Anda cukup tidur? Bagaimana dengan pasangan atau ahli keluarga anda? Mungkin anda lesu walaupun selepas berjam-jam tidur akibat apnea (aliran udara terhalang), sementara pasangan anda pula lesu kerana melayan alunan dengkur anda sepanjang malam.
Dianggarkan hampir 5.55 juta penduduk Malaysia, tidak mengira jantina dan umur, menghasilkan orkestra dengkur setiap malam, sama ada 'berdengkur tetap' ataupun 'berdengkur sambilan'.
Masalah dengkur bukan sahaja mengganggu penghidap malahan orang di sekitarnya, dan mungkin menjejaskan kualiti tidur lebih 1/3 penduduk negara ini setiap malam.
Dengkur juga mengganggu ketenangan percutian dan perjalanan jauh di dalam bas, kereta api mahupun kapal terbang. Ada juga pasangan yang terpaksa tidur berasingan kerana tidak tahan dengan ‘dengungan’ berpanjangan setiap malam.
Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!
Dengkur Bukan Apnea
Masalah struktur sekitar salur pernafasan biasanya akan menyebabkan dengkur berpanjangan sementara masalah hidung tersumbat, keletihan dan penggunaan ubat tertentu menyebabkan ‘dengkur sambilan’.
Gangguan tempoh dan kualiti tidur penghidap dengkur dan orang di sekelilingnya dalam jangka panjang dikhuatiri membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius. Tidur tidak cukup atau kurang kualiti mungkin membawa kepada diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok serta gangguan fungsi dan ketahanan badan.
Dengkur adalah sesuatu yang hanya berlaku ketika tidur dan ia berbeza berbanding apnea. Penyempitan salur udara menyebabkan pergolakan tekanan udara dan getaran palet lembut (lelangit) serta dinding farinks. Getaran ini seterusnya menghasilkan bunyi khusus dengkur.
Apnea pula merupakan halangan penuh salur pernafasan (hidung atau mulut) sehinggakan penghidap berhenti bernafas sekurang-kurangnya 10 saat, berulang kali semasa tidur. Dengkur dan apnea mungkin hadir bersama atau hanya salah satu sahaja.
Bahaya utama adalah apabila penghidap dengkur mempunyai Apnea Tidur Halangan (OSA) yang teruk, menyebabkannya berhenti bernafas lebih 30 saat, berulang kali semasa tidur.
Boleh Menjejaskan Kesihatan
Oleh itu, individu yang berdengkur perlu menjalani ujian tertentu bagi menentukan klasifikasi dengkur biasa, sehinggalah ke tahap OSA yang teruk.
Individu yang mengalami dengkur biasa tidak menghadapi banyak masalah selain bunyi dan keselesaan tidur (penghidap dan ahli keluarga). Namun, individu yang berdengkur dengan kuat dan mengalami OSA yang teruk mungkin terjejas kesihatannya dalam jangka panjang.
Tahap teruknya apnea ditentukan melalui kiraan setiap jam, rendah (10 apnea sejam), sederhana (20 hingga 30) atau teruk (lebih 40 apnea sejam).
Dengkur dan apnea boleh menyebabkan kekurangan oksigen ke otak dan jantung, menjejaskan fungsi otak dan tekanan kepada jantung (jantung makin besar, denyut jantung dan pernafasan makin laju).
Gangguan tidur pesakit jelas kelihatan jika mereka masih mengantuk di waktu pagi sementara kanak-kanak kelihatan sukar memberi tumpuan.
Populasi Pendengkur
20% populasi penduduk Malaysia mempunyai masalah dengkur. Ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki dan individu berumur lebih 40 tahun. Namun terdapat juga peratusan kecil penghidap dengkur di bawah umur 30 tahun.
Mereka yang kuat minum minuman beralkohol dan mempunyai berat badan berlebihan juga lebih mudah berdengkur,” Kanak-kanak juga mungkin berdengkur, selalunya berpunca daripada masalah tonsil.
Gangguan Kepada Keluarga
Masalah dengkur turut menjejaskan tidur pasangan serta keluarga penghidap, dan selalunya merekalah yang mengenal pasti masalah tersebut.
Sering kali pasangan penghidap yang mengadu tentang masalah dengkur tersebut sedangkan penghidap sendiri tidak mengakui atau tidak mengaitkan kelesuan serta sering rasa mengantuk dengan masalah dengkur.
Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang memalukan kerana dengkur juga boleh berlaku jika seseorang itu terlalu letih dan juga dengan peningkatan usia. Ini kerana otot dan tisu lembut di sekitar salur pernafasan akan semakin kendur, seterusnya bergetar atau menghalang aliran udara.
Orang kurus juga boleh berdengkur. Bunyi dengkur yang kuat pula tidak bererti masalah dengkur yang teruk, sebaliknya kehadiran apnea yang menentukan bahaya kepada penghidap.
Rawatan
Terdapat bermacam kaedah rawatan ditawarkan untuk mereka yang berdengkur atau mengalami apnea.
Kajian waktu tidur boleh dijalankan di rumah atau hospital, sementara kaedah rawatan mungkin semudah membetulkan posisi tidur dan mengurangkan berat badan, atau mungkin memerlukan pembedahan jika ia teruk atau membahayakan kesihatan.
Rawatan untuk mengurangkan atau menghentikan dengkur juga dapat meningkatkan kualiti tidur pasangan dan keluarga, mengurangkan bilangan ‘muka-muka lesu’ di sekolah dan pejabat.
Dengkur sememangnya bukan sesuatu yang perlu dimalukan, terutamanya dengan satu daripada lima rakyat negara ini berdengkur. Namun, rawatan perlu dipertimbangkan jika ia mengganggu rehat anda dan keluarga, terutamanya jika dengkur anda diiringi masalah apnea.
Dapatkan maklumat terkini mengenai cara menguji dan merawat masalah dengkur anda melalui internet atau doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT). Kembalikan kesunyian malam keluarga dan tingkatkan kecergasan pagi anda.
Lagi info tentang DENGKUR di sini.
No comments:
Post a Comment