Showing posts with label SERANGAN JANTUNG. Show all posts
Showing posts with label SERANGAN JANTUNG. Show all posts

Monday, February 21, 2011

Sistem Saraf Kawal Tindakbalas Jantung

Ketika berehat, jantung berdenyut sebanyak 70 hingga 80 kali seminit. Kadar denyutan jantung meningkat ketika seseorang bersenam dan tahap kenaikan denyutan bergantung kepada kecergasan senaman.

Ketika tidur pula, kadar denyutan jantung menurun. Bagaimanapun, rentak jantung sentiasa sama dan hanya kadar denyutannya berubah-ubah.


Perubahan kadar denyutan jantung yang normal adalah disebabkan perubahan keperluan tubuh seseorang. Jantung yang berfungsi sebagai pam perlu menampung keperluan tubuh badan yang berubah-ubah.




Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!



Ini dilakukan dengan meningkatkan kadar pengecutan (kontraksi) jantung dan juga denyutan jantung. Sistem tindak balas ini dikawal oleh sistem saraf.


Apabila jantung berdenyut terlalu perlahan dan pada kadar yang tidak memadai dengan keperluan tubuh, gejala (simptom) akan berlaku. Sebaliknya, denyutan jantung yang terlalu laju juga akan menimbulkan masalah.


Ruang bilik jantung memerlukan masa tertentu untuk ia dipenuhi dengan darah di setiap lingkaran denyutan jantung.


Apabila kadar denyutan terlalu laju, darah tidak dapat mengalir ke dalam ruang bilik jantung dengan sempurna, dan seterusnya keperluan tubuh tidak dapat dipenuhi.


Jika jantung berdenyut terlalu cepat atau lambat, ia akan mengganggu bekalan darah ke organ. Jika tidak cukup darah dipam ke organ dalam badan, ia boleh menyebabkan banyak masalah, antaranya letih, sesak nafas, keliru dan kadangkala pitam.


Denyutan Jantung Yang Teratur


Setiap jantung mempunyai empat bilik. Dua bilik di atas dan dua bilik di bawah. Bilik atas dipanggil atria kiri dan kanan. Manakala bilik bawah dipanggil ventrikal kiri dan kanan.


Darah yang kembali semula ke jantung akan mengalir ke dalam bilik jantung atas pada sebelah kanan, seterusnya mengalir ke bilik jantung kanan di sebelah bawah.


Denyutan jantung akan mengepam darah ke paru-paru daripada bilik jantung kanan di bawah. Pengaliran darah berlaku secara sehala kerana adanya injap jantung di antara bilik atas dan bawah, selain injap jantung di antara bilik bawah dan pembuluh darah ke paru-paru.


Darah yang kembali dari paru-paru mengandungi oksigen dan masuk ke bilik jantung sebelah atas kiri jantung. Dari sini, pengecutan bilik atas ini akan mengepam darah masuk ke dalam bilik bawah kiri jantung.


Sistem Elektrik Jantung


Pengecutan jantung yang tersusun terhasil daripada cara sistem elektrik jantung disusun. Sistem elektrik jantung mengawal aktiviti bilik yang mengepam darah.


Denyutan jantung yang normal bermula daripada nodus sinus (penjana nadi) yang terletak di atria atau bilik atas kanan. Perentak jantung semula jadi ini akan menghasilkan impuls elektrik yang mengalir melalui sistem konduksi yang membabitkan serat otot.


Impuls elektrik ini akan mengalir mengisi keseluruhan bilik atas (atria) kanan dan kiri. Apabila impuls ini sampai ke atria, kedua-dua bilik akan mengalami pengecutan dan menolak darah memasuki ventrikal (bilik bawah).


Seterusnya, gelombang elektrik ini akan sampai ke satu bahagian yang terletak di antara bilik atas dan bilik bawah jantung. Sistem ini akan menentukan supaya jantung boleh berdenyut dengan teratur.


