Thursday, July 18, 2013

Islam Hanya Pada Nama

سم الله الرحمن الرحيم


Alhamdullilah. Syukur kepada Allah kerana kita masih lagi dapat bersama hari ini. Apa-apa pun saya harap kita semua semakin hari semakin mendalam ilmu kita kepada ajaran Islam.

Alhamdulillah, selepas Solat maghrib, diadakan slot Tazkirah di Masjid An-Nahdah Shah Alam. Alhamdulillah, saya hari itu yang sudah maklum akan program pengisian ini bersedia dengan sekeping kertas yang dilipatkan dalam poket baju melayu dan sebatang pen.

Sememangnya zaman sekarang ini sudah terbalik, kebanyakan kita yang menghadiri Majlis Ilmu datang dengan tangan kosong, dan tokguru / ustaz yang datang ingin memberi kuliah itu membawa kitab. Kalau zaman tok nenek kita dulu, tokguru datang dengan sehelai sepinggang, dan para pendengar sekalian bersiap sedia dengan kitab rujukan / buku nota.

Zaman sudah berubah... kesedaran untuk menuntut ilmu kurang, kita sekadar datang untuk mendengar, itupun kebetulan pihak masjid mengisi ruang-ruang antara maghrib dan isyak dengan Kuliah Agama. Kalau tak ada, mungkin kita lebih suka berbual atau menonton televisyen di rumah dari menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid.

Berbalik kepada program tazkirah sesudah Solat maghrib tadi, saya kongsikan sedikit ilmu yang sempat saya catatkan, sebagai peringatan untuk kita semua terutamanya diri saya sendiri. Itulah pentingnya kita yang menghadiri majlis ilmu ini bersedia dengan buku nota dan pen, catatan itu dapat kita simpan dan boleh kita membacanya kembali, kalau harapkan ingatan kita saja untuk mengingati segala ilmu yang disampaikan, rasanya tak sampai 2,3 hari, maklumlah kita manusia ini sifatnya pelupa, ditambah lagi dengan kita mendengar dan melihat perkara-perkara lagha di televisyen, akhbar, semua yang bermanfaat hilang begitu sahaja.
Antara tazkirah yang disampaikan :

Seorang mualaf yang baru memeluk Islam. Terharu apabila beliau menceritakan detik-detik beliau terbuka pintu hati untuk memeluk agama Islam.

Beliau muda juga orangnya. Nak dekat 30. Alhamdullilah. Tetapi hari ini saya nak berkongsi sedikit pengajaran dan pengalaman beliau…

Apa yang saya nak ceritakan pada hari ini, kita yang lahir telah atau secara automatiknya menjadi Islam diatas kertas tidak begitu berbangga dan bersyukur kerana kita dianugerahkan agama Islam kepada kita.

Pada diri kita, janji kita tahu mengucap, tahu sebut nama Allah dan Nabi S.A.W, solat sekadar yang kita mampu itu sudah mencukupi kerana kita langsung tidak mahu membincangkan dan memikirkannya.

Bagaimana perasaan anda apabila orang yang berbangsa cina atau india yang baru memasuk Islam dan dapat menghayati Islam lebih baik dari kita dan satu hari dia menyoal kita sesuatu perkara dan kita tidak dapat menjawabnya?

Pernahkah anda terfikir bagaimana perasaan kita diwaktu itu? Adakah hati kita akan diam begitu sahaja? Atau adakah hati kita akan merasa malu kerana orang yang baru memeluk Islam itu lebih pandai agamanya berbanding diri kita yang telah Islam sejak lahir TETAPI satu ilmu pun tidak ada

Soallah hati anda? saya begitu sedih apabila sahabat mualaf semalam berceritakan alangkan bertuahnya anak-anak melayu yang sejak lahir telah memeluk Islam sedangkan dirinya baru terima Islam pada lewat 20an.

Alangkan bagusnya jika dia memeluk Islam sejak lahir lagi seperti diri kita anak-anak melayu? itulah sebahagian kata-katanya yang membuatkan saya tersentak dan terharu serta sedih apabila memikirkan bahawa banyak anak-anak melayu sebenarnya leka dengan pentas duniawi ini.

