Thursday, July 18, 2013

Samping lengkapkan gaya lelaki Melayu

18 Jul - Sedar tak sedar, sudah 10 hari kita menyambut kedatangan Ramadan, semestinya para jejaka sudah pun merancang dan memperlengkapkan segala persiapan raya termasuklah pakaian yang akan dipakai sewaktu menjelang lebaran nanti. 

Sudah tentu baju Melayu merupakan pilihan utama kaum lelaki untuk tampil bergaya pada pagi raya. Namun, tidak lengkap rasanya berbaju Melayu tanpa memakaian samping. Samping yang diikat pada bahagian pinggang sama ada di luar atau di bawah baju Melayu merupakan pakaian harian lelaki pada zaman dulu. Ia juga menunjukkan perbezaan darjat seseorang melalui pemilihan motif, warna dan gaya ikatan. Kini, baju Melayu dipakai sewaktu menghadiri majlis rasmi, upacara akad nikah, menunaikan solat Jumaat dan menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha. 

Dengan memakai samping, penampilan seseorang lelaki kelihatan lebih berketerampilan dan kemas selain membuktikan bahawa baju Melayu merupakan satu fesyen yang unik bagi masyarakat Melayu. 

Selalunya, samping menggunakan kain kapas namun untuk kain songket dan sutera juga sering digunakan untuk acara formal atau mahu lebih bergaya. Samping yang diperbuat dari fabrik songket banyak didapati di Kelantan dan harganya lebih mahal dari kain kapas. Samping tenunan sutera yang berkualiti tinggi pula sangat popular di Pahang. 

Untuk memakai samping di majlis-majlis tertentu terutamanya majlis istana, terdapat beberapa etika ikatan samping yang perlu diikuti bergantung kepada jenis baju Melayu yang dipakai samada Baju Melayu Cekak Musang dan Baju melayu Teluk Belanga. 

Ikatan samping di atas baju dipanggil samping dagang luar dan biasanya dikenakan bersama baju Melayu Cekak Musang oleh masyarakat Pahang manakala pemakaian samping di bawah baju iaitu samping dagang dalam selalunya digayakan oleh masyarakat Johor dengan Baju Melayu Teluk Belanga. 

Terdapat tiga jenis ikatan yang boleh dipraktikkan ketika memakai samping iaitu ikatan pancung, ikatan kembung (selalunya untuk pengantin lelaki) dan ikatan lingkup.