Friday, February 25, 2011

Hati Puas Jodoh Setia

KUALA LUMPUR: Bagi lelaki dikenali sebagai Amin, 35, yang baru tujuh bulan berkahwin dengan gadis Maghribi menerusi bantuan Mohd Fairudz, dia bersyukur dipertemukan jodoh dengan gadis negara berkenaan.
“Sebelum ini saya dua kali tidak jadi kahwin dengan tunang saya. Selepas membaca hidup Mohd Fairudz dan berkenalan dengannya, saya cuba ikut jejak langkahnya.

“Syukur... semua berjalan lancar. Tiada budaya ‘dating’ tanpa muhrim dan mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan apa yang saya mahu (berkahwin),” katanya.
Menurut Amin, dia pada mulanya bimbang tidak diterima ibu bapa isterinya tetapi selepas menunjukkan kesungguhan dan kemampuan untuk menjaga anak mereka, dia diterima sebagai menantu.

“Seperti diberitahu Mohd Fairudz, gadis Maghribi di kawasan pinggir bandar taat kepada perintah ibu bapa. Apabila saya berkenan dengan seorang gadis yang diperkenalkan Mohd Fairudz, saya jumpa orang tuanya.

“Saya menunjukkan kesungguhan dan kemampuan untuk menjadikan anak mereka sebagai isteri, dan mereka setuju,” katanya.

Amin berkata, untuk menjaga isterinya juga mudah kerana mereka taat kepada suami dan tidak ligat kerana mereka bukan jenis sosial.

“Isteri saya gembira berada di Malaysia. Serba serbi ada menyebabkan dia selesa. Tinggal lagi saya perlu menjaganya dengan baik,” katanya.
Bagi seorang lagi lelaki yang turut mengahwini gadis Maghribi dengan bantuan Mohd Fairudz, dia sememangnya mengimpikan perkahwinan campur.

Mahu dikenali sebagai Rahmat, 30, dia baru lima bulan bergelar suami kepada seorang gadis negara itu.

“Memanglah (gadis Maghribi) sedap mata memandang, tetapi saya memang bercita-cita mahu kahwin dengan orang luar. Memanglah perkahwinan saya umpama kahwin zaman dulu — bercinta selepas kahwin — tetapi ia pengalaman yang sangat menyeronokkan.

“Memandangkan gadis Maghribi sangat setia dan taat kepada suami, tiada masalah untuk saya hidup bersamanya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang wanita Maghribi yang bergelar isteri kepada penduduk negara ini mengakui tertarik dengan jejaka Malaysia selepas melihat kehidupan berumah tangga Mohd Fairudz dan isterinya.

“Ikutkan, memang susah untuk orang Arab kahwin dengan orang luar, tetapi selepas melihat kehidupan berumah tangga rakan saya dengan jejaka Malaysia, saya tertarik kerana mereka (jejaka Malaysia) baik.

“Alhamdulillah, saya mendapat jodoh orang Malaysia dengan bantuan Mohd Fairudz. Selepas lapan bulan kahwin saya tiada masalah dengan suami... makanan sangat bagus, sedap dan banyak pilihan di Malaysia,” katanya.

Beliau mengakui disebabkan pegangan agama yang masih kuat di kalangan ibu, ayah dan keluarganya di Maghribi, segala urusan untuk berumah tangga dan menjadi isteri terbaik untuk suami mudah dilaksanakan.

“Kami tiada budaya ‘dating’ dan sangat patuh dengan ibu bapa. Apa disuruh oleh ibu dan ayah, itu yang kami buat.

“Perkahwinan saya dengan orang Malaysia juga atas persetujuan mereka dan saya yakin beroleh bahagia kerana ibu dan ayah lebih tahu apa yang terbaik untuk saya.

“Suami pula cukup serba serbi dan mampu menjaga saya dengan baik,” katanya.

Read more...

Thursday, February 24, 2011

GADIS MAGHRIBI

BAHAGIA... Mohd Fairudz bersama isterinya yang kini berusia 28 tahun.
BAHAGIA... Mohd Fairudz bersama isterinya yang kini berusia 28 tahun.
KUALA LUMPUR: Mereka bukan saja memiliki pakej lengkap sebagai isteri termasuk wajah persis artis, malah boleh dijadikan teman hidup pada harga semurah RM14,000.
Itu bukan omong kosong, malah segelintir jejaka Malaysia beragama Islam menikmati saat manis melayari rumah tangga dengan wanita Maghribi yang dikatakan memiliki pelbagai kelebihan berbanding wanita tempatan dan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Selain sama agama dan berwajah jelita, wanita dari benua Afrika Utara itu dikatakan berkulit gebu, subur, belum ‘tercemar’ dan akan mengabadikan sepenuhnya jiwa dan raga terhadap lelaki yang menjadi suaminya.

‘Trend’ yang semakin hangat diperkatakan itu didedahkan seorang lelaki yang berpengalaman empat tahun hidup bahagia beristerikan gadis Maghribi lepasan kolej, malah sudah mempunyai seorang anak.


Mohd Fairudz Mohd Yusoff, 34, berkata sehingga hari ini sekurang-kurangnya lapan lelaki di negara ini mengikut jejak langkahnya dan ia menjadi kenyataan di atas khidmat secara percuma diberikannya.

“Segala-galanya bermula apabila saya meletakkan paparan tawaran e-books mengenai bagaimana untuk melancong ke Maghribi dengan kos rendah di beberapa laman web forum dan pada masa sama saya turut memberitahu bahawa saya mempunyai isteri warga negara itu.

“Daripada paparan itu, ramai bertanya bagaimana saya bertemu jodoh dengan gadis Maghribi. Lalu, saya menceritakan pengalaman saya dan berkongsi maklumat pelbagai keistimewaan gadis Maghribi dari kawasan pinggir bandar.

“Malah berdasarkan pengalaman, kos untuk mengahwini mereka tidak semahal mana kerana mata wang kita lebih besar daripada mata wang mereka, Moroccan Dirham,” katanya.

Mohd Fairudz yang mempunyai pengalaman menetap di Maghribi kira-kira dua tahun mendedahkan, gadis dari kawasan dikenali dengan nama Agadiran Saf itu sangat menitikberatkan penjagaan diri dan kecantikan.

“Mereka mengamalkan mandi hammam iaitu mandi di bilik berwap dan menggunakan minyak argan yang membantu melambatkan kedutan pada kulit.

“Mereka juga pembersih dan menjaga makan, sebab itu mereka cantik,” katanya.

Menurut Mohd Fairudz, gadis berkenaan juga belum ‘tercemar’ kerana tidak dipengaruhi budaya luar seperti budaya Barat.

“Tiada budaya mempunyai kekasih atau keluar ‘berdating’ kerana mereka dikawal sepenuhnya ibu bapa dan taat kepada perintah. Jika mahu menyunting mereka sebagai isteri, jumpa ibu bapa mereka.

“Tak perlu ‘dating’ kerana jika ibu bapa setuju, mereka akur. Mereka perlukan seorang lelaki sebagai suami kerana mereka bukan wanita berkarier dan dijamin memberi layanan sempurna kepada suami,” katanya.

Golongan gadis terbabit juga biasanya suka menari hanya di kalangan wanita dan mereka tiada masalah untuk menari di depan suami untuk ‘menghangatkan’ suasana.

Memandangkan mereka hidup dalam keadaan sederhana, mereka tidak akan meminta yang bukan-bukan daripada suami seperti wang yang banyak, emas atau permata.

Mohd Fairudz berkata, pengalaman dicurahkannya mendapat reaksi luar biasa dengan ramai memberi reaksi mengadu berdepan pelbagai kesukaran untuk mengahwini wanita tempatan kerana pelbagai sebab, antaranya perbelanjaan kahwin semakin mahal, sukar mencari cinta sejati dan berdepan pelbagai halangan serta kerenah sebelum berkahwin.

“Memikirkan apa salahnya berbuat perkara baik dan pada masa sama isteri saya mahu mendapatkan ramai teman sebangsa di negara ini, saya beri panduan dan menolong memperkenalkan gadis Maghribi yang membabitkan saudara mara dan rakan isteri saya.

“Ada yang ‘sangkut’ sehingga bergelar suami isteri,” katanya.

Menurut Mohd Fairudz, masalah bahasa dan makanan mungkin menjadi sedikit masalah, tetapi gadis Maghribi cepat menyesuaikan diri dan belajar.

“Sebagai contoh, isteri saya menggunakan bahasa Arab, namun selepas beberapa bulan di Malaysia dia semakin lancar berbahasa Inggeris dan semakin memahami bahasa Melayu.

“Begitu juga soal makanan, kalau dah jadi suami isteri, pandailah masing-masing menyesuaikan diri,” katanya.

Mohd Fairudz turut memberitahu, risiko isteri menimbulkan masalah selepas berkahwin juga rendah kerana mereka berada jauh daripada keluarga.

“Sebelum ini mungkin kita biasa mendengar, orang kita kahwin dengan wanita Indonesia atau Thailand.

“Kerana Malaysia dengan negara berkenaan tidak berapa jauh, timbul masalah seperti keluarga selalu datang.

“Itu belum lagi ahli keluarganya yang minta pinjam duit atau menumpang di rumah kita sebab tiada kerja sehingga menimbulkan masalah.

