Thursday, July 18, 2013

Turutan kewajipan anak lelaki / suami & anak perempuan / isteri.

Pic ini secara ringkas kewajipan dan keutamaan kita sebagai suami atau isteri

Turutan kewajipan anak lelaki / suami & anak perempuan / isteri.

Kadang-kadang kita keliru, sebagai anak lelaki, kita nak utamakan ketaatan kepada siapa..? Nak utamakan ibu bapa atau isteri..? Kadangkala yang perempuan sebagai isteri, nak taat kepada suami atau ibu bapa, yang mana lebih patut diutamakan..?

Jadi, pelbagai keadaan berlaku dalam kehidupan kita. Kita sebagai suami wajib taat kepada ibu bapa, dan isteri wajib taat kepada suami. Jika ada sebarang masalah, bersegeralah untuk berbincang dan bertolak ansur.

Aturan Keutamaan Dalam Hidup Suami dan Isteri

Lihat turutan di bawah untuk lebih faham mengenai aturan keutamaan manusia dalam hidup lelaki dan perempuan selepas berkahwin;

Lelaki
  1. Ibu Bapa Kandung 
  2. Isteri 
  3. Anak-anak 
  4. Ibu Bapa Mertua 
  5. Adik beradik Kandung / Tiri 
  6. Adik Beradik Isteri 
  7. Datuk / nenek 
  8. Anak-anak saudara dekat 
  9. Lain-lain saudara luar (bapa saudara, sepupu sepapat, biras) 
  10. Jiran Tetangga 
Perempuan
  1. Suami 
  2. Anak-anak 
  3. Ibu bapa kandung 
  4. Ibu bapa mertua 
  5. Adik beradik kandung / tiri 
  6. Adik beradik suami 
  7. Datuk / nenek 
  8. Anak-anak saudara dekat 
  9. Lain-lain saudara luar (bapa saudara, sepupu sepapat, biras) 
  10. Jiran tetangga 
Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah yang bermaksud:“Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis riwayat Bazar dan al-Hakim)

Jadi, boleh nampak tak kat sini yang bagi seorang isteri, selepas berkahwin keutamaan dia berubah kepada suami dan anak-anaknya terlebih dahulu sebelum keluarganya sendiri. Namun, masih ramai yang belum faham peraturan ini, malah ada yang meletakkan keutamaan pada tempat yang tidak sepatutnya. Contohnya, mak bapak angkat, anak buah, sedara sekampung, kawan baik, dan rakan sekerja. Ada pulak yang sanggup berhutang untuk tolong rakan sekampung, padahal anak bini terabai.

Sebenarnya isteri selepas berkahwin kalau tak nak jenguk saudara maranya pun, beliau tidak berdosa. Kita ini manusia biasa, perkara yang wajib pun tak tertunai inikan pula yang sunat. Sudah menjadi keutamaannya sebagai isteri untuk mendahulukan hal suami dan anak-anak sebelum keluarganya sendiri. Malah, kalau ditakdirkan yang kedua-dua ibu si suami dan isteri sakit tenat serentak, si isteri hendaklah pulang mengikut suaminya menziarahi ibu mertuanya terlebih dahulu sebelum menjenguk ibunya sendiri.

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami’ no. 660, 661)

Malah, ibu bapa perempuan itu pula mendapat pahala di atas ketaatan anaknya pada suami. 

Tanggungjawab sebagai anak akan dipenuhi selepas tanggungjawab "terpindah" sebagai suami isteri dipenuhi. Namun, tak semua tanggungjawab pada ibu bapa mesti kita patuh. Ada batas dan had-had yang mesti diketahui supaya tidak diambil kesempatan.

Di sinilah bezanya antara kewajipan dan hak. Kewajipan adalah tanggungjawab yang merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi hak seseorang. Sementara hak pula adalah perkara yang hanya boleh diperolehi apabila seseorang menjalankan kewajipannya. Sebagai contoh, hak seorang isteri adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang anak. Namun, bukan semua hak ibu adalah kewajipan anak-anak. Tambahan pula bagi anak lelaki yang sudah berumahtangga.

Apabila sudah berumahtangga, kita mengambil "tanggungjawab terpindah". Faham tak apa maksudnya? Tanggungjawab yang terpindah di bahu kita sebaik sahaja lafaz akad nikah dibuat. Bila kita sendiri memilih untuk memindahkan tanggungjawab dari ibu bapa kepada suami dan isteri, maka kita harus tunaikannya sebaik mungkin. Terbatalnya akad nikah ni, maka terlucutlah tanggungjawab si suami pada isterinya dan begitulah sebaliknya. Bila dah jadi ex, isteri terpulang untuk tidak patuh lagi dengan bekas suaminya.

Maka, di sini kewajipan seorang anak lelaki adalah untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu barulah berkewajipan menunaikan hak seorang ibu. Kenapa? Kerana hak seorang ibu itu sewajarnya dipenuhi oleh suami si ibu iaitu bapa si anak. Jika suami si ibu tiada lagi atau tidak mampu, maka anak-anak lain yang tidak mempunyai kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya sendiri berkewajipan menunaikan hak ibu mereka. Contohnya anak yang masih bujang dan tinggal serumah dengan ibu bapa.  

Bererti, walaupun seseorang itu adalah anak lelaki sulung atau tunggal dan telah berumahtangga serta mempunyai anak-anak sendiri, lelaki ini MEMPUNYAI KEUTAMAAN UNTUK MENUNAIKAN HAK-HAK ISTERINYA DAN ANAK-ANAKNYA TERLEBIH DAHULU berbanding hak ibu bapanya atau adik beradiknya yang lain. Perlu diingat juga, hak yang dimaksudkan adalah apa-apa perkara yang merupakan KEPERLUAN sahaja, bukan kemewahan atau kehendak yang melampau. Hadis yang bermaksud : "Sekiranya aku memerintah seseorang supaya sujud kepada seseorang , nescaya aku akan memerintahkan seorang perempuan supaya sujud kepada suaminya."

Hadis ini adalah sahih. Ia diriwayatkan oleh Al-Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah. Ia menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab seorang isteri kepada suami yang merupakan ketua rumah tangga. Apabila suami dan isteri saling menunaikan tanggung jawab masing-masing Insya Allah, rumah tangga mereka merupakan sebuah taman yang diberkati oleh Allah .

No comments:

Post a Comment