pencerobohan
militan bersenjata itu.
Mereka menentang sekeras-kerasnya dakwaan dan tuntutan pihak-pihak
tertentu bahawa negeri Sabah ini adalah sebahagian negara jiran dan
menyokong tindakan kerajaan Malaysia membanteras kumpulan itu.
Mereka turut merakamkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban akibat perbuatan penceroboh itu.
Mereka menegaskan keturunan mereka di Sabah dan negara jiran adalah
bukan golongan ganas, kecuali golongan kecil yang telah terpesong
daripada ajaran Islam.
Mereka turut melahirkan rasa terkilan terhadap kenyataan biadap Naib
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dan pemimpin pembangkang
yang mendakwa kejadian pencerobohan itu sebagai sandiwara UMNO.
Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan menjalankan siasatan
terperinci bagi mengenal pasti dalang sama ada di dalam mahupun di luar
negara yang mencetus, merancang, menaja dan terlibat secara langsung
mahupun tidak langsung dalam kejadian pencerobohan itu.
Justeru mereka meminta pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Mereka juga mahukan kerajaan mengambil tindakan undang-undang
terhadap Tian Chua dan pemimpin pembangkang lain yang mempersenda
pengorbanan wira-wira tanah air yang mempertahankan kedaulatan negara.
Mereka juga merayu kerajaan dan rakyat menghindarkan sebarang
persepsi negatif terhadap etnik Suluk warganegara Malaysia yang cintakan
keamanan. – BERNAMA