“Untuk gadis Maghribi, ia sukar berlaku kerana mereka tidak ada komuniti di sini dan keluarga berada jauh beribu kilometer. Susah untuk mereka buat hal, melainkan kita yang buat hal,” katanya.

Read more...

Gadis Maghribi Pilihan Lelaki Tempatan sebagai ISTERI





Gadis Maghribi Pilihan Lelaki Tempatan sebagai ISTERI

Kini hangat cerita terbaru tentang ramai jejaka Malaysia telah mula melangkah ke Maghribi untuk mencari calon isteri.

Dikatakan mereka ini bersedia untuk menjadi isteri walau baru tamat pengajian di universiti.

Membaca artikel di Harian Metro keluaran Ahad 12 Desember 2010 ini mencuit hati ramai jejaka Malaysia.

Benarkah hal ini boleh membuat gadis Melayu tempatan tercabar dan tergugat?

Benarkah anda yang membaca artikel ini juga timbul rasa minat untuk ke Maghribi?

Apakah komen anda?

Read more...

Email Atau Mesej Berantai Dari Sudut Dakwah Islam

http://www.ustaznoramin.com/2010/10/email-atau-mesej-berantai-dari-sudut.html



Soalan :

Assalamualaikum ustaz,
ana mendapat 1 emel yg berbunyinya macam ini

Subject:

Fw: Sila sebarkan...amanah

Salam Syawal

''Jangan Berbangga dengan Calvin Klien & Armani Exchange anda kerana….
Pakaian Terakhir anda adalah Kain Kafan…& perfume anda adalah kapur barus..

'' Jangan Berbangga dengan BMW & Merz anda kerana….
Kenderaan terakhir anda adalah Keranda yang akan diusung…

'' Jangan Berbangga dengan Banglo dan Condo anda kerana….
Tempat Peristirehat anda yang terakhir adalah Kubur..

'' Jangan Berbangga dengan Kehenseman atau Kecantikan anda kerana…..
Akhirnya Hanya menjadi santapan si Cacing dan Serangga....

'' Saya bersumpah Demi ALLAH S.W.T , Demi ISLAM dan Demi ajaran AGAMA,
Saya akan menyebarkan mesej ini ke 15 teman2 saya..
Apabila Saya melanggar Sumpah saya ini, Maka MUSIBAH akan selalu menimpa saya...
Saya akan selalu GAGAL dlm usaha dan segala CITA-CITA takkan pernah terwujud.''

Anda sudah bernazar…

Pertanyaan daripada anda :

Adakah ini salah satu daripada contoh emel berantai yang sering diperkatakan. Adakah dengan membaca seperti

"Apabila Saya melanggar Sumpah saya ini, Maka MUSIBAH akan selalu menimpa saya...
Saya akan selalu GAGAL dlm usaha dan segala CITA-CITA takkan pernah terwujud.''

Anda sudah bernazar…"

nazar dengan sendirinya jatuh ke atas diri kita. Saya pernah membaca kisah tentang orang kafir yang sengaja mereka reka ayat seperti ini untuk merosakkan akidah umat islam. Apa pendapat ustaz.
Jawapannya :

Sebelum saya menyentuh masalah ini, maka lebih baik saya datangkan dahulu maksud dan konsep dakwah. Dakwah mengikut Kamus Dewan Edisi ketiga ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan.

Menurut Ensiklopedia Islam dakwah membawa maksud setiap kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah s.w.t sesuai dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Secara kebahasaan, dakwah adalah kata dasar (masdar) dari kata kerja da’a yang bererti panggilan, seruan atau ajakan. Kata dakwah sering dirangkaikan dengan kata “ilmu” dan kata “Islam”, sehingga menjadi “ilmu dakwah” dan “dakwah Islam” atau al-da’wah al-Islamiyah.

Menurut Abu ‘Urwah, pengertian dakwah dari segi bahasa membawa maksud menyeru atau memanggil, sama ada kepada perkara yang haq atau batil. Selain itu, seruan kepada Allah swt. Allah s.w.t berfirman :
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala i’tiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”. (Surah Yusuf : 108)
Dakwah Islamiah yang asli (Syumuliah Fi Da'wah)

Maksud Imam Al-Banna adalah bahawa dakwah Islamiah seharusnya membawa risalah Islam yang asli. Dakwah tersebut bukanlah didalam maksud yang sempit atau terbatas, misalnya terbatas pada sudut kecendekiawanan (keintelekan) saja, atau pada sudut politik semata dan lain-lain. Seterusnya manusia juga perlu memperoleh penjelasan tentang jalan dakwah Islamiah agar mereka faham tujuan dakwah yang sebenarnya sehingga masyarakat umum tidak merasa samar-samar akan cara-cara dakwah Islamiah.
Dakwah yang bersifat Rabbani (Robbaniah Fi Da'wah)

Yaitu berdakwah dengan menyeru manusia kepada Allah.
“Maka janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menyembah Tuhan Yang lain bersama-sama Allah, akibatnya Engkau akan menjadi dari golongan Yang dikenakan azab seksa. Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu Yang dekat. Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang Yang beriman.” (As-Syuaraa : 213-215)

Wasilah-wasilah (jalan-jalan) dakwah hari ini dan kemarin mungkin berbeza, dakwah pada masa lalu lebih dalam bentuk ceramah-ceramah atau khutbah-khutbah ataupun ditulis dalam risalah-risalah atau surat-surat. Namun wasilah pada hari ini adalah melalui majalah-majalah, surat kabar, risalah-risalah, peralatan radio, IT dan sebagainya. Kesemuanya ini adalah merupakan jalan untuk sampai kepada hati manusia.

Maksudnya, dakwah pada hakikatnya adalah untuk menghubungi hati-hati manusia, seruan-seruan, program-program dan sebagainya hanyalah berfungsi sebagai media untuk mencapai hakikat tersebut. Jadi, dakwah Islamiyah adalah dakwah yang mana kita ingin mengetuk pintu-pintu hati manusia agar terbuka dan menerima hakikat keimanan kepada Allah swt. Oleh karena itu, tugas kita semua sebagai ahli dakwah adalah untuk memperbaiki jalan-jalan (untuk sampai pada hati manusia) sehingga tercapailah apa yang dimaksud.

Ringkasnya, tugas seorang da’i adalah memanggil manusia kepada Allah, dengan berbicara kepada hati mereka melalui pembentukan kesadaran yang murni terhadap tanggungjawab mereka kepada Allah. Para da'i tidak akan dapat berfungsi sebagai pendakwah yang dapat membawa hidayah seandainya hati para da'i tersebut masih kotor. Karena itulah, Imam Al-Banna mengungkapkan agar para da'i menjadi :
"Rahib di malam hari, pejuang di siang hari (Ruhban fil lail, wa fursan fin nahar)"
Dakwah yang membawa makna Islah

Maksud dakwah yang membawa makna Islah adalah bahwa kita harus berusaha memperbaiki keadaan yang meliputi Ummah. Termasuk di sini adalah berbagai usaha yang mencakup setiap aspek, yaitu mengislahkan insan, masyarakat, dan negara.

Kita haruslah berupaya sedapat mungkin melaksanakan ataupun membantu setiap aspek yang membawa Islah.

Imam Al-Banna menyimpulkan maksud ini dalam seruannya :
"perbaikilah undang-undang, perbaikilah suasana lahiriah masyarakat, perangilah amalan-amalan yang berlebihan (ibahiah) di dalam masyarakat, susunlah sistem pendidikan... "

Demikian juga di dalam sejarah hidupnya, beliau banyak menulis surat baik kepada para ulama maupun para pemimpin masyarakat agar mereka mengusahakan perbaikan masyarakat dan negara.

Dakwah seharusnya bukan datang untuk menentang segala yang ada di dalam masyarakat, melainkan untuk memperbaikinya. Kita bukanlah bertugas sebagai hakim yang menilai, menghakimi, dan menghukum masyarakat; melainkan sebagai tabib yang mengubati masyarakat. Kita haruslah bersikap seperti pohon, manusia melempari kita dengan batu namun kita membalasnya dengan buah kebaikan.
Methodologi Dakwah

Pada dasarnya dakwah mestilah dilakukan tanpa kekerasan kerana Islam tidak membolehkan kekerasan atau paksaan dalam agama seperti Firman Allah :
“Tiada paksaan dalam beragama(masuk Islam). Sesungguhnya sudah nyata petunjuk dari kesesatan”. (Al-Baqarah : 256)

Menurut al-Mawdudi, paksaan akan melahirkan nifaq dan munafiq kerana dakwah adalah mengajak dengan kesedaran. Namun demikian, terkadang diperlukan kekerasan untuk menjaga kemuliaaan agama atau untuk memelihara masyarakat, negara dan sebagainya. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah :
“Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak sangggup dengan lidahnya. Jika ia tidak sanggup, maka dengan hatinya dan ini adalah iman yang paling lemah. ” (Hadis Sahih Muslim)