Dalam beberapa detik saja, impuls ini akan tiba ke ventrikal pula dan memberi rangsangan supaya bilik bawah mengalami pengecutan, seterusnya mengepam darah ke seluruh anggota badan.


Penyakit Rentak Jantung


Penyakit rentak jantung boleh dibahagikan secara mudah kepada dua, iaitu masalah denyutan jantung terlalu perlahan atau laju.


Gejala Penyakit Rentak Jantung


Gejala yang sering dibawa kepada perhatian doktor adalah :


* Keadaan berdebar-debar. Perasaan berdebar-debar ini boleh disebabkan oleh degupan jantung yang kuat dan perlahan. Ia mungkin dirasai juga apabila denyutan jantung adalah laju dan adakalanya perasaan ini berlaku dengan denyutan rentak jantung yang tidak sempurna.


* Pening yang boleh berlaku diikuti rasa loya. Ada kalanya boleh membawa kepada pitam. Ini berlaku apabila denyutan jantung yang tidak sempurna menyebabkan keperluan sistem otak dan saraf tidak tercapai.


Apabila keadaan ini teruk, seseorang itu akan pitam atau hilang sedar dan terus jatuh. Ini kadangkala memulihkan pengaliran darah ke otak kerana keadaan terlantar akan menghilangkan kesan graviti ke atas kolum darah.


Darah akan lebih senang mengalir semula ke bilik jantung dan seterusnya dipamkan ke bahagian otak. Seseorang yang pitam tidak harus ditinggikan kepalanya kerana ini akan menyebabkan pengaliran darah ke otak tergendala.


* Tanda-tanda lemah jantung ialah semput apabila melakukan kerja, semput apabila terlantar dan tidur memerlukan bantal yang tinggi, kaki yang bengkak dan sakit bahagian ulu hati.




Lagi info tentang JANTUNG di SINI.

Read more...

Jantung Terhenti Kerana Kerosakan Elektrikal


oleh Suzan Ahmad

Kita sering mendengar kematian mengejut apabila individu rebah selepas mengadu sakit dada. Masalah ini digelar keadaan jantung terhenti iaitu apabila jantung berhenti berfungsi secara tiba-tiba.

Puncanya - kerosakan sistem elektrikal organ penting berkenaan. Perlu diingat, jantung terhenti bukanlah serangan jantung. Namun, angka kematiannya menggerunkan iaitu 3 juta kes setahun di seluruh dunia. Malangnya, daripada jumlah itu hanya 1% mangsa yang berjaya diselamatkan.


Ramai menyangkakan barah adalah pembunuh utama, sebaliknya jika digabungkan jumlah penyakit kronik seperti barah payudara, barah serviks, strok dan HIV/AIDS jumlah itu masih tidak dapat menandingi kes kematian akibat jantung terhenti.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Pembunuh Nombor 1

Penyakit berkaitan masalah kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu dan jumlah ini semakin meningkat di Malaysia terutama dalam kalangan lelaki berusia kurang dari 40 tahun.

Ini kerana, walaupun masyarakat hidup lebih lama, malangnya kualiti hidup terjejas akibat penyakit seperti kencing manis, serangan jantung, strok dan pelbagai lagi. Semuanya akibat gaya hidup yang tidak sihat termasuk diet dan amalan merokok.

Organ Elektrikal

Memandangkan jantung adalah organ elektrikal, bermakna ia boleh rosak sama ada ia berdegup terlalu laju atau terlalu perlahan. Pada masa cukup singkat, beberapa saat atau minit saja kematian secara mengejut boleh berlaku.

Di Amerika Syarikat misalnya, 70% kematian akibat jantung terhenti disebabkan lewat mendapat rawatan. Lebih malang lagi, individu yang pernah mengalami serangan jantung mempunyai risiko 4 hingga 6 kali ganda mengalami jantung terhenti.

