KUALA LUMPUR: Mangsanya hampir 30 lelaki yang sanggup menyerahkan puluhan ribu ringgit hanya kerana tergoda dengan kata-kata cintanya dalam laman sosial Facebook (FB).
Gadis itu yang hanya mahu dikenali sebagai Liana mengakui menggunakan kepakarannya mengayat ramai lelaki bagi mendapatkan wang mereka untuk berfoya-foya, termasuk melancong keluar negara.
Dia yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menafikan mereka yang terjebak termasuk artis yang baru mencipta nama, bahkan beberapa adik kepada artis terkenal turut menjadi mangsa selain yang berkerjaya penting sebagai jurutera, jurujual dan eksekutif syarikat swasta.
Secara jujur, Liana berkata, perceraian ibu bapa menjadi punca dia melakukan perbuatan itu untuk membalas dendam, terutama bapanya yang banyak mengabaikannya, manakala ibu pula sibuk dengan kerjaya harian sebagai eksekutif syarikat.
Katanya, dalam sebulan, dia mampu meraih dua tiga ribu ringgit hanya berbekalkan air liur untuk menggoda lelaki yang bagaikan terpikat dengan pesona menarik gambar yang dipaparkan dalam laman sosial itu.
Malah, katanya, dia tidak pernah menyesal dengan apa dilakukannya, sebaliknya mampu melepaskan tekanan akibat kesunyian dengan menggoda lelaki.
“Saya mula teruja dengan perbuatan ini apabila memasukkan gambar seksi dalam laman sosial semata-mata untuk menarik perhatian kenalan yang menjadi rakan saya dengan niat menggoda atau ‘test market’.
“Mungkin terpikat dengan gambar sedemikian, ia menjadi senjata untuk membuatkan ramai yang suka bersembang dengan saya dan ingin mengenali saya dengan lebih dekat.
“Bayangkan dalam sekelip mata, saya ada lebih seribu kenalan. Semuanya saya layan dengan baik… jika ada yang hendak bertemu, saya memberi pelbagai alasan tidak boleh keluar.
“Kebanyakan mangsa saya adalah artis baru, anak orang kaya atau yang memiliki kerjaya menarik. Soal memasukkan wang ke akaun bank, mereka tidak kisah berapa jumlah yang saya minta,” katanya kepada wartawan Metro Ahad selepas berjaya memujuknya beberapa kali menceritakan perbuatannya.
Liana berkata, selepas memasukkan wang ke dalam akaun, dia memberi helah memaklumkan wang tiada dalam akaun dan meminta wang dimasukkan lagi.
“Lelaki yang bagaikan lembu dicucuk hidung akan terus memasukkan jumlah lebih banyak ke akaun saya,” katanya yang mengakui ada mangsanya bergelar anak seni dan adik artis terkenal.
Kebanyakan mereka menawarkan diri untuk menjadi teman lelaki dan tidak kurang mengajaknya berlibur.
“Saya sebenarnya bukan gadis liar yang gemar menghadiri parti liar atau bersosial. Apabila melihat lenggok mereka lebih condong ke arah hubungan seks, saya terus mematikan perbicaraan.
“Hampir tiga tahun saya melakukan kerja itu hingga sekarang, saya berasa seronok melihat betapa ramai lelaki mudah terpedaya dengan wanita cantik. Namun jika melihat gaya lelaki jujur pula, saya tidak sampai hati untuk mengayat mereka,” katanya.
Ditanya mengenai wang diterimanya, Liana yang tinggal bersama ibu selepas bercerai sejak lima tahun lalu berkata, dia menghabiskan wang itu bersama rakan dengan membeli-belah mahupun karaoke atau melancong ke pelbagai destinasi.
Menurutnya, dia banyak menghabiskan masa dengan Internet untuk muat turun gambar dan aktiviti dilakukan supaya dirinya sentiasa ada perkembangan terbaru.
“Saya mengambil gambar kawan yang cantik dengan penampilan badan menarik, lalu saya masukkan ke dalam FB. Oleh kerana fizikal saya gemuk, sudah tentu saya malu untuk menampilkan diri sebenar.
“Pernah terjadi seorang kenalan mahu berjumpa dan kami mengadakan janji temu di kompleks beli-belah. Saya menyatakan kesanggupan bertemu demi meyakinkan mereka.
“Namun saya tidak menyatakan diri yang sebenar. Kalau pakai baju biru, saya katakan warna merah untuk mengelirukan mangsa.
“Apabila melihat dia (mangsa) datang dengan menggambarkan warna dan jenis pakaian dipakai, ketika itu saya segera bersembunyi.
“Kemudian saya hubungi lelaki itu dengan mengatakan tidak dapat datang kerana tiba-tiba ada kecemasan atau sakit. Kebanyakan alasan diberi agak konkrit, menyebabkan mangsa percaya apa saya katakan.
“Sebaik melakukan penipuan, saya berasa puas apabila melihat kesungguhan mangsa untuk benar-benar bertemu.
“Daripada situ saya membuat kesimpulan jika selama ini lelaki suka menipu perempuan sesuka hati mereka, kali ini saya ingin melihat bagaimana lelaki pula diperdaya,” katanya.
sumber : http://www.suarapeople.com/2011/12/hampir-30-lelaki-yang-sanggup-menyerahkan-puluhan-ribu-ringgit-hanya-kerana-tergoda-dengan-kata-kata-cintanya-dalam-laman-sosial-facebook-fb/
sumber : http://www.suarapeople.com/2011/12/hampir-30-lelaki-yang-sanggup-menyerahkan-puluhan-ribu-ringgit-hanya-kerana-tergoda-dengan-kata-kata-cintanya-dalam-laman-sosial-facebook-fb/
No comments:
Post a Comment