Dakwah yang hendak dilakukan hendaklah mengikut metodologi yang diikuti oleh para Nabi dan Rasul, disamping menyesuaikannya dengan perubahan zaman dan persekitaran, mengikut apa yang terbaik untuk zaman dan masyarakat tersebut. Dakwah boleh disampaikan secara lisan, tulisan atau memanfaatkan dari perkembangan teknologi maklumat yang wujud pada masa kini. Secara dasarnya, al-Quran telah memperjelaskan tiga cara dakwah yang efektif, seperti Firman Allah yang bermaksud :
“Serulah kepada jalan tuhan kamu dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. ” (Al-Nahl; 125)

Ahli tafsir tela menghuraikan maksud tiga cara tersebut :
  1. Hikmah : Iaitu keterangan yang jitu dan tepat yang dapat meyakinkan dan menghilangkan keraguan, dengan memasukkan roh tauhid dengan akidah iman, dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang jelas sehingga meyakinkan akal. Termasuk dalam hikmah ialah dengan menggunakan susunan kata-kata yang biasa dan senang diterima akal dan bukannya menggunakan kata-kata yang tidak difahami atau sukar difahami oleh penerima dakwah sepertimana yang dilakukan oleh Rasullullah saw.
  2. Nasihat Yang Baik(Mauizah Hasanah) : Iaitu huraian–huraian yang memberi petunjuk dan nasihat yang dapat menyedarkan dan membuka pintu hati untuk mentaati semua pertunjuk Islam. Huraian-huraian ini dilakukan dengan jelas dan tanpa menyakitkan hati orang lain. Metode ini ditujukan kepada orang-orang yang menerima dan sudah komited dengan prinsip dan fikrah Islam. Mereka tidak memerlukan kecuali nasihat untuk mengingatkan, memperlembutkan hati, dan menjernihkan segala kekeruhan yang wujud.
  3. Berdialog Dengan Cara Yang Baik : Iaitu memberi hujah atau bukti-bukti yang dapat menolak sanggahan dan pendapat lawan. Menurut Amin Ahsan Ishlahi, metode mujadalah hasanah adalah metode yang diizinkan oleh al-Quran, iaitu dengan pendakwah memberi penjelasan kepada pihak lawan dengan menggunakan prinsip-prinsip dan kesimpulan logik agar dapat mereka merenungkannya, menerima kebenaran atau tidak menentang seruan dakwah lagi.
Fokus Isu Soalan

Saya sebelum ini banyak juga menerima email dan mesej seperti ini, tetapi semua email dan mesej seperti ini saya abaikan, sebab orang yang menyebarkan ini mencari keuntungan peribadi dan tiada fakta dan nas yang jelas. Kecualilah kalau mesej atau email berantai yang dihantar menceritakan isu-isu atau berita tentang peperangan Gaza, kuliah agama di masjid-masjid tertentu, jemputan perkahwinan, jemputan mendengar ceramah, memohon sumbangan, kata-kata hikmah dan sebagainya. Ini terpulanglah kepada kita untuk menyebarkan ataupun tak, sebab itu hak masing-masing. Dakwah juga berbentuk ajakkan dan penjelasan dan bukan perangkap sepertimana yang dinyatakan dalam email tersebut seperti :
'' Saya bersumpah Demi ALLAH S.W.T , Demi ISLAM dan Demi ajaran AGAMA,
Saya akan menyebarkan mesej ini ke 15 teman2 saya..
Apabila Saya melanggar Sumpah saya ini, Maka MUSIBAH akan selalu menimpa saya...
Saya akan selalu GAGAL dlm usaha dan segala CITA-CITA takkan pernah terwujud.''

Saya lihat dari isi email yang awal memang dah bagus dan baik disebarkan kerana ini satu peringatan dan teknik dakwah zaman moden. Tetapi ia menjadi celaru apabila ada ayat sumpah pulak yang sekaligus memerangkapkan orang yang membacanya. Mengikut kaedah fiqh sumpah yang tidak menyebut “Wa Allah, Bil Allah, Tal Allah” tidak dosa dan tiada kifarah atau denda yang dikenakan. Lagipun orang yang membaca tidak jatuh sumpahnya kerana itu bukan datang dari keinginannya iaitu dari hati dan lidahnya dan itu secara perangkap sahaja. Boleh jadi juga ini adalah kerja jahat dari musuh-musuh Islam yang tidak henti-henti mencari teknik dan helah baru untuk menyesatkan orang Islam. Masalah ini saya tak mahu mengulas panjang sebab saya tiada bukti mengatakan bahawa ini semua kerja jahat musuh Islam.

Banyak lagi cara untuk berdakwah yang boleh dilakukan selain dari menghantar email atau mesej berantai ini. Kalau anda abaikan email dan mesej berantai ini pun tak jadi apa-apa masalah dan tak mendatangkan apa-apa musibah. Sebabnya kalau dilihat dari email tersebut tiada bukti nas atau dalil yang mengatakan kalau orang yang tak menghantar email atau mesej tersebut akan dimurkai Allah dan akan dikenakan bala bencana. Sebagai orang Islam yang bijak, anda buang sahaja kandungan sumpah tersebut dan hantarkan sebahagian email lagi yang tidak mengandungi sumpah laknat kepada kawan-kawan anda yang berdekatan, supaya ia dapat dibaca dan dimanfaatkan. Dalam masa yang sama, anda telah menyebarkan dakwah Islam kepada kawan-kawan anda dengan menggunakan konsep hikmah dan mauizah hasanah. Mudah-mudahan anda mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah.

Agama Islam adalah agama yang benar dan tiada paksaan kepada sesiapa yang ingin memeluknya. Kaedah dakwah yang saya berikan di atas adalah paling cantik untuk pendakwah (da’i) amalkan, kerana ia bersesuaian pada bila-bila masa dan keadaan. Lakukan dakwah dengan kebijaksanaan, ilmu, nasihat,contoh tauladan yang baik dan berdialoglah dengan memberikan bukti-bukti yang kongkrit untuk menarik minat manusia mengamalkan ajaran Islam.

Kecualilah umat Islam yang tidak mahu melaksanakan ibadah wajib dan melakukan jenayah-jenayah yang besar seperti, mencuri, maksiat, zina, tidak menutup aurat, murtad dan sebagainya. Maka barulah digunakan pendekatan kekerasan dan ancaman kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut dengan berpandukan dalil Al-Quran dan Hadis. Sekian dari penjelasan saya untuk masalah ini, saya mohon maaf kalau ada apa-apa kesilapan dan kekasaran.

Read more...

Bagaimana Cara Menegur Seorang Kawan Yang Melakukan Mungkar


Salam kepada semua pengunjung blog ini, sesungguhnya tanpa sokongan anda dan redho Allah, blog ini belum tentu hidup sehingga sekarang ini. Segala persoalan yang telah dikemukakan dalam ruangan tanyalah ustaz atau mana-mana ruang yang disediakan, saya akan jawab terus di tempat pertanyaan atau saya akan memilih soalan-soalan yang penting untuk djawab dalam bentuk artikel. Saya harap anda semua dapat bersabar untuk menunggu jawapan saya. Maklumlah apabila bekerja dan ada rumah tangga, maka ada tanggungjawab yang perlu diutamakan, kerana ini merupakan amanah Allah kepada saya. Blog ini merupakan aktiviti sampingan dengan tujuan untuk membantu dan memberikan penerangan atau apa-apa artikel yang berkaitan dakwah Islam. Ini secara tidak langsung saya dapat menyampaikan dakwah Islam kepada semua dan sekaligus dapat melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang muslim.

Persoalan yang telah dikemukakan oleh seorang pengunjung (nama dirahsiakan) seperti berikut : “Bagaimana Hendak Menegur Seorang Kawan Yang Tidak Suka Bertudung?”

Hadis dari Abi Said Al-Khudri yang bermaksud : “Rasulullah saw telah bersabda : Barang siapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Maka sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Oleh Muslim).

Hadis di atas ini, menunjukkan cara seseorang mengubah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya. Bagi yang berkemampuan atau mempunyai kuasa, maka ubahlah kemungkaran yang berlaku dengan kuasanya atau tangannya (perbuatannya). Bagi yang tidak berkemampuan maka ubahlah dengan lidahnya (teguran). Dakwah dengan menggunakan teguran selalunya bermasalah, ada yang tegur dengan cara menengking, menghina dan mencaci orang, ada orang yang menegur dengan cara baik, tetapi dibalasnya dengan cara yang tidak baik dan banyak lagi. Firman Allah yang bermaksud :

“Serulah kepada agama Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara sebaik-baiknya, sesungguhnya Tuhammu dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalannya dan dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”(Al-Nahl : 127).

Dakwah bil lisan mestilah digunakan dengan bahasa-bahasa hikmah, baik, sopan dan bahasa yang bijaksana untuk menarik perhatian atau minat seseorang kepada Islam. Ini adalah ajaran dari Allah untuk pendakwah-pendakwah menyampaikan seruan Islam. Rasulullah menyampaikan dakwah kepada penduduk-penduduk Makah dengan cara percakapan yang baik, sopan santun, tidak pernah menipu dan sebagainya, Rasulullah juga dikenali dengan akhlak yang baik sehingga dakwah Nabi dapat diterima oleh sesetengah masyarakat Mekah ketika itu.