Beza Dengan Serangan Jantung

Namun ada bezanya antara jantung terhenti dengan serangan jantung. Ringkasnya, secara perbandingan, andai jantung adalah sebuah rumah, jantung terhenti berlaku apabila berlakunya masalah bekalan elektrik manakala serangan jantung disebabkan masalah paip.


Punca

Punca paling biasa jantung terhenti adalah arrhythmia dikenali ventricular fibrillation (VF). Ia berlaku apabila isyarat elektrikal yang mengawal pengepaman jantung tiba-tiba menjadi laju dan tidak sekata. Akibatnya, bahagian bawah jantung, iaitu ventrikal mula bergetar dan tidak berdegup. Ini menyebabkannya tidak lagi mampu mengepam darah dari jantung ke seluruh tubuh.

Jika darah gagal mengalir ke otak, ia akan kehilangan oksigen dan individu malang itu akan pengsan serta-merta. Tanpa bantuan kecemasan seperti kejutan elektrik yang disalirkan terus ke jantung (menggunakan mesin defibrillator) untuk mengembalikan rentak biasa jantung, pesakit akan mati dalam beberapa saat atau minit saja!

Lebih membimbangkan, masalah jantung terhenti tidak boleh dijangka dan boleh menimpa individu sihat, aktif dan tanpa rekod masalah jantung. Bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku secara rambang dan majoriti mangsa mempunyai sejarah komplikasi kesihatan atau jantung dan mungkin tidak menyedarinya.


Rawatan

Antara rawatan terkini adalah Implantable Cardioverter Defibrillators (ICD). Alat ini berfungsi memastikan kadar degupan jantung sentiasa aktif apabila pesakit mengalami serangan jantung secara tiba-tiba. ICD ditanam dalam dada dan memantau jantung dengan mengesan sebarang rentak luar biasa.

Sebarang arrhythmia merbahaya dikesan, ICD menghantar nadi kejutan elektrik tenaga rendah bagi mengembalikan rentak normal jantung dan menghalang jantung mati. Diperbuat daripada titanium seberat 68 gram, alat yang perlu dicas 6 bulan sekali ini menelan kos sekitar RM32,000 hingga RM80,000 dan mudah diuruskan. ICD mampu bertahan sehingga 6 tahun bergantung kepada individu.

Sejak diperkenalkan pada 1996 di IJN, kaedah ini memberi manfaat kepada 70 hingga 80 pesakit di Malaysia setiap tahun.

Info Tambahan

Jantung Terhenti

# Disebabkan masalah elektrikal
# Jantung henti berdegup serta merta dan tanpa amaran
# Boleh sebabkan maut jika tidak dialirkan dengan kejutan elektrik secara segera

Serangan Jantung

# Masalah pembuluh
# Salur darah tersumbat menghalang aliran darah ke jantung
# Kekurangan darah boleh merosakkan otot jantung dan tisu.



Lagi info tentang JANTUNG di sini.

Read more...

BAGAIMANA SERANGAN JANTUNG TERJADI


oleh Dr Haizal Haron Kamar

Arteri koronari adalah pembuluh darah yang mengelilingi jantung dan membawa di dalamnya darah yang kaya oksigen serta nutrien ke otot-otot jantung. Ini penting untuk jantung berfungsi dengan sempurna.

Dengan pembentukan plak di dinding dalam arteri akibat proses aterosklerosis (pengumpulan lemak atau kolesterol pada dinding dalam salur darah), ruang di dalam arteri menjadi sempit dan mengganggu perjalanan darah.


Sakit di dada (angina pectoris) berlaku apabila darah tidak sampai ke otot jantung ketika melakukan aktiviti cergas, tetapi kembali normal selepas berehat beberapa minit.

Bagaimanapun, plak berkenaan boleh menjadi tidak stabil dan pecah disebabkan faktor tertentu. Ini menghasilkan trombosis atau gumpalan darah beku. Ia berlaku secara tiba-tiba dan menutupi seluruh arteri lalu menghalang perjalanan darah. Otot jantung yang terbabit akan mengalami kerosakan.

