Salam sejahtera kepada semua, bersyukur kepada Allah Tuhan yang menjadikan Alam, selawat dan salam ke atas Nabi junjungan Muhammad saw. Terima kasih kepada semua pengunjung blog saya dan saya menghargai anda yang sudi komen segala artikel saya. Saya hargai juga orang yang menegur akan segala kesalahan saya, kerana saya ini manusia biasa dan tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Saidina Ali Bin Abi Talib mengatakan sesiapa yang telah menegurnya, maka beliau menganggap orang yang menegurnya sebagai gurunya walaupun teguran itu satu perkataan sahaja.
Tajuk artikek kali ini ialah untuk membincangkan kelebihan orang yang menunaikan solat fardhu secara berjamaah. Maksud solat berjamaah ialah melakukan solat lebih dari seorang, iaitu melaksanakan solat berjamaah ini mesti sekurang 2 orang ke atas. Kelebihan melaksanakan solat berjamaah ini beza dengan orang yang melakukan solat berseorangan, kerana pahala bagi orang yang melaksanakan solat berjamaah adalah lebih besar dari solat berseorangan. Pahala solat berjamaah ialah sebanyak 27 pahala pada setiap perbuatan (fi’ali) solatnya. Manakala solat berseorangan pahalanya ialah sebanyak 1 pahala sahaja. Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud :
“Solat seorang lelaki beserta dengan seorang lelaki lain lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat seorang diri dan solat seorang lelaki beserta dua orang lelaki lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat dengan seorang lelaki sahaja. Manakala jemaah yang lebih ramai maka jemaah itu adalah lebih dikasihi Allah.”
Hadis di atas ini, menunjukkan bahawa besar pahala bagi orang yang melaksanakan solat secara berjamaah. Jika jemaah itu besar, maka lebih besar pahalanya dan dalam solat berjamaah Allah turunkan malaikat-malaikatnya kepada orang yang solat berjamaah untuk memberikan rahmat kepada peserta solat berjamaah. Orang yang solat berjamaah juga adalah satu lambang perpaduan umat Islam dan satu pasukan bersatu padu dalam satu barisan yang sentiasa bersedia untuk mengorbankan diri ke jalan Allah. Solat berjamaah juga memimpin umat Islam supaya taat kepada ketua (imam) dalam segala arahan yang diberikan oleh imam. Secara tidak langsungnya umat Islam telah diasuh oleh Allah supaya setiasa berada dalam satu barisan.
Sunat muakad dan fardhu kifayah bagi orang Islam melaksanakannya. Maksud sunat muakad adalah suatu sunat yang dituntut, disuruh dan perlu sangat-sangat mengerjakannya. Tuntutan solat berjamaah ini sangatlah berat sehinggakan pada masa zaman Rasulullah pernah memerintahkan sahabatnya mengumpulkan kayu api untuk membakar rumah-rumah orang yang tidak solat berjamaah di masjid. Jadi janganlah diambil ringan dengan solat berjamaah, kerana orang yang tidak solat berjamaah ini adalah orang yang rugi dari segala perkara di dunia dan di akhirat.
Musuh Islam sangat gerun apabila umat Islam melaksanakan solat berjamaah, kerana umat Islam dapat disatukan dalam solat-solat berjamaah dan sekaligus dapat mengumpulkan tenaga untuk menjahanamkan kufar (kafir) yang sentiada mencari jalan menjatuhkan Islam. Mana-mana kampong yang tidak mengimarahkan masjid atau solat berjamaah di rumah, maka kampung tersebut telah dikuasai syaitan dan mudah dipesongkan soleh syaitan. Syaitan tidak akan berputus asa dan tidak akan jemu berusaha untuk merosakkan keturunan adam ataupun manusia. Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud :
"Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampong atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”. (Riwayat Abu Dawuud dan AN-Nasai)
Orang yang tidak melaksanakan solat berjamaah adalah orang yang munafik kerana orang tersebut tidak mahu menikmati segala kelebihan yang ada pada solat berjamaah. Orang yang munafik ini adalah orang yang merosakkan Islam, orang yang sentiasa melakukan dosa, sentiasa melakukan maksiat dan golongan yang zalim pada dirinya sendiri dan orang yang dalam kerugian. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
"Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak". (Riwayat Bukhari & Muslim)
Kesimpulannya sangat besar ganjaran bagi orang yang menunaikan solat fardhu secara berjamaah dan kerana pahalanya lebih besar iaitu sebanyak 27 pahala. Manakala sangat rugi orang yang solat berseorangan, kerana dia hanya memperolehi 1 pahala dalam perbuatan solatnya. Orang yang melaksanakan solat berjamaah adalah orang yang susah untuk diganggu oleh syaitan, kerana tiada ruang untuk syaitan mendampinginya, sebab itu dalam solat berjamaah perlu dengan barisan yang lurus, tegak, tidak terputus dan tiada ruang yang kosong. Di sinilah berlakunya hubungan silaturrahim antara jemaah tersebut. Maaf di atas segala kekurangan yang ada pada artikel saya kali ini, sesungguhnya segala kelemahan itu datang dari diri saya sendiri dan segala manfaat dan kebaikan datang dari Allah. Sesiapa ada pendapat dan perkongsian boleh meluahkan pendapat melalui ruangan komen yang disediakan di bawah ini.
http://www.ustaznoramin.com/
No comments:
Post a Comment