Pendapat saya cara untuk menegur orang yang melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat ialah :
  1. Gunakan kebijaksanaan yang ada untuk menegur pelaku bahawa perbuatannya itu salah dan melanggar peraturan Islam. Boleh gunakan TV atau Radio untuk memasang CD atau kased ceramah yang berkaitan dengan pemakaian tudung atau tutup aurat apabila dia datang ke rumah. Dalam cara tidak langsung, pelaku tersebut dengar dan dia akan rasa sendiri akan perbuatannya itu. Cara ini tanpa perlu ditegur, dan tidak memerlukan modal percakapan dan hanya bermodalkan bil elektrik dan modal CD atau kased ceramah sahaja.
  2. Gunakan perkataan-perkataan hikmah dan tidak sesekali menggunakan perkataan yang menguris hati pelaku,, seperti bawa dia berbincang baik-baik di tempat yang tiada orang, kerana bila melakukan teguran dihadapan orang ramai, maka secara tidak langsung kita telah menjatuhkan air mukanya dihadapan orang.
  3. Gunakan perkataan-perkataan sindiran yang tidak menyinggungnya atau tidak mengaibkannya, seperti contoh saya berikan cucu Nabi Muhammad saw iaitu Hasan dan Hussin menegur seorang tua yang mengambil air sembahyang secara cincai dan sekadar melepaskan kewajipan berwuduk sahaja dengan cara : “Assalamualaikum pakcik, maaf ganggu, boleh pakcik lihat kami mengambil air sembahyang, jika salah pak cik tegur kami” (Teks ini digambarkan dari saya sahaja untuk menyedapkan lagi cerita ).
  4. Tegur dengan menggunakan orang tengah yang dekat dengannya, supaya segala teguran yang disampaikan melalui orang tengah dapat diterimanya dengan baik dan hati yang terbuka.
  5. Tegur dengan menggunakan surat, SMS atau sebagainya. Teks mestilah didahulukan dengan perkataan maaf,perkataan-perkataan yang lembut dan menyatakan apa tujuan kita menulis surat atau SMS ini, supaya tidak berlakunya salah faham antara pelaku dan kita.
Ini sahaja yang dapat disenaraikan sebagai cara untuk melaksanakan dakwah kepada masyarakat terutamanya keluarga, sahabat, atau jiran-jiran berdekatan. Sebenarnya banyak lagi cara dakwah ini, tetapi itu semua bergantung kepada kebijaksanaan kita. Bagi sesiapa yang ada cadangan lagi, bolehlah kemukakan cadangan dan pendapat anda di ruangan komen di bawah ini, saya menghargai anda yang memberikan cadangan. Marilah sama-sama menyumbang sedikit buah fikiran kearah kebaikan, kerana pahalanya sangat besar.

Sesiapa yang tidak mampu untuk menegur kemungkaran dengan menggunakan perbuatan atau lidah, maka gunakanlah dengan hati, sesungguhnya orang yang tidak redho atas kejahatan tersebut dengan cara menegur dengan hati, maka itulah yang dinamakan selemah-lemah iman. Untuk melaksanakan dakwah, kita tidak perlu rasa takut kepada manusia, hanya perlu rasa takut kepada Allah sahaja, kerana ini adalah amanah Allah kepada kita untuk menyampaikan apa yang termampu dan apa yang diketahui kepada masyarakat. Hadis Nabi yang bermaksud : “Sampaikanlah dengan apa-apa yang diterima dari kami walaupun sepotong ayat” (Riwayat Bukhari dan Tarmizi). Sesungguhnya orang yang menyampaikan kebaikan (dakwah) adalah orang yang terlepas dari tanggungjawabnya. Biarlah dimarahi oleh pelakunya, tetapi kita tidak dimarahi oleh Allah. Hidup di dunia mencari cinta ilahi dan redho ilahi, bukan mencari cinta manusia dan redho manusia, barang siapa yang dapat redho ilahi dan cinta ilahi, nescaya dia akan cinta manusia dan akan selamat di dunia dan di akhirat.


http://www.ustaznoramin.com/2010/02/bagaimana-cara-menegur-seorang-kawan.html

Read more...

Air Mata Keinsafan Orang Beriman


Airmata Keinsafan. Panglima Romawi yang Bertaubat Kesabaran Imam Al-Baqir dan Taubat Orang Nasrani Taubat Seorang Wanita Buta Taubat Lelaki yang Sibuk Taubat Para Wali Panglima Romawi yang Bertaubat
Terjadinya peperangan Yarmuk, salah seorang panglima Romawi yang bermana George memanggil Khalid bin Walid. Kedua orang paglima itu saling mendekat sampai kedua kepala kuda mereka saling bertemu. Kepada Khalid, George bertanya: “Wahai Khalid, aku meminta kamu berbicara dengan jujur dan jangan berdusta sedikitpun, kerana Tuhan Yang Maha Mulia tidak pernah berdusta, dan jangan pula kamu menipuku, kerana sesungguhnya orang yang beriman itu tidak akan berdusta di sisi Allah.”

“Tanyalah apa yang ingin engkau tanyakan,” kata Khalid.
“Apakah Allah menurunkan kepada Nabi-Nya Muhammad SAW sebuah pedang dari langit kemudian diberikannya kepadamu sehingga jika kamu pakai pedang itu untuk berperang, pasti kamu akan menang?”
“Tidak!” Jawab Khalid.
“Apakah sebabnya kamu digelar dengan Saifullah (Pedang Allah)?” Tanya George.

Khalid menjawab: “Ketika Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW, seluruh kaumnya sangat memusuhinya termasuk juga aku, aku adalah orang yang paling membencinya. Setelah Allah SWT memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam. Ketika aku masuk Islam Rasulullah SAW menerimaku dan memberi gelaran kepadaku “Saifullah” (pedang Allah).”
“Jadi tujuan kamu berperang ini untuk apa?” Tanya George.
“Kami ingin mengajak kamu supaya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah dan kami juga ingin mengajak kamu untuk mempercayai bahawa segala apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW itu adalah benar.” Jawab Khalid.
George bertanya: “Apakah hukumannya bila orang itu tidak mahu menerimanya?”
Jawab Khalid: “Hukumannya adalah harus membayar jizyah, maka kami tidak akan memeranginya.”
“Bagaimana kalau mereka tidak mahu membayar?” Tanya George.
“Kami akan mengumumkan perang kepadanya,” kata Khalid bin Walid.
George bertanya: “Bagaimanakah kedudukannya jika orang masuk Islam pada hari ini?”
Khalid menjawab: “Di hadapan Allah SWT, kita akan sama semuanya, baik dia orang yang kuat, orang yang lemah, yang dahulu mahupun yang kemudian masuk Islam.”
“Apakah orang dahulu masuk Islam kedudukannya akan sama dengan orang yang baru masuk?” Tanya George.
Khalid menjawab: “Orang yang datang kemudian akan lebih tinggi kedudukannya dari orang yang terdahulu, sebab kami yang terlebih dahulu masuk Islam, menerima Islam itu ketika Rasulullah SAW masih hidup dan kami dapat menyaksikan turunnya wahyu kepada baginda. Sedangkan orang yang masuk Islam kemudian tidak menyaksikan apa yang telah kami saksikan. Oleh kerana itu siapa saja yang masuk Islam yang datang terakhir maka dia akan lebih mulia kedudukannya, sebab dia masuk Islam tanpa menyaksikan bukti-bukti yang lebih meyakinkannya terlebih dahulu.”
George bertanya: “Apakah yang kamu katakan itu benar?”
“Demi Allah, sesungguhnya apa yang aku katakan itu adalah benar,”jawab Khalid.
George berkata: “Kalau begitu aku akan percaya kepada apa yang kamu katakan itu, mulai saat ini aku bertaubat untuk tidak lagi memusuhi Islam dan aku menyatakan diri masuk ke dalam agama Islam, wahai Khalid tolonglah ajarkan aku tentang Islam.”
Lalu Khalid bin Walid membawa George ke dalam khemahnya, kemudian menuangkan air ke dalam timba untuk menyuruh George bersuci dan mengerjakan solat dua rakaat. Ketika Khalid bersama dengan George masuk ke dalam khemah, maka tentera Romawi mengadakan serangan besar-besaran terhadap pertahanan umat Islam. Setelah selesai mengerjakan solat, maka Khalid bin Walid bersama dengan George dan kaum Muslimin lainnya meneruskan peperangan sampai matahari terbenam dan di saat itu kaum Muslimin mengerjakan solat Zohor dan Asar dengan isyarat sahaja.
Dalam pertempuran itu, George yang telah bergabung dengan barisan kaum Muslimin itu terbunuh, dan dia hanya baru mengerjakan solat dua rakaat bersama dengan Khalid bin Walid. Walaupun demikian, ia telah menyatakan keIslamannya dan berjanji untuk tidak akan kembali lagi kepada agama lamanya. Semoga Allah menempatkan George ke dalam golongan orang-orang yang mati syahid. Amin.