Cuba bayangkan sebatang sungai besar yang mengalir di sebuah ladang epal yang subur. Apabila aliran air sungai tersekat, pokok epal akan layu dan mati. Begitu juga yang berlaku pada otot-otot jantung.

Sel otot jantung ini akan mati akibat ketandusan darah. Fenomena yang berlaku dipanggil serangan jantung atau infarksi miokardium.

Apakah Bahaya Serangan Jantung?

Tahukah anda, penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia? Pernahkah anda terfikir, serangan jantung dan penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu wanita – hampir 5 kali ganda lebih tinggi berbanding barah payudara?

Serangan jantung adalah penyebab utama kematian mengejut. Kejadian ini berlaku apabila jantung berhenti berdenyut secara tiba-tiba atau mengalami fibrilasi ventrikular akibat kerosakan pada jantung.

Tahukah anda, lebih kurang 50% kematian akibat serangan jantung terjadi dalam masa satu jam dan hampir semuanya sebelum sempat tiba di hospital? Bagi yang 'terselamat', segolongan besar mengalami penyakit lemah jantung atau kegagalan fungsi jantung akibat kerosakan teruk otot-otot jantung.

Ini dimanifestasikan dengan keadaan kaki yang mudah bengkak dan kesesakan nafas ketika rehat atau melakukan aktiviti.

Apakah Gejala Serangan Jantung?

Serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba. Ia sering berlaku pada awal pagi ketika tidur, tetapi ia juga boleh terjadi pada bila-bila masa dan di mana saja, sama ada ketika melakukan aktiviti atau berehat.

Kira-kira 50% pesakit yang alami serangan jantung tidak mempunyai tanda awal. Bagi mereka, ini gejala pertama penyakit jantung koronari. Oleh itu, kita wajar mengetahui gejala serangan jantung iaitu :

* Sakit di dada. Jantung sebenarnya terletak di bahagian tengah dada dan bukan di kiri, tetapi sakit dialami sering membabitkan keseluruhan dada. Ia seperti satu cengkaman kuat atau perasaan berat di dada. Ia kadangkala merebak ke bahagian atas dada hingga ke leher dan gusi atau ke tangan kiri atau kanan.

* Simptom berkaitan yang mungkin berlaku ketika sakit dada adalah kesesakan nafas, berpeluh yang sejuk, rasa lemah badan dan pening.

* Ada segolongan pesakit yang tidak mempunyai gejala klasikal seperti di atas. Ada yang hanya mengalami kesesakan nafas atau sakit di bahagian lain di badan. Ada kes berlaku pesakit yang menghidap serangan jantung dihantar ke wad pembedahan kerana simptomnya yang ketara adalah sakit di perut. Ada pula kes yang mana pesakit pergi ke doktor gigi terlebih dulu disebabkan sakit gusi, tanpa rasa sakit di dada.

* Ada pula yang tidak mengalami kesakitan di dada atau apa-apa simptom. Ini sering didapati pada pesakit yang mengidap diabetes.

Kadangkala sukar untuk tahu sama ada gejala dialami adalah disebabkan serangan jantung, terutama mereka yang tidak mengalami simptom klasikal.

Jika tidak pasti, segera ke hospital berdekatan. Usah bertangguh untuk menjalani pemeriksaan. Ingat, setiap masa sangat berharga dan jika dibiarkan, ia boleh merosakkan jantung dan mengorbankan nyawa.



Lagi info tentang JANTUNG :

7 Tip Jantung Sihat
Degupan Jantung Kencang
Sistem Saraf Kawal Tindakbalas Jantung
Manfaat Coq10 Untuk Kesihatan Jantung/Darah Tinggi

Artificial Heart
Heart Valve Disease
More Young Malaysians At Risk From Heart Disease

Read more...