Beliau banyak berbicara mengenai Islam. Seronok juga dapat mengetahui dari hati beliau dan bagaimana terbuka pintu hatinya untuk menerima Islam. Salah satu sebab beliau memasuk Islam adalah kerana beliau ingin mencari TUHAN? Beliau mengkaji kesemua agama yang ada di negara ini. Dari satu agama ke satu agama sehinggalah beliau terjumpa dengan salah satu ayat Al-Quran yang betul-betul terbuka pintu hatinya iaitu surah Al-Ikhlas...

Bismillahhirrahmanirrahim :
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang.

Qulhuwallahhuahad :
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.

Allahhussamad :
Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Lamyalidwalamyulad :
Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan.

Walamyakullahukufuwanahad :
Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Pada waktu ini cubalah anda meneliti kenapa beliau begitu tertarik pada ayat diatas sehingga dia memeluk Islam? Fikirkanlah dan renungkanlah sejenak!

Kesimpulan

Islam adalah cara hidup kita secara menyeluruh. Dari cara berbahasa, berpakaian, makanan, beri nama anak, cara berurus-niaga, perkahwinan dan sebagainya. Sedar atau tidak kita sering diperhatikan oleh orang bukan Islam. Niat kita mengamalkan sesuatu perlu sentiasa kerana Allah... dan secara tidak langsung menunjukkan ciri-ciri istimewa sebagai seorang yang bergelar muslim ini kepada orang lain. Kita orang Islam beruntung, ada panduan Al-Quran dan sunnah peninggalan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sudah hampir tiba suatu masa di mana tidak ada yang tinggal pada ISLAM kecuali namanya sahaja dan tidak tinggal pada AL-QURAN kecuali tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong / roboh dari petunjuk. Ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali."

Yang BARU terbuka hati dengan Islam, apakah agaknya hati mereka tentang Islam.

Selalu kita dengar mualaf cakap;

"Saya syukur kenal Islam sebelum kenal orang Islam. Barangkali saya tidak peluk Islam kalau kenal orang Islam sebelum kenal Islam."

Subhanallah!

Kadang-kadang ada juga terfikir...orang yang dilahirkan dalam agama Islam pun agak payah untuk menjiwai Islam. Tapi, mualaf yang baru memeluk agama Islam... menjiwai agama Islam seperti dari kecil dia dah mengetahui keindahan Islam...rasa terharu, dan harap-harap jiwa dan minda saya akan terus sentiasa menjiwai dan mencintai agama Islam yang indah...

Mulakan Islam Dari Diri Kita

Untuk meningkatkan komitmen kita terhadap Islam, banyak yang mesti kita lakukan. Langkah berikut merupakan beberapa langkah dasar yang patut dilaksanakan:

1.Meningkatkan pengetahuan Islam secara sempurna dan menyeluruh:Perlulah memahami ilmu tentang Allah, Rasul dan al-Quran. Untuk melahirkan keyakinan dan kekuatan iman mustahil diperolehi tanpa pengetahuan terhadap apa yang diimani. Ertinya, tahap keimanan, banyak ditentukan oleh tahap pemahaman seseorang.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."(Surah az-Zumar ayat 9)

Oleh itu sebagai seorang Muslim ilmu pengetahuan mengenai Islam yang asas dan menyeluruh perlulah dipelajari dan difahami supaya kefahaman kita bukanlah berdasarkan ikutan semata-mata. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Dewasa ini umat Islam hanya memahami secara serpihan yang terpisah-pisah dan tidak difahami secara satu sistem hidup.

2. Memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketaatan.

3. Zikir dan fikir: Zikir adalah mengingati Allah beserta sifat-sifat-Nya, kebesaran-Nya dan membaca kitab-Nya; sehingga hati selalu berhubung dengan Allah s.w.t.


Jika kita susah ke masjid di waktu usia muda... dikhuatiri lagi susah kita ke masjid di waktu usia tua... jangan bertangguh untuk beramal... dan jadikanlah seluruh bumi ini masjid untuk kita beribadah....

Jiwa Hamba

No comments:

Post a Comment