Kesabaran Imam Al-Baqir dan Taubat Orang Nasrani Seorang Nasrani bermaksud mengejek-ejek Imam Muhammad bin Ali bin Husain yang digelar orang dengan panggilan “Al-Baqir” (yang luas pentahuannya). Orang Nasrani itu berkata kepadanya: “Engkau adalah baqar (lembu).” Maka Imam Baqir menjawab dengan penuh kelembutan: “Bukan, tetapi saya adalah Al-Baqir.” Orang Nasrani tersebut tidak menghiraukan jawapan itu. Selanjutnya ia berkata: “Engkau adalah anak seorang tukang masak. Engkau adalah anak seorang wanita hitam yang mulutnya berbau busuk.” Al-Baqir menjawab: “Seandainya engkau benar, maka aku doakan semoga wanita itu diampuni oleh Allah, dan jika engkau bohong, maka aku doakan semoga Allah mengampunimu.”
Ternyata sikap lemah-lembut dan pemaaf yang dimiliki oleh Imam Muhammad bin Ali bin Husain itu telah menimbulkan rasa kagum pada diri orang Nasrani tersebut, sehingga akhirnya diapun bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perangai buruknya itu dan menyatakan dirinya masuk ke dalam agama Islam.
Taubat Seorang Wanita Buta Saleh Al-Muri bercerita, bahawa dia pernah melihat seorang perempuan tua memakai baju kasar di Mihrab Daud Alaihissalam. Perempuan yang telah buta matanya itu sedang mengerjakan solat sambil menangis terisak-isak. Setelah selesai solat dia mengangkat wajahnya ke langit dan berdoa: “Wahai Tuhan Engkaulah tempatku memohon dan Pelindungku dalam hidup. Engkaulah penjamin dan pembimbingku dalam mati. Wahai Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia, serta setiap getaran batin tidak ada Raja bagiku selain Engkau yang kuharap dapat mengelak bencana yang dahsyat.” Saleh Al-Muri memberi salam kepada perempuan tersebut dan bertanya: “Wahai puan! Apa yang menyebabkan hilangnya penglihatanmu?” “Tangisku yang disebabkan sedihnya hatiku kerana terlalu banyaknya maksiatku kepada-Nya, dan terlalu sedikitnya ingatan dan pengabdianku kepada-Nya. Jika Dia mengampunkan aku dan menggantinya di akhirat nanti, adalah lebih baik dari kedua-dua mataku ini. Jika Dia tidak mengampunkan aku, buat apa mata di dunia tetapi akan dibakar di nereka nanti.” Kata perempuan tua itu.
Saleh pun ikut menangis kerana sangat terharu mendengar hujjah wanita yang menggerunkan itu. “Wahai Saleh! Sudikah kiranya engkau membacakan sesuatu dari ayat Al-Quran untukku. Kerana aku sudah sangat rindu kepadanya.” Pinta perempuan itu. Lalu Saleh membacakan ayat yang ertinya: “Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya.” (Al-An’am: 91)

“Wahai Saleh, siapakah yang berkhidmat kepada-Nya dengan sebenarnya?” Kata perempuan itu lalu menjerit kuat-kuat dengan jeritan yang boleh menggoncangkan hati orang yang mendengarnya. Dia jatuh ke bumi dan meninggal dunia seketika itu juga. Pada suatu malam Saleh Al-Muri bermimpi berjumpa dengan perempuan tua itu dalam keadaan memakai baju yang sangat bagus. Dalam mimpi tersebut Saleh bertanya: “Bagaimana keadaanmu sekarang?”
Perempuan itu menjawab: “Sebaik saja rohku dicabut, aku didudukkan di hadapan-Nya dan berkata: “Selamat datang wahai orang yang mati akibat terlalu sedih kerana merasa sedikitnya khidmatnya kepada-Ku.”
Taubat Lelaki yang Sibuk Diceritakan bahawa ada seseorang menceritakan kepada Hasan Al-Basri: “Wahai Abu Said! Di sini ada seorang lelaki yang tidak mahu berkumpul dengan orang ramai. Dia sentiasa duduk sendirian saja.” Hasan pergi kepada orang yang dimaksudkan itu dan berkata: “Wahai hamba Allah! Aku melihat engkau suka duduk menyendiri saja. Mengapa engkau tidak suka bergaul dengan orang ramai?” “Ada suatu perkara yang telah menyibukkan aku dari berkumpul dengan manusia.” Sekurang-kurangnya engkau pergi kepada lelaki yang dipanggil sebagai Hasan Al-Basri dan duduk di majlis ilmunya.” kata Hasan lagi.
“Ada satu perkara yang mencegah aku dari berkumpul dengan manusia termasuk Hasan Al-Basri.” Kata lelaki itu.
“Semoga Allah merahmatimu. Apakah gerangan yang sentiasa menyibukkan engkau?”
“Aku setiap hari tersepit di antara nikmat dan dosa. Maka setiap hari diriku sibuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah dan sibuk bertaubat atas dosa-dosa tersebut.” Jawab lelaki itu.
“Wahai hamba Allah! Kalau begitu engkau lebih alim dari Hasan Al-Basri. Maka kekalkanlah amalan yang telah engkau lakukan.” Kata Hasan Al-Basri.
Taubat Para Wali Zun Nun Al-Misri mendengar bahawa ada seorang yang sangat alim dan zuhud, maka pergilah dia ke sana untuk belajar. Sesampainya di sana dia menjumpai seorang lelaki menggantungkan dirinya pada sebatang pokok dengan kepala ke bawah. Orang itu berkata: “Wahai diri! Tolonglah aku dalam mentaati Allah. Kalau tidak nescaya aku akan hukum engkau dalam keadaan seperti ini sampai engkau mati kelaparan.” Zun Nun mendekati orang itu lalu memberi salam dan dia menjawab.
“Apa yang telah terjadi dengan engkau ini?” Tanya Zun Nun.
“Tubuhku ini telah menghalangi aku untuk berseronok dengan Allah, kerana ingin bersuka-suka dengan manusia.” Jawab orang itu.
Dengan jawapan itu, Zun Nun menyangka bahawa orang itu telah menumpahkan darah sesama Muslim atau telah berbuat dosa besar lainnya.
“Apa yang telah engkau lakukan?” Tanya Zun Nun.
“Tahukah engkau bahawa jika seseorang itu bercampur baur dengan orang lain, banyak perkara yang boleh berlaku?”
“Kalau begitu, engkau ini betul-betul orang warak dan alim,” kata Zun Nun.
“Mahukah aku tunjukkan kamu orang yang lebih alim dariku?” kata orang itu.
“Boleh juga,” kata Zun Nun.
“Nah, sekarang pergilah engkau agak ke atas bukit ini. Insya Allah, engkau akan berjumpa dengan wali Allah yang saya maksudkan itu,” kata lelaki itu.
Maka segeralah Zun Nun mendaki agak sedikit ke atas lagi sehingga akhirnya ia berjumpa dengan satu tempat pertapaan yang di dalamnya ada seorang pemuda sedang duduk bersila, sementara di hadapan pintu pertapaan itu ada sebelah kaki yang terpotong membusuk dan dimakan ulat. Zun Nun sangat ngeri dan tidak faham apa yang dilihatnya itu. Maka diapun bertanya kepada pemuda tersebut apa ertinya semuanya itu.
Pemuda itu menerangkan bahawa pada suatu hari dia sedang duduk di dalam beribadahnya, tiba-tiba ada seorang perempuan yang melintas di luar. Apabila dia terpandang kepadanya, timbul keinginannya kepada wanita cantik itu dan cuba untuk mengejarnya dari belakang. Akan tetapi, baru saja dia melangkahkan sebelah kakinya ke luar dari tempatnya, tiba-tiba dia mendengar suara: “Wahai manusia, apakah engkau tidak merasa malu? Setelah tiga puluh tahun engkau menghadapkan hati kepada Tuhan, tiba-tiba sekarang engkau telah mahu ditipu oleh syaitan dan akan mengejar perempuan jahat itu.”
Disebabkan kerana kesalahannya itulah, pemuda itu telah memotong sebelah kakinya yang telah terlanjur keluar dari tempat ibadahnya.
“Jadi aku ini sebenarnya orang berdosa,” kata lelaki itu. “Maka dari itu engkau tidak patut menemuiku yang sedang dalam penantian keputusan ini. Jika engkau ingin menjumpai seorang yang betul-betul wali, pergilah engkau ke puncak bukit ini.”
Sayang puncak bukit tersebut terlalu tinggi dan sukar untuk didaki sehingga Zun Nun tidak sanggup mencapainya. Sebaliknya dia hanya mendengarkan saja cerita si pertapa dari orang-orang yang mengetahuinya. Katanya ada seorang lelaki yang telah bertahun-tahun mengabdikan dirinya kepada Allah. Dia telah bersumpah untuk tidak makan selain dari usahanya sendiri dan tidak akan makan makanan yang telah diproses. Dengan izin Allah, sekumpulan lebah telah membuat sarang di dekat tempat ibadahnya, dengan madu lebah itulah wali tersebut mengalas perutnya.

http://www.ustaznoramin.com/2010/03/air-mata-keinsafan-orang-beriman.html

Read more...

Cara Bertaubat Yang Betul


Soalan :

Assalammualaikum ustaz...

boleh tak ustaz berkongsi dengan kami cara bertaubat yang betul dan yang diterima oleh Allah S.W.T...
Jawapan :

Taubat berasal dari kata "tawaba" dalam bahasa Arab menunjukkan makna pulang dan kembali. Sedangkan taubat kepada Allah SWT berarti pulang dan kembali ke haribaan-Nya serta tetap di pintu-Nya.

