Monday, February 21, 2011

Implan Koklea Bantu Pertuturan


Belajar bercakap sebenarnya proses panjang dan bayi baru lahir mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan untuk merakam pelbagai jenis bunyi didengarnya sebelum boleh menuturkan kata pertama, yang ada kalanya sukar difahami.

Bahkan, kebolehan bercakap juga dipengaruhi kemampuan setiap individu untuk mendengar. Semakin rendah kualiti pendengaran, semakin sukar seseorang itu menyebut perkataan dengan jelas dan betul.


Inilah fenomena biasa yang dihadapi individu bermasalah pendengaran dan proses pertuturan menjadi semakin payah apabila meningkat dewasa; terutama jika mereka tidak diberikan rawatan sewajarnya.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Untuk membolehkan mereka belajar bercakap dengan berjaya, individu yang ada masalah pendengaran perlu menggunakan alat bantuan pendengaran sesuai. Lebih awal alat ini digunakan, lebih baik bagi membolehkan individu berkenaan belajar bercakap seperti rakan sebaya lain.

Antara kaedah lain untuk mengatasi masalah pendengaran adalah pacakan koklea (juga dipanggil implan koklea) yang berfungsi sebagai alat meningkatkan pendengaran melalui rangsangan elektrik pada sel saraf dalam telinga.

Namun perlu diingat, bukan semua orang mendapat faedah daripada pacakan koklea kerana ia sesuai bagi individu yang mengalami masalah pendengaran teruk di kedua-dua belah telinga dan tidak memperolehi faedah daripada alat bantu pendengaran biasa.

Kumpulan ini biasanya sukar berinteraksi melalui pertuturan. Bagaimanapun, individu yang berminat dengan implan koklea perlu menjalani penilaian klinikal, termasuk ujian tahap pendengaran dan perubatan, kebolehan pertuturan dan penilaian faedah yang bakal diterimanya.

Peranan Pakar Audiologis

Kebiasaannya selepas dua atau tiga minggu pembedahan pacakan koklea, pemulihan intensif membabitkan proses pemetaan bunyi (dikendalikan Pakar Audiologis) dan terapi pertuturan (dikendalikan oleh Terapis Pertuturan-Bahasa) dijalankan.

Bagaimanapun, ramai ibu bapa salah faham dan menganggap anak mereka akan boleh terus bercakap secara normal selepas menerima implan koklea. Sebenarnya ini tidak berlaku kerana setiap individu memerlukan masa untuk belajar mendengar bunyi dulu sebelum bercakap.

Jika disyaki anak ada masalah pendengaran, ibu bapa dinasihatkan menghantarnya untuk penilaian pendengaran dengan Pakar Audiologis. Usah bertangguh memberi rawatan pendengaran kepada anak.

Lebih lambat anak dikesan dengan masalah pendengaran atau diberikan alat bantu pendengaran sesuai, bermakna proses belajar bercakap juga menjadi lewat. Mereka berisiko tinggi jauh ketinggalan berbanding rakan sebaya.

Kesilapan yang biasa dilakukan kebanyakan ibu bapa apabila menyedari anak mereka menghadapi masalah pendengaran ialah menganggap anak mereka bisu.

Oleh itu, mereka menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dan melengahkan memberi anak alat bantu pendengaran sesuai serta mendapatkan terapi pertuturan.

Peranan Ibu Bapa

Sesudah masalah pendengaran ditentukan dan alat bantu pendengaran sesuai dipasang, pembabitan ibu bapa penting dalam tempoh pemulihan anak yang ada masalah pendengaran.

Ibu bapa adalah ‘guru’ dan pemantau utama bagi meningkatkan kebolehan anak bercakap. Pencapaian setiap individu juga berbeza bergantung kepada minat dan kesungguhan mereka.

Ibu bapa perlu menarik minat anak untuk belajar mendengar. Kesabaran dan kesungguhan ibu bapa penting kerana ketika ini anak mereka yang baru memakai alat bantu pendengaran boleh dianggap seperti bayi baru belajar mendengar. Jadi mulakan dengan bunyi awal yang mudah untuk mengajar mereka. Aktiviti harian dan persekitaran rumah merupakan antara bahan pendidikan berguna.

Paling penting, kurangkan penggunaan isyarat tangan, sebaliknya gantikan dengan menyebut perkataan bagi merangsang proses pembelajaran mendengar.

Bagi merangsang kebolehan anak bertutur, ibu bapa perlu terbabit secara aktif dan digalakkan banyak bercakap dengan anak yang baru menerima alat bantu pendengaran atau implan koklea. Penting juga untuk ibu bapa terbabit langsung dengan proses terapi pertuturan.

Jika sudah dipasangkan dengan alat bantu pendengaran yang sesuai, kanak-kanak bermasalah pendengaran akan diajar mengikut perkembangan pendengaran dan pertuturan kanak-kanak dengan pendengaran normal.

Oleh itu, mereka dijangka boleh mencapai peringkat perkembangan seperti berikut:

- Selepas 3 hingga 6 bulan : memalingkan muka dan mengesan objek yang mengeluarkan bunyi, mula menyebut bunyi ‘oo, ga, ba’

- 6 hingga 9 bulan : memberi gerak balas apabila namanya dipanggil, menuturkan suku kata berulang seperti ‘ma ma, pa pa, ba ba’.

- Sembilan hingga 12 bulan : boleh mengulang perkataan mudah.

- 12 hingga 18 bulan : boleh menggunakan 10 perkataan atau lebih.

- 18 hingga 24 bulan : guna 20 atau lebih perkataan dan mula gunakan dua perkataan atau lebih pada satu masa.

- 2 hingga 3 tahun: mula membuat ayat sendiri. Pada usia ini, sebahagian besar ayat mereka boleh difahami.

- 3 hingga 4 tahun : boleh mendengar seperti orang dewasa dan boleh menjawab pertanyaan yang mudah.

- 4 hingga 5 tahun: Memberi perhatian dan faham cerita pendek. Mula menggunakan ayat kompleks.

Bagaimanapun, pencapaian individu juga bergantung kepada tiga faktor iaitu kekerapan penggunaan alat bantu pendengaran atau implan koklea, kesungguhan menjalani terapi dan pembabitan aktif ibu bapa.

Luangkan lebih masa bercakap dan bermain dengan anak. Babitkan aktiviti menyeronokkan kerana ia secara tidak langsung mendorong anak untuk mendengar dan bercakap.

Lagi info tentang IMPLAN KOKLEA di SINI.

No comments:

Post a Comment