Showing posts with label KULIT. Show all posts
Showing posts with label KULIT. Show all posts

Monday, February 21, 2011

Punca Kulit Kusam dan Rawatan Laser


oleh Dr. Rushmini Maris Ismail

Tidak dapat dinafikan faktor kecantikan kulit dan tubuh badan amat penting bagi wanita. Seseorang wanita yang memiliki kulit halus dan susuk tubuh menarik lebih berkeyakinan meningkatkan keterampilan sekali gus menjadikannya anggun dan berpersonaliti. Kulit yang segar dan berseri pasti menawan sesiapa sahaja yang memandang.


Seri wajah tidak bergantung kepada warna kulit. Mereka yang berkulit gelap atau sawo matang juga tampil cantik berseri jika kulitnya segar dan bersih.

Kecantikan perlu dijaga dan dipupuk. Sejak zaman dahulu lagi petua petua kecantikan dibisikkan ke telinga anak-anak gadis. Arang di dapur dijadikan pemutih gigi, beras yang direndam dilumur ke muka menjadikan wajah bersih dan berseri. Putih telur pula dijadikan masker yang membuang noda pada kulit sekali gus menegangkan kulit kita.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Punca Kulit Kusam

Kulit kusam terjadi disebabkan oleh masalah sel-sel kulit yang bercampur-campur. Sel kulit yang mati dan sel baru saling bercampur menyebabkan kulit tampak gelap dan bernoda. Pertumbuhan sel-sel juga lambat dan sel-sel baru kurang berkembang. Ini menyebabkan kulit tampak pudar.

Kulit sebegini sering mendapat white heads iaitu pengumpulan lemak dalam pori-pori kulit. Lemak ini berasal dari kelenjar sebum atau kelenjar minyak yang terlalu aktif. Oleh kerana pengeluaran lemak terlalu banyak maka kulit jadi berminyak dan memudahkan jerawat tumbuh. Begitu juga dengn noda hitam akibat sel-sel sebum dan bulu roma yang bercampur. Noda hitam yang banyak menyebabkan warna kulit menjadi tidak sekata. Kulit tampak kotor meskipun telah dicuci.

Satu lagi masalah yang menjadikan kulit tampak kusam ialah kesan parut lama. Apabila kulit berparut akibat daripada jerawat ataupun masalah lain maka kesan kehitaman mula terlihat. Mencuci muka sahaja tidak boleh membantu mengatasinya.


Jika seseorang wanita itu bekerja di lapangan atau selalu terdedah kepada sinaran matahari, kulit akan menjadi lebih kasar, pigmentasi dan cepat berkedut. Ini kerana sinaran matahari boleh menyebabkan berlakunya pigmentasi. Pigmentasi akan menyebabkan kita kelihatan lebih tua.

Sinaran UVA dan UVB juga menyebabkan kulit cepat kehilangan kolagen. Kolagen pada kulit tidak boleh diganti dengan menyapu kolagen pada kulit atau dengan mengambil kolagen dari pemakanan. Oleh itu kita kena menjaga kulit daripada kehilangan kolagen dengan melindunginya daripada dirosakkan oleh sinaran matahari. Apabila kulit kehilangan banyak kolagen, maka berlakulah kedut-kedut di muka. Ini menyebabkan kita kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Satu lagi sebab utama yang menjadikan kulit tampak kusam adalah penggunaan produk kecantikan yang tinggi bahan kimia. Apabila sel kulit rosak ia menjadi kusam. Pemakainya tidak boleh berhenti menggunakan produk itu selama-lamanya. Kulit menjadi 'ketagih' kepada bahan kimia itu. Tanpanya ia layu dan menjadi gelap.


Jenis-jenis Kulit

Kebiasaannya kulit kita adalah jenis campuran. Namun untuk memudahkan kita memahami ragam kulit, ia dikelaskan kepada beberapa jenis.

* Kulit normal - Kulit yang segar dan kelihatan kemerahan. Pori-porinya kecil dan kelihatan segar. Kulit jenis ini tidak banyak masalah.

* Kulit kering - Kulit jenis ini sering kering dan kadang kala pecah di bibir dan pipi. Pori-pori tidak kelihatan memandangkan kelenjar sebaceous yang menghasilkan kelembapan kulit tidak banyak. Justeru ia memerlukan krim dan bantuan untuk melembapkannya.

* Kulit berminyak - Kulit kasar dan berkilat. Kelenjar sebaceous terlalu aktif dan pori-pori kelihatan besar. Kulit jenis ini memerlukan penjagaan rapi. Ia mudah berjerawat .

* Kulit kombinasi - Kebanyakan kita memiliki kulit kombinasi. Bahagian tengah muka, dahi, hidung dan dagu berminyak dan tampak kasar manakala bahagian lain akan kelihatan halus dan licin.


Laser Pixel

Pada masa kini teknologi laser digunakan dengan meluas bagi meningkatkan kecantikan kulit. Laser pixel merangsang kulit dan mengelakkan masalah kulit kusam. Apabila pixel dibuat, pancaran laser yang menusuk kulit akan mengeluarkan sel-sel mati dan meningkatkan aktiviti sel-sel baru. Ini membolehkan sel lama dikeluarkan dan aktiviti penggantian kulit akan lancar. Dengan ini kita akan mendapat sel-sel baru yang lebih baik.

