Monday, February 21, 2011

Kanser Kolon Perlu Dikesan Awal


oleh Dr. Tan Huck Joo

Kanser kolon atau kanser rektum yang juga dikenali sebagai kanser kolorektal menyebabkan 655,000 kematian di seluruh dunia setiap tahun. Ia merupakan antara penyebab utama kematian di kalangan lelaki Malaysia dan pembunuh ketiga di kalangan wanita negara ini.


Kanser kolon bermula dengan polip. Peringkaan permulaan polip akan tumbuh berbentuk benjolan kecil seperti cendawan di permukaan kolon. Polip adalah petanda awal kanser kolon. Kebanyakan polip tidak berbahaya tetapi ada sesetengahnya boleh bertukar menjadi kanser.




Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!



Kanser kolon boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan awal. Oleh itu cara untuk mengelak daripada mendapat kanser kolon adalah dengan menjalani pemeriksaan doktor.


Pemeriksaan Awal


Pemeriksaan awal bertujuan mengenalpasti atau mengesan kanser kepada pesakit yang tidak menunjukkan tanda gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser kolon. Kanser kolon boleh menyerang tanpa sebarang tanda. Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan, atau ujian, oleh doktor walaupun anda tidak mengalami sebarang tanda dan gejala.



Berdasarkan data yang diperolehi dari negara Barat, individu yang berisiko tinggi dan mencapai usia 50 tahun digalakkan menjalani pemeriksaan awal pada usus iaitu kolonoskopi. Individu yang berisiko tinggi yang dimaksudkan adalah mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit kanser kolon.


Mengikut panduan American College of Gastroenterology, jika anda mempunyai saudara terdekat (ibu bapa atau adik-beradik) menghidapi kanser kolon pada usia 60 tahun ke atas atau sebelum umur 60 tahun, anda perlu mula menjalani pemeriksaan usus atau kolonoskopi pada umur 40 tahun. Atau anda perlu melakukan pemeriksaan 10 tahun lebih awal daripada pesakit yang paling muda. Sebagai contoh, jika adik beradik anda menghidapi kanser kolon pada umur 38 tahun, anda perlu menjalani pemeriksaan pada umur 28 tahun.



Pemeriksaan awal oleh doktor untuk kanser kolon adalah penting untuk mengelakkan kanser kolon. Tetapi, ia memerlukan banyak sumber dan tenaga manusia untuk melakukannya. Selain daripada kolonoskopi yang merupakan cara terbaik untuk mengesan kanser kolon, terdapat kaedah lain untuk mengesan kanser kolon seperti pemeriksaan darah dari najis, barium enema, sigmoidoskopi dan imbasan kolonografi CT.


Mengesan Kanser Kolon


Jika dikesan awal, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi bagi penghidap penyakit kanser kolon. Malangnya, kebanyakan pesakit berjumpa doktor apabila kanser pada tahap sudah teruk. Mereka enggan berjumpa doktor hingga tanda gejala berlarutan beberapa bulan.


Dan apabila mereka berjumpa dengan doktor, kanser tersebut mencapai tahap 3 (tahap yang agak teruk) atau 4 (kanser yang telah merebak ke organ lain, seperti hati atau peparu). Tahap 4 merupakan kanser terminal dan kemungkinan peluang untuk hidup adalah tipis. Diagnosis awal adalah penting dan seharusnya pesakit mendapatkan rawatan segera sejurus mempunyai tanda gejala kanser kolon.



Sekiranya anda mempunyai tanda gejala kanser kolon dan mendapatkan pengesanan awal doktor, doktor anda mungkin akan melakukan pemeriksaan usus atau kolonoskopi di bawah pembiusan ringan.


Kolonoskopi adalah prosedur yang boleh dilakukan di bilik rawatan harian. Dalam prosedur kolonoskopi doktor akan menggunakan skop iaitu satu tiub panjang dan boleh melentur (fleksibel) dengan garis pusat ½ inci. Tiub ini disambungkan ke alat perakam kamera video untuk doktor memeriksa seluruh kolon dan dubur (rektum). Prosedur ini boleh dilihat oleh doktor dengan jelas pada skrin televisyen.


