Monday, February 21, 2011

Hipnosis Atasi Kencing Malam (Bedwetting)


oleh Hafizah Iszahanid

Masalah anak kencing malam (bedwetting) sememangnya antara perkara yang membimbangkan ibu bapa apabila pulang ke kampung atau bercuti. Persoalannya, apakah ini satu tabiat biasa yang boleh dibiarkan, apalagi jika ia berterusan sehingga si anak mencecah usia 6 tahun?


Menurut Khidmat Nasihat Kesihatan United Kingdom (NHS), kencing malam atau nama saintifiknya 'nocturnal enuresis' sangat biasa di kalangan kanak-kanak terutama di bawah usia 7 tahun. Satu dalam 5 kanak-kanak berusia 7 tahun, satu dalam 20 kanak-kanak berusia 10 tahun berhadapan dengan kencing malam dan ia lebih kerap ditemui di kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Kadang kala tabiat kencing malam boleh juga disebabkan oleh keadaan kesihatan seperti masalah diabetes atau cystitis (radang pada pundi kencing). Ada juga di kalangan sesetengah kanak-kanak, tabiat ini mungkin disebabkan ketidakupayaannya menghasilkan hormon anti-diuretik dengan cukup yang berfungsi mengawal penghasilan air kencing pada waktu malam.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Kawalan Pundi Kencing

Namun, secara amnya juga kita perlu tahu fakta yang lebih mudah, ada kanak-kanak yang membentuk kawalan terhadap pundi kencingnya agak lewat berbanding kanak-kanak lain. Dia juga mungkin berhadapan dengan masalah psikologi kerana masalah di sekolah atau rumah, contohnya.

Bagi dewasa, apabila pundi kencing penuh pada waktu malam, otak akan memaklumkan pundi kencing untuk mengosongkannya. Keupayaan untuk menjalani proses ini bukan wujud semulajadi sejak lahir. Sebaliknya ia terbentuk secara perlahan-lahan dan menjelang usia 6 tahun, seseorang kanak-kanak umumnya memiliki keupayaan itu.

Bagaimanapun antara 7% kanak-kanak dalam lingkungan usia 10 tahun dan antara 1 ke 2% remaja dalam usia 15 tahun masih alami masalah ini. Apatah lagi jika ibu atau bapa atau kedua-duanya juga pernah berhadapan dengan masalah kencing malam ketika kecilnya, si anak berhadapan dengan risiko hingga antara 40 ke 75% untuk mengalaminya.

Hipnosis

Walaupun kebanyakan ibu bapa percaya pada akhirnya anak akan berupaya menangani masalah ini seiring dengan peningkatan usia, ada juga kanak-kanak yang memerlukan bantuan.

Percaya atau tidak, antara kaedah mengatasi tabiat kencing malam adalah hipnosis. Sesetengah orang mendefinisikan hipnosis sebagai keadaan semua fokus individu itu terkumpul yang menyebabkan rasa tenang dan santai. Ketika sesi hipnosis, minda terbuka kepada lebih banyak cadangan berbanding biasa.

Kanak-kanak dikatakan dalam keadaan hipnosis sendiri (self-hypnosis) apabila mereka bermain seorang diri. Pelakon atau atlit selalunya menggunakan kaedah hipnosis untuk memperbaiki persembahan mereka.

Umumnya hipnosis membolehkan mereka belajar mengubah tanggapan, perasaan dan sikap. Hipnosis juga boleh digunakan bagi mengurangkan rasa bimbang, mengawal kesakitan atau mengubah tabiat buruk.

Pada 2004, kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Norway mengemukakan laporan penggunaan teknik hipnosis kepada kanak-kanak yang berhadapan dengan tabiat kencing malam. Laporan itu menyebut, hipnosis adalah antara rawatan yang berkesan bagi menangani masalah kencing malam yang kronik.


Malu dan Tertekan

Kencing malam adalah masalah biasa yang mengakibatkan rasa malu kepada anak dan membuatkan ibu bapa susah hati.

Seorang kanak-kanak terlalu muda untuk memahami logik orang dewasa. Justeru, mereka akan menjadi terlampau tertumpu pada imej kencing malam. Imej itu akan mengakibatkan rasa malu dan membuat mereka tertekan.

Hipnosis boleh membantu mengatasi masalah ini. Perkara pertama seorang ahli hipnoterapi akan lakukan adalah untuk memfokuskan kembali tumpuan ahli keluarga kepada permasalahan itu seperti katil yang kering. Kadang kala itu sudah mencukupi.

Bukan Penyakit

Kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah kencing malam boleh dilatih secara mental mengenai rutin waktu tidur. Umumnya, apabila pundi kencing seseorang kanak-kanak itu penuh, mereka akan bangun dan pergi ke tandas sebelum kembali tidur dengan rasa gembira.

Bagi kes kencing malam, ahli terapi hipnosis akan mengajar teknik mengawal otot dan pundi kencing kepada minda bawah sedar.

Apa yang penting, masalah kencing malam bukanlah penyakit. Sebaliknya ia lebih kepada keupayaan kawalan otot dan pundi kencing seseorang kanak-kanak itu. Justeru sebagai ibu bapa, sabar dengan tabiatnya dan dalam masa yang sama bantu dia mengatasi masalah itu.


5 Panduan Atasi Anak Kencing Malam

* Jumpa doktor bagi menghentikan permasalahan ini jika anak anda berusia 6 atau 7 tahun. Ujian akan dijalankan bagi memastikan anak bebas daripada masalah jangkitan pundi kencing.

* Jangan hukum anak kerana ini memberinya lebih banyak tekanan. Kanak-kanak ini tidak upaya mengawal tabiatnya dan hukuman akan menjejaskan jati dirinya.

* Hormati hak peribadinya - kanak-kanak malu kerana kencing malam dan tentu dia tidak mahu orang lain juga tahu mengenai masalahnya.

* Latih anak bangun malam untuk kencing. Amalan setiap malam akan mendidik akal dan tubuhnya untuk bangun membuang air kecil sebelum dia kencing di katil.

* Berfikiran positif dan sabar. Beritahu diri anda yang usaha si anak menghentikan tabiat ini memakan masa. Sikap kurang sabar hanya menjadikannya lebih tertekan.


Lagi info tentang KENCING MALAM di sini.

No comments:

Post a Comment