Maksud taubat adalah kembali kepada Allah setelah melakukan maksiat atau dosa. Taubat marupakan rahmat Allah yang diberikan kepada hambaNya agar mereka dapat kembali kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (At-Tahrim : 8)

Al-Hafizh Ibnu Katsir berkata dalam kitab tafsirnya :
"Artinya adalah, taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapus keburukan-keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan keaslian jiwa orang yang bertaubat, serta menghapus keburukan-keburukan yang dilakukannya."

Hasan Al Bashri berkata :
“Taubat adalah jika seorang hamba menyesal akan perbuatannya pada masa lalu, serta berjanji untuk tidak mengulanginya.”

Al Kulabi berkata :
“Yaitu agar meminta ampunan dengan lidah, menyesal dengan hatinya, serta menjaga tubuhnya untuk tidak melakukannnya lagi.”

Sa'id bin Musayyab berkata :
“Taubat nasuha adalah: agar engkau menasihati diri kalian sendiri.”

Dari pendapat yang diberikan di atas bahawa taubat nasuha itu adalah taubat yang sebenarnya dan tidak lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan. Taubat nasuha dilakukan dengan penuh penyesalan atas segala dosa yang dilakukan. Allah menerima orang yang bertaubat bersungguh-sungguh dan tidak lagi mengulangi perbuatan dosa tersebut. Manakala orang yang bertaubat kemudia masih melakukan perbuatan dosa tersebut tidak dinamakan sebagai taubat nasuha.

Ada manusia beranggapan buatlah dosa duhulu nanti kita boleh taubat pada masa tua nanti. Kalau dan bertaubat tidak mengapa, kalau tidak berkesempatan untuk bertaubat maka padah nanti di hari akhirat. Lagipun taubat sebegini diibaratkan tidak ikhlas dengan Allah, sebab orang tersebut masih berkeinginan untuk melakukan dosa. Jangan berlengah-lengah untuk bertaubat, kerana orang yang melengahkan taubat ini adalah orang yang jahil, sombong, tidak sedar diri dan zalim kepada dirinya. Firman Allah yang bermaksud :
“ Dan ingatlah, sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.” (Al-Hujurat : 11)
Syarat-syarat Taubat

Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syara-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah :
  1. Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.
  2. Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.
  3. Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.
Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.
Cara-Cara Bertaubat
  1. Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah saw : “Menyesali (dosa) itu adalah taubat”. (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
  2. Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.
  3. Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah zahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.
  4. Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah : “Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan taubat Nasuha, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai” (At-Tahrim : 8)
Hukum Taubat

Ketahuilah bahawa hukum bertaubat adalah wajib kepada semua umat Islam untuk memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (An-Nur: 31)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Wahai sekalian manusia bertaubatlah kalian kepada Allah, karena sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah seratus kali dalam sehari.” (Riwayat Al-Bukhari)

Manusia tidak pernah sunyi melakukan kesalahan, kerana manusia dibekalkan nafsu sentiasa suka kepada perkara yang lazat atau keseronokan. Maka di sini, taubat adalah wajib dan fardhu ain kepada semua umat Islam. Taubatlah cara untuk menghapuskan dosa dan diampunkan Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Sebagai muslim yang baik, marilah kita sentiasa memohon taubat kepada Allah, supaya segala kesalahan kita diampunkan.
Penutup

Taubat adalah kembali kepada Allah atau menyesali atas segala perbuatan dosa yang dilakukan selama ini. Ia bermunajat kepada Allah dan penuh keinsafan dan penyesalan atas segala dosa yang dilakukan. Taubat kepada mesti dengan sebenar-benar taubat, kerana orang yang tidak ikhlas taubatnya tidak akan diterima oleh Allah. Taubatlah dengan secepat yang mungkin dan jangan berlengah-lengah kalau kita menyedari telah melakukan kesalahan. Orang yang melengah-lengahkan taubat adalah orang yang sombong dengan Allah dan tidak takut dengan azab Allah yang sangat dahsyat. Sentiasalah bermuhasabah diri kita dan sentiasalah beristiqfar dan memohon ampun kepada Allah, mudah-mudahan Allah menerima taubat kita.

Akhir sekali saya datangkan kata-kata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin seperti berikut :
"Sedangkan ilmu adalah, mengetahui besarnya bahaya dosa, dan ia adalah penghalang antara hamba dan seluruh yang ia senangi. Jika ia telah mengetahui itu dengan yakin dan sepenuh hati, pengetahuannya itu akan berpengaruh dalam hatinya dan ia merasakan kepedihan karena kehilangan yang dia cintai. Karena hati, ketika ia merasakan hilangnya yang dia cintai, ia akan merasakan kepedihan, dan jika kehilangan itu diakibatkan oleh perbuatannya, niscaya ia akan menyesali perbuatannya itu. Dan perasaan pedih kehilangan yang dia cintai itu dinamakan penyesalan. Jika perasaan pedih itu demikian kuat berpengaruh dalam hatinya dan menguasai hatinya, maka perasaan itu akan mendorong timbulnya perasaan lain, yaitu tekad dan kemauan untuk mengerjakan apa yang seharusnya pada saat ini, kemarin dan akan datang. Tindakan yang ia lakukan saat ini adalah meninggalkan dosa yang menyelimutinya, dan terhadap masa depannya adalah dengan bertekad untuk meninggalkan dosa yang mengakibatkannya kehilangan yang dia cintai hingga sepanjang masa. Sedangkan masa lalunya adalah dengan menebus apa yang ia lakukan sebelumnya, jika dapat ditebus, atau menggantinya.”

 http://www.ustaznoramin.com/

Read more...

Memilih Isteri dengan Baik


"Dan, kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang berkahwin) dari hamba-hambanya sahayamu yang lelaki dan hamba-hambanya sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah (SWT) akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan, Allah (SWT) Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (An-Nur : 32 )

Ciri – ciri isteri solehah yang telah ditetapkan dalam sunnah Rasulullah saw:
  1. Wanita solehah, seperti hadis Rasulullah saw bahawa dunia ini seluruhnya adalah kesenangan. Tetapi sebaik-baik kesenangan di dunia adalah isteri yang solehah.
  2. Membantu suami ke jalan kebaikan, Rasulullah saw bersabda "Hendaklahnya kalian memiliki hati yang selalu bersyukur, lidah yang selalu berzikir, dan isteri mukminah yang menolongnya melakukan urusan akhirat."
  3. Wanita penyayang dan berketurunan, Rasulullah saw bersabda "Nikahilah wanita yang penyayang dan berketurunan atau boleh melahirkan zuriat, sebab aku akan membanggakan kalian di hadapan para nabi kelak di hari kiamat".

Rasulullah saw menjelaskan jika wanita solehah adalah satu perkara yang membawa kebaikan dalam hidup seorang lelaki, maka wanita yang buruk (jahat) adalah salah satu dari empat perkara yang mendatangkan penderitaan, seperti yang disebutkan dalam hadith sahih yang bermaksud :

"Di antara yang mendatangkan kebahagian itu ialah perempuan solehah yang jika kamu melihatnya maka akan membuatmu terhairan-hairan, dan jika kamu meninggalkannya berpergian maka dia akan menjamin keamanannya pada dirinya dan hartamu. Dan di antara yang mendatangkan penderitaan ialah wanita yang jika kamu melihatnya akan bersikap buruk padamu dan melontarkan kata-kata yang kasar kepadamu, dan jika kamu meninggalkannya berpergian maka kamu tidak akan merasa aman pada dirinya dan hartamu."

Berusaha Memperbaiki Isteri

Apabila isteri itu seorang yang solelah, maka itu merupakan kenikmatan dan anugerah Allah SWT. Tetapi, jika ia tidak solehah atau tidak baik, maka merupakan kewajipan pemimpin rumah tangga untuk berusaha memperbaikinya. Perkara ini boleh terjadi kerana beberapa sebab, di antaranya jika seorang lelaki mengahwini wanita yang pada dasarnya tidak taat agama, kerana lelaki tersebut pada mulanya tidak member keutamaan pada aspek keagamaan calon isterinya, atau ia menikahinya dengan harapan dapat memperbaikinya kemudian, atau kerana desakan dan paksaan keluarganya. Namun, ia hendaklah terlebih dahulu mengetahui bahawa yang memberi hidayah itu Allah SWT, dan Allahlah yang sebenarnya memperbaiki keadaan. Selain dari mendidik suami hendaklah sentiasa berdoa semoga isteri mereka akan berubah menjadi insan yang lebih baik dan akhir sekali bertawakkal kepada Allah SWT.

