Monday, February 21, 2011

Kelebihan Berkhatan


Berkhatan adalah pembedahan kecil yang dilakukan bagi membuang kulit hujung (muncung) zakar. Tujuan utamanya ialah untuk menjaga kebersihan. Sebagai satu tuntutan agama, berkhatan adalah satu kebiasaan dalam masyarakat Islam di Malaysia.


Prosedur ini dilakukan ketika kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun dan amat digalakkan ketika mereka berumur 10 tahun ke bawah bagi menghindar sifat malu dan mereka perlu bersih dari najis dan kekotoran sebelum mengerjakan solat 5 waktu.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Kelebihan Khatan

Kebersihan - Mengelakkan Smegma

Kulit yang berlebihan pada hujung zakar mempunyai iklim yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering cedera, lembap dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran saki baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk yang dikenali sebagai 'smegma'.

Smegma ialah najis yang membatalkan air wuduk dan sembahyang. Smegma juga menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil.

Elak Jangkitan Kuman Salur Kencing

Kajian telah membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali lebih rendah kadar risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.


Mengurangkan Risiko Kanser

Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser terutama kanser zakar, prostat, serta kanser serviks (pangkal rahim) dan payudara kepada wanita.

Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20% kadar kejadian kanser serviks boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan kanser payudara.

Kajian pemerhatian turut menunjukkan risiko kanser zakar rendah di kalangan mereka yang berkhatan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhatan pada umur kurang dari satu tahun. Hasil dari kajian ini, ramai orang bukan Islam juga mengamalkan khatan.

Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan lelaki yang berkhatan mempunyai kadar risiko kanser prostat 2 kali lebih rendah. Kejadian kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin di mana lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit tersebut.

Mencegah HIV

Pada 28 Mac 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan itu berbunyi,

'Kajian saintifik telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya, berkhatan dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah'.


Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV seperti di beberapa buah negara di benua Afrika.

Kesediaan Anak

Adakah anak-anak anda bersedia untuk dikhatankan? Sebagai ibu bapa, amat penting bagi kita memastikan fizikal dan minda anak kita sihat sebelum berkhatan. Ia dapat mengurangkan komplikasi.

Kanak-kanak berada di dalam ketakutan bila mana ayah dan ibu menyuruh mereka berkhatan. Prosedur lebih mudah apabila kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan tenang dan faham apa yang akan dilakukan oleh doktor kepada mereka. Maklumat yang tidak tepat menyebabkan ada kanak-kanak menjerit semasa prosedur dijalankan, malah ada yang cabut lari.

Minda kanak-kanak lelaki perlu dipersiapkan terlebih dahulu sebelum prosedur dapat dilakukan dengan mudah dan selamat. Berilah asuhan agama yang mendalam kepada mereka. Terangkan kenapa berkhatan digalakkan dalam agama Islam. Beritahu mereka kelebihan berkhatan.


Membawa kanak-kanak lelaki ke majlis kenduri berkhatan adalah cara yang baik. Ia memberi idea kepada kanak-kanak tersebut betapa pentingnya berkhatan.

Kadang kala, kita perlu menjanjikan benda kesukaan mereka seperti alat permainan komputer atau basikal jika mereka bersetuju berkhatan. Ianya bukanlah rasuah tetapi sekadar pemudah cara.

Andai anak lelaki anda bersetuju untuk berkhatan, maka bawalah mereka berjumpa doktor atau mereka yang bertauliah. Anak anda perlu diperiksa oleh doktor bagi mengetahui tahap kesihatan dan juga bagi menghindarkan komplikasi prosedur tersebut.

Doktor perlu mengetahui dan memastikan zakar anak anda normal, anak anda tiada penyakit hemofilia (penyakit gangguan pembekuan darah), tidak mengambil ubat yang boleh mengakibatkan pendarahan seperti aspirin atau warfarin, tidak menghidap penyakit jantung reumatik dan penyakit lain seperti kencing manis, sawan, asma dan alahan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sebegini akan dirujuk kepada doktor pakar bedah bagi menentukan kaedah berkhatan yang sesuai dan selamat.

Prosedur

Bagi kanak-kanak yang normal dan sihat, pembedahan 'dorsal slit' adalah kaedah berkhatan pilihan Kementerian Kesihatan kerana ia mudah dan selamat. Kaedah-kaedah menggunakan peralatan moden seperti Tara Klamp atau Smart Klamp juga boleh digunakan. Walaubagaimanapun, kaedah ini hanya dilakukan di klinik atau hospital swasta kerana kosnya adalah lebih tinggi berbanding kaedah pembedahan di hospital atau klinik kerajaan.

