Salam kepada semua sahabat, saudara yang memperjuangkan Islam, guru-guru yang tidak jemu-jemu mendidik anak-anak Negara ini. Jasa seorang guru memang besar dan tidak terbalas segala pengorbanan mereka. Guru diibaratkan sebatang lilin yang membakar dirinya untuk menerangi alam kegelapan. Kerjaya sebagai guru memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk mengharungi berbagai liku-liku yang ada dalam kerjaya ini. Jika guru tersebut tidak mempunyai persiapan dan persediaan yang rapi, maka guru tersebut akan mengalami masalah di lapangan pengajaran dan pembelajarannya nanti. Bagi saya kerjaya sebagai guru ini lebih payah dari orang yang mengembala kambing atau lembu, kerana kerjaya guru ini adalah untuk mendidik manusia supaya mempunyai akhlak dan budi perkerti yang luhur, baik dan mahmudah.
Jika pekerjaan hanya inginkan gaji yang lumayan, hanya mencari sesuap nasi, sebagai kerja masa lapang atau seumpama dengannya, maka proses pendidikan tidak akan terjadi dengan berkah dan baik. Kerana dalam Islam memerlukan keikhlasan yang sungguh-sungguh untuk memastikan pekerjaan sebagai guru ini berjalan dengan jayanya dan berjaya membentuk generasi muda mempunyai pengetahuan tinggi dan akhlak yang baik. Jika guru tidak mempunyai keikhlasan yang tinggi dalam kerjayanya, maka proses pendidikan itu tidak akan kemana dan hanya mampu memberikan informasi baru sahaja kepada pelajarnya dan tidak mempunyai keberkatan. Hal ini sedikit sebanyak dapat mempengaruhi akhlak pelajar, jangan heranlah jika pelajarnya rosak budi pekertinya. Jika dikaji dan direnungi, saya berpendapat kerosakan akhlak muda-mudi sekarang ini adalah disebabkan guru tidak mempunyai keikhlasan kerana Allah.
Terfikir saya dengan ilmu-ilmu yang dimiliki oleh ulamak yang terdahulu, kenapa mereka mempunyai ilmu yang banyak dan alim dalam bidang masing-masing. Dilihat dari proses pendidikan mereka memang jauh beza dengan zaman sekarang ini, kerana guru mereka ikhlas dalam mendidik mereka. Cerita dari ustaz saya sewaktu saya di pondok dahulu. Tok guru pondok dahulu tiada gaji dan tiada mengambil upah dalam pengajaran mereka, hasil kelapa yang ditanam sekeliling pondoklah, hasil padi di sawah yang menjadi pendapatan mereka untuk menyara keluarga mereka. Sedikitpun mereka tidak mengharapkan upah atau ganjaran dari anak murid mereka. Bagi saya inilah punca keberkatan pengajaran guru-guru pondok dahulu sehingga dapat melahirkan ramai ulamak yang ternama dan dikenali ramai.
Selain dari ibu bapa, guru juga merupakan penentu generasi akan datang, sama ada generasi akan datang mempunyai akhlak yang baik atau mempunyai akhlak yang buruk. Guru juga perlu mempunyai akhlak yang mahmudah sebagai pedoman kepada anak murid mereka, supaya anak murid mereka dapat meneladani tingkah laku mereka. Jika mahu menjadi guru yang disanjungi dan di hormati, guru hendaklah mempunyai akhlak yang baik, baik petuturan dengan pelajar, bertanggungjawab dalam setiap ilmu yang disampaikan, peka terhadap pelajar-pelajarnya dan rapat dengan pelajarnya, kerana ini sedikit sebanyak dapat membantu guru membentuk pelajarnya dengan lebih berkesan.
Punca gejala sosial, faktor utama adalah dari ibu bapa pelajar tersebut yang tidak mengambil peduli anak mereka, mereka mengajar anak-anak mereka cukup sekadar dengan wang poket untuk anak mereka berbelanja di sekolah dan sebagainya. Tetapi mereka lupa akan tanggungjawab yang sebenarnya iaitu memberikan perhatian dan pendidikan yang sebenarnya iaitu pendidikan Islam, kerana pendidikan Islam adalah cara yang paling mustajab untuk membentuk akhlak yang baik dan anak tahu perkara yang haram dan perkara yang halal. Faktor yang kedua punca keruntuhan akhlak pelajar adalah guru-guru, jika dilihat dilapangan guru juga tidak mempunyai akhlak yang baik, tidak menutup aurat, bercinta dengan pelajar dan sebagainya. Ada kes terjadi guru melakukan hubungan seks dengan pelajar sehingga ditangkap khalwat. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi pelajar, kadang-kadang susah juga guru pendidikan Islam hendak suruh pelajar tutup aurat, kerana bila di suruh tutup aurat pelajar kata “cikgu Pendidikan Jasmani (PJ) atau cikgu BI tak tutup tak apa pun, kami buka aurat tak boleh”.
Ini semua salah siapa? Bagi saya semua salah dalam hal ini, kerana tidak mementingkan pelajaran pendidikan Islam dan tidak diterapkan etika Islam di setiap institusi pendidikan di Negara ini, sebab itulah berlakunya seks bebas, buang anak, rempit, penyalah gunaan dadah, pergaduhan, black matel dan sebagainya. Jika semua melaksanakan prinsip pendidikan Islam dalam sistem pendidikan, maka sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah gejala sosial yang semakin pedas dan semakin parah sekarang ini. Pendidikan Islam terbukti berkesan pada masa utusan Nabi Muhammad saw sehingga dapat menerangi alam ini dari kegelapan maksiat, sehingga dunia ini aman dan tenteram. Semua ini dapat dibersihkan dan dapat dilakukan oleh pendidikan Islam dan syariat Islam sahaja. Jangan tunggu lagi kembalilah kepada syariat dan pendidikan Islam yang sebenar. sumber http://www.ustaznoramin.com/
No comments:
Post a Comment