Untuk memperbaiki isteri ada beberapa cara:
  1. Memberikan tumpuan untuk memperbaiki cara peribadatannya kepada Allah SWT.
  2. Berusaha memperbaiki aspek keimanannya.
  3. Menganjurkannya melakukan qiyamullail (solat malam).
  4. Menganjurkan supaya rajin membaca Quran.
  5. Menganjurnya untuk menghafal zikir-zikir dan doa-doa serta mengingatkannya agar melakukannya pada waktu-waktu dan kesempatan-kesempatan yang di anjurkan.
  6. Mendidiknya agar rajin bersedekah.
  7. Menyuruhnya agar membaca buku-buku keislaman yang bermanfaat.
  8. Menyuruhnya agar mendengar kaset-kaset keIslaman yang berfaedah, baik yang berkenaan dengan ilmu pengetahuan mahupun pembinaan keimanan, serta terus berusaha untuk menyediakan kaset-kaset tersebut.
  9. Memilih sahabat-sahabat dari kalangan wanita-wanita yang beragama, dan mengikat tali persaudaraan bersama mereka, sebagai teman berbincang dalam kebaikan dan saling kunjung-mengunjungi dengan tujuan-tujuan yang bermanfaat.
  10. Mencegahnya dari melakukan kejahatan dan menutup pintu-pintunya dengan cara menjauhkannya dari bergaul dengan teman-teman yang buruk perangainya dan menjauhi tempat-tempat kejahatan.

Suasana Rumah Tangga Yang Diberkati

Rumah sebagai tempat mengingat Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Perumpamaan rumah yang dijadikan tempat mengingat Allah SWT dan rumah yang tidak dijadikan tempat mengingat Allah SWT adalah bagaikan perbezaan antara orang yang hidup dan orang yang telah meninggal."

Apabila rumah dijadikan tempat mengingat Allah SWT, maka malaikat akan masuk ke dalamnya dengan membawa rahmat dan berkat. Mengingat Allah SWT dengan banyak membaca Al- Quran, solat, zikir dan mengkaji ilmu agama dan membaca beraneka ragam ilmu. Selain itu rumah tersebut juga harus jauh dari kemaksiatan dan kemungkaran dengan dipenuhi

dengan gambar-gambar khurafat, patung-patung, lagu-lagu yang mengkhayalkan dan minuman keras. Rumah sebagai kiblat, tempat sujud dan ibadah kepada Allah SWT.

Pendidikan keimanan terhadap ahli keluarga
  1. Menyuruh isteri solat malam.
  2. Menyuruh isteri bersedekah. Jika ketua rumah tangga ingin menunjukkan teladan yang baik bagi anggota keluarganya maka hendaklah ia berpuasa pada ayyamul baidh "Hari-hari purnama" (tanggal 13, 14, 15), puasa Isnin-Khamis, puasa Hari Tasu'a (tanggal 9 Muharram), puasa Hari Asyura' (tanggal 10 muharram), puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) dan banyak berpuasa pada bulan Muharram dan bulan Syawal, sehingga keteladanan ini akan menjadi pendorong bagi ahli keluarga.


Amalan sunnah dalam rumahtangga
  1. Bacaan ketika masuk rumah, masuk ke rumah dengan menyebut nama Allah SWT.
  2. Doa ketika keluar rumah, keluar rumah dengan menyebut nama Allah SWT dan membaca doa.
  3. Bersiwak, Rasulullah SAW apabila ingin masuk ke dalam rumah baginda akan memakai siwak iaitu membersihkan gigi dengan kayu siwak.
  4. Sentiasa mengamalkan doa-doa & amalan Rasulullah saw dalam apa jua aktiviti kehidupan sehari-hari. Mengusir syaitan dari dalam rumah Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah menjadikan rumah kalian laksana kuburan. Sesungguhnya syaitan itu akan pergi dari rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah di dalamnya."
Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW menerangkan, "Bacalah surah Al-Baqarah di dalam rumah kalian sebab syaitan tidak akan masuk ke dalam rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah di dalamnya."
Mengenai keutamaan dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah itu, serta pengaruhnya kerana membacanya di dalam rumah, baginda menyebutnya :

"Sesungguhnya Allah SWT telah menulis sebuah kitab dua ribu tahun sebelum Ia menciptakan langit dan bumi, dan kitab itu berada di Arasy, dan Allah (SWT) telah menurunkan darinya dua ayat yang Allah SWT jadikan sebagai penutup surah Al-Baqarah. Jika kedua ayat tersebut tidak dibaca di dalam sebuah rumah selama tiga hari maka ia akan didekati oleh syaitan."

Mengutamakan Pendidikan Agama & Mengajarkan Hukum-Hukum Islam
  1. Melakukan solat di rumah.
  2. Bukan orang lain menjadi imam.
  3. Meminta izin, hendaklah orang Islam meminta izin sebelum memasuki mana-mana rumah, dan janganla dia masuk kecuali dengan izin shahibu bait.
  4. Tidak perlu meminta izin masuk ke rumah penginapan (tamu).
  5. Diizinkan makan di rumah para keluarga.
  6. Meminta izin masuk ke bilik istirehat ibu-bapa.
  7. Larangan membuang masa di rumah orang lain tanpa izin mereka.
  8. Menetap di rumah semasa iddah.
  9. Memisahkan tempat tidur bagi isteri yang nusyuz (yang tidak taat padanya) untuk memberi pengajaran supaya isteri tersebut berubah.
  10. Tidak tidur malam sendirian di rumah, diriwayatkan oleh ibn Umar Rasulullah SAW melarang orang bersendirian di dalam rumah kerana bahaya bagi dirinya, larangan ini demi kemaslahatannya.
  11. Tidak tidur di atas loteng yang tidak ada dindingnya, kerana jika orang itu jatuh ke bawahlalu mati maka tidak ada orang yang dapat dipertanggungjawabkan atas kematiannya.
  12. Kucing tidak najis, dan Rasulullah SAW bersabda bahawa: "Kucing tidak najis, dan termasuk binatang yang bolak-balik di hadapan kalian".
Saling Berkomunikasi Dalam Keluarga
  1. Menyediakan masa bersama untuk ahli keluarga, Allah SWT menerangkan di dalam Al- Quran, "sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka….."
  2. Menyembunyikan perselisihan keluarga di hadapan anak-anak.
  3. Tidak menerima tetamu yang tidak disukai.
  4. Mengawasi aktiviti-aktiviti keluarga, siapa teman mereka, apa yang dibawa masuk ke dalam rumah, apa yang terdapat di dalam bilik mereka dan ke mana anak-anak pergi dan dengan siapa mereka pergi.

Memberikan Perhatian Kepada Anak-Anak
  1. Hafalan Al-Quran dan kisah-kisah dalam Islam Tidak ada yang lebih baik bagi seorang bapa selain membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada anak-anaknya dan menerangkannya secara sederhana, serta memberi hadiah apabila mereka menghafalnya. Anak-anak dapat menghafal surah yang sering dibaca oleh bapanya misalnya, apabila sering diadakan majlis ta'lim dirumah pada setiap jumaat dan pada majlis itu sering dibaca surah Al- Kahfi maka tidak mustahil anak itu dapat menghafal surah tersebut dengan cepat. Sering menceritakan pada anak-anak kisah-kisah nabi, kisah teladan dan pahlawan –pahlawan Islam. Mengajar anak-anak zikir dan doa-doa harian yang dapat diamalkan oleh anak-anak seharian dan yang paling utama sekali bapa harus menunjukkan contoh yang baik supaya dapat diikuti olah anak-anak.
  2. Memperhatikan sahabat anak-anak.
  3. Menyediakan permainan yang bermanfaat.
  4. Memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.
  5. Akrab dan lemah lembut terhadap anak-anak.
  6. Displin waktu tidur dan makan.
  7. Menilai pekerjaan wanita di luar rumah, dengan memastikan bahawa isteri dan anak-anak mempunyai pekerjaan dan halal di sisi agama.
  8. Menjaga rahsia rumah-tangga.
  9. Tidak menyebarkan rahsia hubungan suami-isteri.
  10. Tidak menyebarkan perselisihan- perselisihan yang terjadi antara suami-isteri.
  11. Tidak membongkar apa saja yang bersifat peribadi, sekiranya dibongkar di hadapan orang lain akan menimbulkan mudharat bagi rumahtangga atau salah seorang ahlinya.

Keperibadian Dalam Rumahtangga
  1. Bersikap lemah lembut terhadap ahli keluarga.
  2. Membantu menyelesaikan pekerjaan rumah.
  3. Bermesra dengan keluarga.
  4. Mencegah akhlak tercela di dalam rumah seperti dusta, ghibah (memperkatakan keburukan orang lain), namimah dan sebagainya.
  5. Menggantungkan cabuk pada tempat yang dapat dilihat oleh anggota keluarga, sebagai amaran bahawa apabila ada diantara anggota keluarga yang melakukan kesalahan berat maka mereka akan dihukum.

Menghindari Kemungkaran Di Dalam Rumah
  1. Berhati-hati, jangan sampai kerabat yang bukan mahram masuk ke dalam rumahnya yang ada wanita di dalamnya pada waktu ketiadaan suaminya.
  2. Memisahkan para lelaki dan wanita ketika melakukan kunjungan keluarga.
  3. Bersikap waspada pada pemandu dan pembantu rumah.
  4. Berhati-hati pada bahaya TV dan video.
  5. Berhati-hati pada bahaya telefon.
  6. Wajib menghilangkan segala bentuk symbol keagamaan orang-orang kafir dan agama batil dari dalam rumah.
  7. Menghilangkan gambar-gambar yang bernyawa.
  8. Laranglah merokok di rumah anda.
  9. Hindari jangan sampai anda suka memelihara anjing di rumah.
  10. Menghindari mengukir atau menghiasi rumah sehingga menyerupai rumah orang kafir.