Laser juga mengecilkan kelenjar sebum. Apabila minyak kurang keluar maka wajah tampak lebih sekata dan lebih berseri. Begitu juga dengan white head. Penggunaan laser menghapuskan white head akibat daripada minyak yang banyak.

Penggunaan laser yang berkualiti adalah sangat mustahak bagi menghasilkan kesan yang diingini. Terdapat pelbagai jenis laser dan setiap satunya amat spesifik tindakannya. Laser jenis pixel bertindak menghapuskan jenis parut berlubang dan membuang sel-sel mati yang melekat pada kulit. Justeru itu ia amat sesuai bagi rawatan kulit kusam. Pixel sesuai bagi semua jenis kulit.

Selepas rawatan laser dijalankan amat mustahak bagi kita menjaga kulit agar tidak terkena pancaran matahari selama seminggu. Pada waktu ini amat penting sekali bagi kita menggunakan pelindung cahaya matahari yang baik dan krim pelembap yang disyorkan oleh doktor. Sekiranya langkah-langkah ini diikuti kita pasti mendapat hasil yang sangat baik dan kulit yang benar-benar halus dan mulus.


Kulit Halus

Kulit yang halus mudah diuruskan. Ia sukar berjerawat berbanding kulit yang kasar. Ini kerana kelenjar minyaknya adalah sekata dan tidak berlebihan. Ia juga tampak sempurna apabila disapu bedak atau mekap. Pori-porinya yang kecil membuatkan sapuan mekap sempurna dan sama rata.

Apabila berbedak dan bermekap ia mampu menyimpan bedak dan mekap jauh lebih lama. Ini membuatkan anda kelihatan segar dan berseri sepanjang hari. Mereka yang berkulit halus juga tidak berasa ragu untuk tampil tanpa mekap. Ini kerana kulit yang cantik dan licin akan tetap menarik meskipun tiada sebarang solekan dikenakan.

Bagi anda yang bermasalah kulit kasar dan ingin mengubah strukturnya menjadi lebih baik anda bolehkah mencuba kaedah ini kerana rawatan laser yang tepat sangat bermanafaat kepada kulit kita.


Lagi info tentang KULIT KUSAM di sini.

Read more...

Anatomi Kulit


Kulit mempunyai 3 lapisan iaitu epidermis, dermis dan tisu subcutaneous yang berlemak.


Epidermis

Epidermis adalah lapisan paling atas yang nipis. Ketebalan epidermis berbeza-beza mengikut kedudukan dan taburannya pada tubuh kita. Misalnya epidermis pada tapak tangan dan kaki lebih tebal berbanding epidermis kulit pada badan. Yang paling nipis adalah epidermis pada kelopak mata. Epidermis terbentuk daripada beberapa lapisan dengan yang teratas sekali dipanggil stratun corneum.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Stratum corneum dipenuhi sel-sel mati yang amat halus dan sukar dilihat oleh mata kasar. Sel-sel ini akan disingkirkan setiap hari. Ada kalanya ia banyak dan dilihat seperti kulit mengelupas. Bagi pengguna produk pengelupasan, apa yang disingkirkan adalah sel-sel epidermis ini. Proses pengelupasan haruslah mengikut prosedur dan sukatan yang betul. Andaikata bahan kimia yang digunakan adalah toksik dan boleh merosakkan sel. maka seluruh epidermis akan rosak dan tidak mampu dipulihkan sepenuhnya. Kulit akan tampak tidak sekata dan kehitaman disebabkan pigmentasi.

Lapisan kedua dikenali sebagai malphigian. Ia adalah lapisan sel-sel separuh matang yang mengeluarkan sel-sel bagi lapisan teratas. Sel melanocytes pula merupakan sel yang mengeluarkan warna kulit. Warna kulit yang gelap terhasil apabila kita berjemur di bawah matahari kerana sel melanocyte akan menjadi aktif apabila terkena pancaran matahari. Sebenarnya ini adalah proses pertahanan kulit kita terhadap ancaman matahari. Namun begitu sel melanocyte yang terlalu aktif akan menyebabkan kulit terlalu hitam atau pigmentasi. Bila ia kurang aktif kulit tampak keputihan seperti yang terjadi kepada pesakit sopak atau albino.


Dermis

Dermis mengandungi protein dipanggil kolagen yang memberikan keanjalan kulit. Ia merupakan satu tisu kompleks yang mengandungi salur darah, lymphatic, saraf, kelenjar, sel-sel rambut dan pelbagai sel lain yang berfungsi dengan unik bagi menstabilkan kulit.

Lapisan Lemak

Lapisan paling bawah adalah lelemak pada kulit. Lelemak ini penting bagi memberi kontur yang cantik pada wajah. Cuba lihat individu yang tiada lemak pada pipi. Pipinya kelihatan kecut dan tidak manis di pandang. Bak kata orang orang tua 'hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong'. Pepatah itu menunjukkan seseorang akan tampak tidak manis bila pipinya kecut.

Kalenjar

Kalenjar pada kulit pula terdapat tiga jenis iaitu :

* kalenjar apokrin yang taburannya pada kawasan berambut seperti ketiak dan genitalia. Ia mengeluarkan bau badan seseorang.

* kalenjar sebaceous yang mengeluarkan sebum dan pelincir tubuh. Taburannya pada seluruh tubuh kecuali pada tapak tangan dan kaki.

* kalenjar ekrin pula adalah kelenjar peluh yang berfungsi menseimbangkan garam dan air dalam badan kita.


Lagi info tentang KULIT di sini.

Read more...