Monday, February 21, 2011

Kualiti Air Bergantung Kepada Proses Penulenan

Kualiti Air Bergantung Kepada Proses Penulenan


Akhir-akhir ini, pengguna semakin sedar mengenai kualiti dan ketulenan air yang diminum dan digunakan. Bayangkan betapa membazirnya jika kita membeli produk penjagaan kulit yang mahal atau formula bayi untuk anak dan kemudian digunakan dengan air yang tidak bersih.


Produk itu akan hilang keberkesanan akibat kualiti air yang teruk. Jika anda tergolong di dalam kategori ini, dan ingin mengambil langkah positif untuk menjamin keselamatan air, mengapa tidak anda beli sebuah sistem penulenan air yang baik?

Ada pelbagai jenis sistem penulenan air di pasaran dan adalah bijak untuk memahami jenis dan fungsi sistem ini sebelum membuat keputusan mengenai jenama paling sesuai dengan keperluan anda. Untuk memudahkan tugas anda dalam hal ini, kita akan berkongsi tentang beberapa fakta mengenai sistem penulenan air yang biasa.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Penyulingan air, misalnya ialah satu proses lama yang digunakan sejak beratus-ratus tahun lalu. Ia diproses menerusi air yang dididih di dalam sebuah dandang. Apabila ia mendidih, ia mengewap. Wapnya bergerak ke bahagian lain di dalam unit itu dan apabila wap itu disejukkan, ia memeluwap menjadi air semula. Air ini adalah 99.9 peratus tulen dan menghapuskan nitrat, klorida, bakteria dan garam lain.

Bagaimanapun, kaedah ini memakan masa dan tenaga untuk menulenkan air. Lazimnya, ia juga tidak berkesan untuk menapis pencemar seperti benzena dan radon.

Proses Osmosis Songsang (reverse osmosis - RO) ialah menerusi tekanan air yang tinggi digunakan untuk memaksa molekul air melalui membran separuh telap yang mempunyai liang membran yang amat halus. Air yang melepasi membran itu adalah hampir air yang berada di sebelah lagi yang mengandungi segala pencemar itu dikumbahkan.

Cara ini juga boleh membantu menghapuskan garam, bakteria, arsenik, klorin, florida, logam berat, nitrat, besi, mendapan, bau, parasit mikroskopik termasuk virus.

Kebaikan/Keburukan : RO sangat berkesan untuk mengurangkan sejumlah besar pencemar kesihatan dan estetik. Walaupun prosesnya lebih perlahan daripada penapis karbon atau sedimen, tetapi sistem RO boleh membersihkan lebih banyak air sehari berbanding dengan penyuling, dan ia lebih murah dioperasi dan disenggarakan.

Menerusi penapis seramik, air diproses melalui liang media penapisan seramik yang sistem penapisannya terlalu ketat untuk membolehkan bakteria dan mikroorganisma tertentu melaluinya. Cara ini boleh membantu menghapuskan serat asbestos, bakteria tertentu dan zarah bahan lain walaupun ia tidak akan menghapuskan virus atau pencemar yang terlarut di dalam air seperti klorin, plumbum, raksa, trihalometana atau sebatian organik yang lain. Kadar pengaliran penapis seramik agak perlahan dan ia perlu dibersihkan dan diganti secara kerap.

Penapis Butiran Karbon Teraktif (GAC) dicipta daripada sejumlah bahan yang berasaskan karbon melalui satu proses bersuhu tinggi yang mencipta satu matriks yang mengandungi berjuta-juta liang mikroskopik dan rekahan. GAC bertindak apabila sesetengah bahan kimia dan zarah mikroskopik melekat dan berkumpul di liang kecil apabila air melaluinya. Air yang melepasi penapis itu adalah air yang bersih.

Cara ini membantu menghapuskan klorin, pencemar organik, bau dan rasa yang tidak menyenangkan, bahan kimia dan gas. Untuk jangka panjang, penapis GAC akan menjadi kurang berkesan dalam mengurangkan pencemar kerana liangnya tersumbat dengan zarah. GAC tidak boleh menghapuskan TDS, logam berat, virus dan kebanyakan bakteria.

Proses pelembutan air pula adalah satu teknik yang menghapuskan mineral yang menyebabkan air menjadi liat (mengandungi lebih banyak mineral berbanding air biasa), yang dalam kebanyakan kes ialah kalsium dan magnesium.

Koloni mikroorganisma boleh menjadi mantap dan membiak pada permukaan resin yang kaya nutrien. Kepekatan natrium yang meningkat boleh menjejaskan rasa air dan ia tidak baik untuk mereka yang berdiet rendah natrium. Selain ‘mineral yang liat’, unit penukaran ion yang mudah tidak dapat menghapuskan pencemar yang lain.

Menerusi cahaya ultraungu, air dilalukan melalui satu ruang yang terdedah kepada cahaya ultraungu (UV). Sistem AUV menghasilkan cahaya pada jarak gelombang tertentu dan ia berupaya menyahaktifkan kebanyakan mikroorganisma.

Bakteria, virus, kulapuk, alga dan yis tidak aktif. Ia juga tidak meninggalkan bau atau rasa kepada air yang dirawat. Sejauh mana bagusnya fungsi sistem itu bergantung pada dos tenaga.

Sistem penulenan air yang tersenarai di atas hanyalah beberapa sistem yang boleh didapati pada masa sekarang. Ada banyak lagi sistem dalam pasaran yang bergantung pada keperluan dan peruntukan anda, namun anda harus sentiasa ingat bahawa setiap sistem memerlukan servis dan penyelenggaraan.

Yang pastinya banyak teknologi baru akan terus dicipta dan akan muncul sistem penulenan air yang lebih canggih yang menggabungkan beberapa sistem itu untuk menghasilkan prestasi lebih baik.

No comments:

Post a Comment