Memilih Lokasi Dan Suasana Kediaman

Lokasi rumah

Sebaiknya, lokasinya dekat dengan masjid. Dalam hal ini, terdapat berbagai faedah yang amat besar nilainya, dengan mendengar azan, maka akan memudahkan bagi kaum lelaki pergi solat berjemaah, bagi wanita mudah ke majlis ilmu dan bagi kanak-kanak pergi ke kelas Al-Quran. Hendaklah rumah itu tidak berada pada bangunan yang ada kefasikan, atau berada pada kompleks perumahan yang ada padanya orang-orang kafir dan didalamnya terdapat kolam renang yang akan berkumpul lelaki dan perempuan. Kemudian rumah tidak terbuka, kalau pun terjadi demikian maka hendaklah dibuat tabir atau dengan meninggikan tembok.

Suasana di dalam rumah

Suasana di dalam rumah, hendaklah diperhatikan kemungkinan memisahkan antara lelaki dan perempuan dengan memasuki pintu yang berlainan. Jika hal ini tidak ada memadai dengan memasang pemisah dengan kain.

Memilih tetangga dahulu

Memilih tetangga dahulu sebelum memilih rumah Rasulullah Saw telah memberitahu mengenai empat perkara yang dapat mendatangkan kebahagian, lalu baginda menyebut hal itu, dan di antaranya ialah al-jar ash-shalih tetangga yang soleh. Juga baginda memberitahukan empat perkara yang dapat mendatangkan keburukan di antaranya ialah al-jar as-su' tetangga yang jahat.

Menyediakan kemudahan

Menyediakan kemudahan untuk ahli keluarga, kemudahan perabot di rumah dan keselesaan di rumah.

Mengutamakan kesihatan ahli keluarga

Rasulullah SAW apabila salah seorang dari keluarganya mengalami sakit, baginda menghembuskan berbagai bacaan ta'awwudz (meminta perlindungan) kepadanya.

Sumber : Laman Rasmi Bait Muslim PMRAM

Read more...

Hukum Air Atau Cecair Yang Keluar Dari Manusia


Air Mani

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar kemaluan lelaki dan perempuan apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Firman Allah yang berbunyi :
“(Setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim), Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.” (At-Taariq : 5-7)

Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih likat seperti hingus, ia keluar ketika seseorang itu rasa nikmat yang tidak terhingga sehingga secara memancut. Manakala air mani perempuan pula lebih cair dari air mani lelaki dan ia berwarna putih. Cara ia keluar ketika wanita tersebut gersang dan nikmat yang tidak terhingga.
Hukum Air Mani

Menurut Mazhab Syafie air mani adalah suci dan tidak mengandungi najis. Hujah ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW mafhumnya :
“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas ini, ia menunjukkan bahawa air mani itu adalah suci kerana Rasulullah SAW menggunakan pakaiannya yang terkena air mani tersebut untuk solat. Kalau ia najis maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak menggunakan pakaian tersebut untuk solat.

Cara Mencuci Air Mani

Bagi air mani yang kering atau menempel kepada pakaian atau sebagainya, maka cara menyucikannya adalah seperti mengikis dengan kuku atau alat-alat yang lain, setelah dikikis cucikan pula dengan air sehingga bersih, maka ia sudah dianggap bersih. Dari Aisyah ra berkata :
“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Cara menyucikan air mani yang masih basah atau belum kering, maka disunatkan membasuhnya dengan menggunakan air bersih.
Air Mazi

Maksud Air Mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan perempuan disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan tidak sedar. Dari Ali ra berkata :
“Aku adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan mazi. Kemudian aku suruh seorang kawan supaya menanyakan tentang perkara ini kepada Nabi SAW. Aku malu bertanya secara langsung memandangkan puterinya telah menjadi isteriku. Kawan itu pun akhirnya menanyakan masalah ini kepada Nabi SAW dan beliau menjawab : Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hukum Air Mazi

Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.
Cara Mencuci Air Mazi

Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :
“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Air Wadi

Air wadi adalah air berwarna putih kental atau pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan setelah habisnya air kencing. Dari Aisyah ra berkata :
“Wadi keluar setelah berkencing. Oleh kerananya, hendaklah seseorang itu mencuci zakar berserta kedua-dua buahnya, lalu berwuduk dan tidak perlu mandi.” (Riwayat Ibnu Munzir)
Hukum Air Wadi

Jumhur ulamak mengatakan air wadi ini adalah benda najis mutawassitah dan hukumnya sama seperti air kencing dan mazi. Ia tidak boleh dibawa solat. Begitu juga dengan Imam An-Nawawi mengatakan bahawa air wadi itu adalah najis.
Cara Mencuci Air Wadi

Cara mencuci air wadi adalah dengan mencuci kemaluan sehingga bersih dan mengambil wuduk. Orang yang mengeluarkan air wadi tidak perlu mandi hadas.
Air Kencing

Air kencing manusia adalah najis mutawassitah dan ia dapat membatalkan wuduk seseorang dan boleh menyebabkan solat itu tidak sah disebabkannya. Orang yang ingin membuang ari kencing ini perlu berhati-hati kerana takut air kencingnya terkena pakaiannya. Semasa membuang air kencing hendaklah dipastikan bahawa air kencing tersebut keluar habis dari kemaluan seseorang, air kencing yang tidak habis akan keluar secara sedar atau tidak sedar, ia boleh menyebabkan pakaian yang dipakai seperti seluar terkenanya dan seluar tersebut tidak boleh dibawa solat. Sebagai tindakan berjaga-jaga bawalah bersama kain atau seluar untuk digantikan ketika hendak melakukan solat, perbuatan ini adalah untuk memastikan supaya pakaian dan diri sentiasa didalam keadaan bersih dan suci. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mafhumnya :
“Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (iaitu hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)”

Cara untuk memastikan air kencing itu habis atau tidak habis keluarnya dari kemaluan, diantara caranya ialah seperti :
  1. Bagi wanita untuk memastikan air kencing habis atau belum, caranya mudah sahaja dengan menunggu sebentar setelah selesai kencing. Jika didapati tiada lagi air kencing, maka ia bolehlah membersihkan kemalaunnya.
  2. Bagi lelaki pula agak susah sedikit, kebiasaanya memerlukan waktu dan kesabaran. Cara untuk memastikan air kencing keluar, hendaklah diurut batang zakarnya dari pangkal hingga ke hujung kepala zakarnya. Dalam masa yang sama hendaklah berdehem-dehem untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa air kencing di dalam zakarnya. Setalah pasti tiada lagi air kencing, maka bolehlah dibersihkan zakarnya dengan kaedah istinjak.

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :
“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.

Read more...

Aurat wanita Menurut Al-Quran Dan Hadis


Bulu Kening

Menurut Bukhari bahawa :
"Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." (Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari)
Kaki (tumit kaki)
"Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki(atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (An-Nur : 31)

Keterangan :

Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.
Wangian
"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban)
Dada
"Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka.” (An-Nur : ayat 31)

Gigi
"Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya." (Riwayat At-Thabrani)

"Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muka dan Tangan

"Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah : Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." (Riwayat Muslim dan Bukhari)

Tangan
"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya". (Riwayat At Tabrani dan Baihaqi)

Mata

"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya." (An Nur : 31)

Sabda Nabi saw :

" Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya.Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi)

Mulut (suara)

"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik." (Al Ahzab: 32)

Sabda Rasullullah saw :

"Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik)dan penyanyi perempuan,maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." (Riwayat Ibn Majah)

Kemaluan

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka." (An Nur : ayat 31)

"Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." (Riwayat Al Bazzar)

"Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah)

Pakaian

"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Riwayat Ahmad, Abu Daud,An Nasaii dan Ibn Majah)

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan :

Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

"Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." (Al Ahzab :ayat 59)

Rambut

"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


http://www.ustaznoramin.com/

Read more...

Kesalahan Wanita Dalam Berpakaian




Melihat kepada dunia sekarang, wanita-wanita Islam tidak mengambil berat soal aurat mereka. Pemakaian mereka ada kalanya tidak dapat dibezakan dengan wanita-wanita barat. Bahkan ada yang lebih teruk dari segelintirnya. Tetapi tidak ketinggalan juga bagi yang memakai tudung. Cara pemakaian tudung mereka tidak menepati apa yang dituntut oleh Islam. Antara kesalahan yang dilakukan adalah :
  1. Bagi wanita, aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
  2. Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
  3. Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
  4. Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
  5. Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
  6. Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat/kuliah sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
  7. Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
  8. Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Petikan Dari Murabbi Net

Pendapat Ustaz
Firman Allah yang bermaksud :
“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab: 59)

Lagi Firman Allah yang bermaksud :
“Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya.” (an-Nur: 31)

Hadis Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya

Wahai sekalian wanita Islam kembalilah kamu semua ke ajaran Islam yang sempurna atau kaffah. Sesungguhnya diri kamu akan selamat di dunia dan di akhirat, Islam bukan agama yang membebankan kamu semua, tetapi Islam adalah agama yang paling cantik dan dapat menyelamatkan kamu dari fitnah dunia. Jadikanlah Khadijah dan Aisyah isteri Rasulullah saw sebagai contoh tauladan kamu semua kerana sesungguhnya mereka adalah umul mukminin (ibu mukmin).



http://www.ustaznoramin.com/

Read more...