Pada pagi sebelum ke hospital atau klinik, pastikan anak anda mandi dan beri penekanan kepada kebersihan zakar. Sebelum prosedur dilakukan, pastikan anak anda sudah membuang air besar atau kecil agar tiada sebarang masalah semasa prosedur dilakukan.

Selepas mendaftar dan borang keizinan prosedur ditandatangani, anak anda akan dimasukkan ke bilik pembedahan kecil. Anda boleh menemani anak anda dengan syarat segala prosedur bilik bedah diikuti. Sebelum prosedur, kawasan sekeliling zakar dibersihkan menggunakan bahan pembunuh kuman (disinfektan). Ia untuk memastikan kuman sekeliling tidak menjangkiti luka khatan kelak.

Ubat bius setempat diberikan agar anak anda tidak merasa sakit sepanjang prosedur. Malangnya suntikan ubat bius kali pertama sedikit menyakitkan. Sebaik sahaja anak anda mengatakan tidak sakit selepas kulit zakar mereka dikepit, maka doktor akan memulakan pembedahan. Untuk makluman semua, ubat bius hanya menghilangkan kesakitan. Anak anda masih boleh merasa zakar mereka disentuh dan dikhatankan.

Sebahagian kanak-kanak menganggap sentuhan gunting itu menyakitkan. Mereka akan menjerit kesakitan walaupun hakikatnya zakar mereka sudah kebas. Kanak-kanak sebegini akan diberikan ubat tidur atau ubat penenang. Pembedahan kecil ini kebiasaannya memakan masa antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada berlakunya komplikasi atau tidak.

Pemulihan

Selepas prosedur siap, zakar akan dibalut sedikit ketat bagi mengelakkan pendarahan dan mengurangkan bengkak. Anak anda akan dimasukkan ke tempat khas untuk memastikan tiada pendarahan selepas prosedur dan dibenarkan pulang selepas pendarahan dan kesakitan terkawal. Ubat penahan sakit (seperti parasetamol) dan antibiotik dibekalkan untuk 5 hari berikutnya. Anak anda dinasihatkan agar mengelakkan pergerakan cergas dalam jangkamasa 24 jam selepas berkhatan.


Selepas prosedur, zakar anak anda akan membesar dan lebam. Jangan risau, keadaan ini adalah normal. Ia akan beransur sembuh dalam 1 atau 2 minggu.

Peringatan! Ibu bapa diarahkan membawa anak mereka ke hospital dengan segera jika berlakunya pendarahan atau zakar membengkak luar biasa. Doktor akan membuat pemeriksaan dan jika perlu zakar anak anda akan dibius sekali lagi bagi membolehkan doktor mencari punca pendarahan dan menghentikannya.

Penggunaan krim berubat untuk mencegah jangkitan kuman tidak digalakkan kerana bahan ini kebanyakannya menghakis pertumbuhan tisu baru dan ini melambatkan proses penyembuhan. Cara mudah untuk mengelakkan jangkitan ialah dengan merendamkan zakar anak anda ke dalam air suam yang sudah dimasak dan diisi satu sudu garam selama 10 hingga 15 minit berulangkali setiap hari sehingga luka betul-betul sembuh.

Sakit selepas berkhatan adalah fenomena yang normal. Kadar kesakitan adalah subjektif bergantung kepada persepsi kanak-kanak tersebut. Sebahagian daripada mereka tidak merasa sakit tetapi sebahagian pula mungkin melolong kesakitan.

Jika ubat penahan sakit diperlukan, sila ikut nasihat doktor. Berlebihan dos atau kekerapan mengambil ubat tanpa panduan doktor boleh membahayakan nyawa anak anda. Sebagai contoh, berlebihan mengambil dos paracetamol mengakibatkan kerosakan hati dan kes sebegini telah beberapa kali berlaku di negara kita. Berjumpalah dengan doktor jika kesakitan tidak terkawal dengan dos ubat yang diberikan.

Jangan risau berkenaan benang jahitan pada luka zakar anak anda. Ia akan diserap dalam jangkamasa 2 minggu. Jika luka telah sembuh dan benang masih wujud, dapatkan khidmat doktor untuk membuangnya. Membiarkan benang terlalu lama mengakibatkan wujudnya lubang-lubang kecil pada kulit zakar. Ia menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan semasa persetubuhan apabila mereka dewasa dan berkahwin kelak.

Kesimpulannya, berkhatan adalah pembedahan kecil yang amat digalakkan kerana terdapat pelbagai kebaikan yang telah dibuktikan oleh kajian saintifik. Persediaan fizikal dan minda amat penting kepada anak anda agar prosedur yang dijalankan selamat dan anak anda akan sembuh dengan cepat.


Lagi info tentang BERKHATAN di sini.

No comments:

Post a Comment