Seorang
pengganas Sulu yang dibunuh oleh penduduk setempat di Semporna baru-baru
ini tidak hanya mendedahkan wujudnya penyertaan militan dari Selatan
Filipina dalam kes pencerobohan Sabah malah tangkal yang dipakai lelaki
yang mati itu menunjukkan amalan ilmu hitam dijadikan sandaran untuk
menambah keyakinan di medan tempur.
Dalam kejadian
di Kampung Sri Jaya, Simunul itu selepas serangan hendap oleh pengganas
Sulu yang mengorbankan 6 nyawa anggota keselamatan negara, penduduk
setempat yang kebanyakannya keturunan Sulu telah mengambil tindakan
drastik membelasah dan membunuh seorang pengikut MNLF bersenjatakan M16
yang mengaku telah membunuh 6 polis tersebut.
MNLF yang
diketuai Nur Misuari merupakan penyokong kuat Jamalul Kiram III yang
didakwa sebagai Sultan Sulu yang sah serta merupakan rakan baik kepada
Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim, sebelum ini pernah menafikan
penglibatannya dalam kemelut di Sabah. Penafian itu bagaimana pun
ternyata bohong kerana kejadian di Semporna mendedahkan sebaliknya.
Pengikut MNLF
yang mati itu mungkin menyangka tangkal kebal yang dipakainya berupaya
menjauhkan dirinya dari Malaikat Sakaratul Maut, tapi hakikatnya, besar
atau kecil tangkal kebal atau sehebat mana ilmu hitam yang dimilikinya,
bila sampai ajal akan mati juga.
Sebahagian
orang Sulu terutama dari Selatan Filipina memang sudah menjadi tradisi
mereka untuk memakai tangkal kebal sama ada yang dipakaikan di leher,
lengan, tangan atau pun di pinggang, malah ramai yang mengamalkan amalan
ilmu hitam kononnya sebagai pendinding semasa berada berperang.
Demikian halnya
dengan pengikut Jamalul Kiram III dan pengikut MNLF turut tak
terkecuali dari amalan khurafat dan syirik itu. Biasanya sehari sebelum
pertempuran, mereka akan mandi beramai-ramai sambil membaca ayat
Al-Quran yang di campur aduk dengan jampi serapah untuk menyeru
pendamping.
Mungkin kerana
pengaruh ilmu hitam sebegitu ditambah lagi dengan rasukan syaitan
menyebabkan peri kemanusiaan mereka hilang sama sekali sehingga tergamak
memenggal kepala lawannya tanpa sedikit pun belas ehsan semasa
pertempuran pengganas Sulu itu dengan anggota polis.
Manakala
mayat-mayat anggota keselamatan yang lain pula sengaja diletakkan bom
(booby trap), modus operandinya memang sama seperti yang sering
dilakukan oleh pengganas komunis sewaktu zaman darurat dulu.
Jelas sekali
apa yang dilakukan oleh pengganas Sulu ini sama sekali bercanggah dengan
tuntutan Islam yang mengehendaki umatnya tidak berlaku kejam terhadap
musuh apatah lagi menjadikan mayat musuh sebagai perangkap bom. Kejam
dan ganas.
Selain itu,
kaitan sejarah lama keturunan Kiram itu sendiri yang sudah terbiasa
melakukan pembunuhan ganas secara besar-besaran ke atas rakyatnya
sendiri sekitar tahun 1906 dan 1911 di Bud Dahu dan 1913 di Bud Bagsak,
Jolo, Sulu sewaktu pemerintahan Sultan Kiram II dulu, juga boleh diambil
kira sebagai punca pengikut Jamalul Kiram III menjadi ganas dan kejam.
Walau apa pun
alasannya, yang pastinya kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah
dan kini sedang digempur oleh pasukan keselamatan negara, perlu menerima
akibatnya di atas kekejaman dan keganasan yang telah mereka lakukan.
Kita telah
memberi peluang untuk mereka berundur secara baik sesuai dengan tuntutan
Islam yang mendahulukan perundingan demi mencegah pertumpahan darah
apatah lagi sesama Islam, kini dasar berlembut yang kita tonjolkan telah
dibalas dengan kekerasan, maka wajiblah atas kita untuk bangkit
menegakkan hak dan kebenaran. mynewshub
No comments:
Post a Comment