Semasa prosedur, doktor boleh membuang polip atau mengambil sampel tisu yang tidak normal di dalam usus untuk dianalisis. Pembuangan polip bertujuan mengurangkan risiko pesakit mendapat kanser. Prosedur kolonoskopi berguna untuk mendiagnos penyakit dan ia juga berguna merawat pendarahan usus, membuang polip dan merawat usus yang tersumbat disebabkan kanser kolon.


Barium enema dan imbasan kolonografi adalah satu lagi cara yang sesuai untuk mendiagnos kanser kolon yang telah menyumbat lubang usus. Tetapi dengan cara ini doktor tidak dapat mengambil sampel tisu kolon untuk dianalisa.



Ujian darah CEA (Carcinoembryonic Antigen) pula tidak tepat untuk mengesan kanser kolon. Bagaimanapun, bacaan CEA yang tinggi tidak semestinya menunjukkan pesakit menghidap kanser kolon, tetapi kemungkinan pesakit menghidap kanser paru-paru atau kanser perut. Bacaan CEA yang tinggi boleh juga dikesan di kalangan perokok. Untuk peringatan, bacaan CEA pada paras normal tidak semestinya bermaksud seseorang itu bebas dari kanser kolon.


Rawatan


* Pembedahan - Harapan pesakit kanser kolon untuk sembuh adalah dengan menjalani pembedahan. Sekiranya ketumbuhan yang dialami oleh pesakit belum merebak, pembuangan sebahagian usus melalui pembedahan akan dilakukan. Cara pembedahan yang dilakukan bergantung pada lokasi ketumbuhan. Jika kanser tersebut adalah terlalu dekat dengan dubur, pesakit mungkin memerlukan beg kolostomi sementara dan kolon disambung semula selepas beberapa bulan. Lebih awal kanser dapat dikesan, lebih besar peluang pesakit dapat hidup dengan jangka masa yang lebih panjang.


Pembedahan kadang-kala juga akan dijalankan ke atas pesakit yang mengalami kanser terminal di mana penyumbatan keadaan usus tersekat disebabkan kanser yang terlalu besar dan menutup lubang usus, yang juga boleh menyebabkan kebocoran usus. Colonic stenting atau proses penggunaan pendawaian tiub adalah alternatif lain untuk mengurangkan sumbatan kolon daripada kanser kolon.



* Kemoterapi - doktor menggunakan ubat anti-kanser untuk menghalang pertumbuhan atau membunuh sel kanser. Kebanyakan ubat anti-kanser diberi melalui suntikan. Rawatan kemoterapi adalah lebih berkesan untuk membunuh sel kanser dan menghalang perulangan. Secara umumnya, cara ini mempunyai kesan sampingan tetapi boleh dikawal secara keseluruhan.


* Terapi radiasi - menggunakan sinar-X berkuasa tinggi digunakan untuk membunuh sel kanser dan menghalangnya daripada merebak. Rawatan ini juga digunakan bersama kemoterapi untuk mengecutkan ketumbuhan sebelum pembedahan.


* Imunoterapi atau terapi biologi - terapi ini meningkatkan fungsi anti-kanser pesakit dengan menggunakan sistem imun tubuh badan untuk melawan kanser.



Bolehkah Kanser Kolon Dicegah?


Walaupun faktor risiko utama kanser kolon adalah gen anda, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan anda boleh mencegah kanser ini. Anda boleh melakukannya dengan menambah pengambilan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, mengamalkan diet rendah kalori, berhenti merokok, mengurangkan atau berhenti mengambil alkohol dan banyakkan bersenam adalah terbukti dapat mencegah daripada mendapat kanser.


Sekiranya anda mempunyai sejarah kanser kolon dalam keluarga, risiko anda mendapat kanser kolon adalah tinggi dan ujian pemeriksaan awal oleh doktor adalah sangat penting. Ingat, kanser kolon boleh dielakkan. Oleh itu, jika anda berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi, jalani ujian pemeriksaan awal. Jangan tunggu sehingga anda melihat tanda dan gejalanya untuk berjumpa doktor.




Lagi info tentang KANSER KOLON di sini.

1 comment:

  1. thx~help a lot in my homework.=)

    Neko,who pass by on Google.

    ReplyDelete